Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,808

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Aktiviti Daki Gunung Kinabalu Berjalan Seperti Biasa – Malim Gunung

8:58pm 11/06/2016 Pak Roshan 168 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
malimgunung

Malim Gunung Kinabalu – Gambar Arkib SayangSabah

KOTA KINABALU : Aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu berjalan seperti biasa walaupun terdapat gempa bumi lemah berukuran 2.3 pada skala Richter direkodkan berlaku pada 5.18 pagi tadi, kata seorang malim gunung Wilson Latius.

Wilson, 28, yang berada di Laban Rata ketika itu, bagaimanapun berkata difahamkan ada beberapa kumpulan pendaki yang sepatutnya melakukan aktiviti di Via Ferrata memilih membatalkan hasrat meneruskan aktiviti di situ atas faktor keselamatan.

“Saya merasai gegaran susulan pagi tadi kerana ketika itu saya berada di Laban Rata. Rakan malim gunung dan para pendaki yang berada di puncak Gunung Kinabalu juga merasainya dan segera turun dari puncak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari Sabtu.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pusat gempa itu terletak di 6.0 darjah utara dan 116.6 darjah timur, 11km barat dari Ranau dan gegaran dirasai di kawasan itu.

Wilson berkata gegaran susulan seumpama itu merupakan keadaan yang sudah biasa dialami selepas kejadian gempa bumi pada 5 Jun tahun lalu.

“Sejak daripada peristiwa itu, gegaran susulan sering berlaku. Semalam, kira-kira pukul 11.40 malam, saya turut menyedari ada gegaran kecil tetapi tidak sekuat pagi tadi,” katanya, yang berpengalaman sebagai malim gunung selama lima tahun.

Menyedari ia akan berlaku dalam tempoh panjang, Wilson berkata beliau termasuk rakan malim gunung yang lain akan sentiasa mengingatkan para pendaki supaya sentiasa tenang dan tidak panik jika ada gegaran susulan berlaku ketika sedang melakukan pendakian.

Pandangan sama turut diberikan seorang lagi malim gunung Junaydie Sihan yang berkata perasaan panik hanya akan memudaratkan diri memandangkan risiko mendapat kecederaan adalah lebih tinggi.

“Setiap kali memulakan pendakian yang bermula di Timpohon Gate, saya sentiasa mengingatkan diri saya dan para pendaki supaya tidak panik dan perlu bertenang jika ada berlaku gegaran,” katanya.

Mengenai gegaran susulan pagi tadi, Junaydie berkata dia berada di rumah bersama keluarga dan sedang bersiap untuk melakukan pendakian ke Gunung Kinabalu pada hari ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan