Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Akibat salah faham, remaja parah dibelasah

KOTA KINABALU – Gara-gara perselisihan faham, seorang remaja lelaki cedera parah selepas dibelasah dan ditikam secara bertubi-tubi oleh lebih 10 orang suspek yang tidak dikenali dalam kejadian di Dataran Anjung Senja Waterfront di sini pada jam 12.30 tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra berkata, menurut siasatan awal, mangsa yang berumur 17 tahun bersama tiga lagi rakannya pergi ke lokasi tersebut menaiki sebuah kenderaan Perodua Kancil.

“Semasa mangsa melintas jalanraya, berlaku satu perselisihan faham antara remaja terbabit dengan seorang lelaki yang memandu kenderaan Perodua Myvi yang kemudian mencetuskan pergaduhan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau berkata, seramai 15 orang lelaki yang tidak dikenali dipercayai dari kawasan berhampiran, turut bertindak membelasah mangsa berkenaan yang berasal Kampung Sungai Damit.

Chandra berkata, pergaduhan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan kepala serta tujuh kesan tikaman senjata tajam di belakang badan.

Rakan mangsa kemudian membawanya ke hospital Queen Elizabeth 2 untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 3.38 pagi, anggota Polis Trafik menahan dua orang lelaki selepas disyaki terlibat dalam kes tersebut,” katanya lagi.

Kedua-dua suspek berumur 18 dan 23 tahun, dari Kampung Warisan Inanam itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. (Merusuh menggunakan senjata).

Polis meminta kerjasama orang ramai dan saksi kejadian agar dapat menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Kamafarkhan Marki melalui talian 013-3119217 atau tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

- Gambar Hiasan
– Gambar Hiasan

 

Komen


Berita Berkaitan