Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

AKAUNTAN SABAH MAHU PERLINDUNGAN

Benjamin (dua dari kanan) menyerahkan surat cadangan kepada Christina semasa kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri itu di pejabatnya hari ini. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Sabah berharap kerajaan negeri memperkenalkan satu peraturan khusus bagi melindungi pengamal perakaunan di negeri ini.

Presidennya, Benjamin Lee Mih Foo berkata, pada masa ini firma-firma akauntan tempatan di Sabah menerima saingan dengan firma luar terutama dari Semenanjung yang menawarkan caj perkhidmatan rendah kepada klien mereka di negeri ini.

“Dengan adanya peraturan terhadap firma akaun dari luar, secara tidak langsung akan mengurangkan persaingan bagi firma akaun tempatan kerana kita tahu sektor perakaunan di Semenanjung terutama di Ibu negara lebih luas berbanding di Sabah.

“Oleh itu, kita memikirkan sudah tiba masanya satu peraturan perlu diwujudkan memandangkan kita juga mampu menawarkan khidmat yang sama dengan firma luar,” katanya.

Terdahulu beliau dan tiga lagi ahli ACCA Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Christina Liew di pejabatnya di sini hari ini.

Benjamin Lee Mih Foo.- Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Dalam pertemuan itu, Benjamin berkata, Christina mencadangkan agar ACCA membawa perkara tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V. K. Liew yang menjaga hal ehwal berkaitan undang-undang.

Katanya, pada asasnya undang-undang tersebut itu akan menghadkan firma akauntan dari luar untuk menawarkan perkhidmatan di Sabah.

Ditanya mengenai caj perkhidmatan yang lebih rendah oleh firma luar menarik minat rakyat negeri ini menggunakan khidmat mereka, Benjamin tidak menafikan ia merupakan salah satu faktor yang mendorong berlakunya perkara itu.

“Kita difahamkan mereka mengenakan caj perkhidmatan lebih rendah iaitu sebanyak 30 peratus berbanding firma tempatan kerana dalam masa sama mereka juga punya peluang lain di Semenanjung yang luas,” ujarnya sambil menambah ACCA Sabah kini mempunyai seramai 200 ahli di seluruh negeri. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan