Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aktiviti Belia Keutamaan Masjid Jamek Sandakan

SANDAKAN – Aktiviti melibatkan belia menjadi keutamaan di Masjid Jamek Bandar Sandakan dalam usaha mendekatkan golongan berkenaan dengan tempat ibadat itu.

Sejajar dengan usaha tersebut, Kelab Belia Masjid Jamek yang ditubuhkan dua tahun lepas, menjadi platform untuk mengumpulkan belia dan melaksanakan aktiviti yang bersesuaian.

Penyelia Masjid Jamek berkenaan, Shaharuddin Amirullah berkata penglibatan belia menerusi penubuhan kelab itu sangat memberangsangkan dan mereka menjadi tunjang dalam semua aktiviti di masjid itu.

Beliau berkata menerusi kelab itu, beberapa aktiviti dilaksanakan seperti gotong-royong secara mingguan membersihkan masjid dan riadah pada hujung minggu seperti menganjurkan futsal dan badminton.

“Kelab itu juga selalu mengadakan Kem Rehla (melancong) di daerah lain di negeri ini, antaranya di Telupid dan Kundasang bertujuan untuk merehatkan minda dan pada masa sama memberi sumbangan kepada golongan asnaf di daerah yang dilawati,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata kelab belia masjid itu juga kerap mengadakan seminar yang diberi nama ‘Fiqh Belia’ dengan menjemput ulama dan artis.

Katanya masjid itu juga melaksanakan aktiviti di sekolah antaranya majlis ilmu dan riadah dengan memberi tumpuan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), ​​Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau berkata jawatankuasa masjid itu menumpukan aktiviti untuk belia bagi membimbing mereka menjadi insan bermoral, tidak terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah dan memberi sumbangan dalam hidup bermasyarakat.

Shaharuddin berkata pelaksanaan program untuk belia itu merupakan usaha pihaknya mengimarahkan masjid berkenaan yang dibina pada 1887.

Masjid Jamek Sandakan boleh memuatkan 400 jemaah dan penubuhannya yang diasaskan Sheikh Hassobollah At-Tohyie, adalah antara tarikan pelancongan di daerah ini dan termasuk dalam Jejak Warisan Sandakan. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan