Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,768

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Aktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah sebagai persediaan menghadapi bencana alam menjelang SPM/STPM

10:43am 05/11/2016 Leolerry Lajius 67 views Kota Kinabalu,Pendidikan,Tempatan

KOTA KINABALU: Pegawai Pendidikan Daerah diseru agar mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah sebagai persediaan menghadapi bencana alam menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan bermula 7 November hingga 6 Disember tahun ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul berkata, Pejabat Pendidikan Daerah perlu membuat penyelarasan bersama agensi-agensi lain di kawasan masing-masing bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan walaupun berhadapan dengan bencana khususnya banjir.

“Memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, terutamanya hujan yang kadang kala lebat dan berterusan dikhuatiri boleh membawa kepada bencana banjir dan tanah runtuh.”

“Justeru itu, langkah-langkah proaktif di semua peringkat khususnya Pejabat Pendidikan Daerah dan Sekolah perlu disediakan serta mampu digerakkan dengan segera apabila diperlukan,”katanya kepada media ketika sidang media, di Wisma Pendidikan, kelmarin.

Menurut beliau, pada tahun ini seramai 40, 604 orang bilangan calon berdaftar yang akan menduduki peperiksaan SPM yang melibatkan 327 pusat peperiksaan serta 3,381 petugas peperiksaan dan daripada jumlah berkenaan ia turut melibatkan seramai 99 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Sementara itu, calon STPM yang akan dilaksanakan dalam empat mod peperiksaan adalah bagi STPM penggal 3/2016 seramai 7,205 calon, bagi STPM ulangan penggal 1/2016 seramai 5,975 calon, bagi STPM ulangan penggal 2/2016 seramai 5,954 calon dan bagi STPM penggal 1/2017 melibatkan 8,105 menjadikan jumlah keseluruhannya adalah seramai 27, 239 orang calon.

“Saya menyeru agar calon sentiasa menyemak jadual peperiksaan serta membawa kelengkapan peperiksaan yang secukupnya dan elakkan melakukan penyelewengan dalam bentuk apa sekalipun yang melanggar SOP peperiksaan,”katanya.

Beliau juga menyeru agar pihak sekolah dapat memastikan semua murid yang layak, memenuhi syarat-syarat yang sedia ada dan telah didaftarkan sebagai calon adalah berhak mengambil peperiksaan.

“Elakkan daripada menghalang mana-mana calon daripada mengambil peperiksaan dengan apa-apa alasan sekalipun, walaupun bertujuan untuk memastikan peningkatan prestasi keseluruhan sekolah,”katanya. –Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan