Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Aktiviti Penjualan Barang Seludup Di Sabah, Sarawak Serius

5:56pm 24/03/2016 Pak Roshan 94 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

kastamgst

KOTA KINABALU – Aktiviti penjualan barang seludup seperti rokok dan minuman keras di Sabah dan Sarawak berada pada tahap serius, kata Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Matrang Suhaili.

Beliau berkata ini berdasarkan statistik yang diperoleh jabatan itu menunjukkan aktiviti penjualan barang seludup di kedua-dua negeri berkenaan adalah sangat tinggi.

“Justeru, (Kastam) memberi tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak (untuk membanteras aktiviti penjualan barang seludup) pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Pacak 2016 peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrang berkata, pihaknya telah merampas lebih 70 juta batang rokok seludup di seluruh negara yang dianggarkan bernilai RM7.74 juta untuk dua bulan pertama tahun ini.

Di Sabah pula, katanya, sebanyak 841,780 batang rokok seludup dirampas yang dianggarkan bernilai RM100,410 bagi tempoh yang sama.

“Jumlah itu adalah hasil daripada 184 pemeriksaan yang dibuat di seluruh negeri dan daripada pemeriksaan itu, sebanyak 182 kes direkodkan masing masing 77 kes tangkapan dan 105 kes rampasan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kastam tidak akan berkompromi dalam hal itu dan akan mengenakan tindakan tegas di bawah Akta Kastam 1967 ke atas peniaga yang didapati bersalah.

Mengenai Op Pacak, Matrang berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah untuk menjalankan operasi itu selama tujuh hari di beberapa lokasi termasuk di Sinsuran, Putatan dan Inanam.

Kastam juga memperkenal beberapa pendekatan baharu bagi membanteras aktiviti itu termasuk mengambil tindakan membatalkan lesen premis perniagaan kepada peniaga yang didapati bersalah dan lesen penyewaan peniaga yang menyewa bangunan dimiliki kerajaan ditarik balik.

Selain itu, lesen perniagaan pekedai atau peruncit yang menyewakan premis kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) juga akan ditarik, dan PATI terbabit akan dihantar pulang ke negara masing-masing selepas menjalani hukuman, katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan