Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

AirAsia Tawar Pampasan Awal RM85,000 Bagi Setiap Penumpang

Salah seorang penumpang pesawat QZ8501 yang berjaya ditemui mayatnya adalah Hayati Lutfiah.
Salah seorang penumpang pesawat QZ8501 yang berjaya ditemui mayatnya adalah Hayati Lutfiah.

JAKARTA – Syarikat penerbangan tambang rendah terkenal, AirAsia Indonesia semalam menawarkan pampasan awal berjumlah 302,692,174 rupiah (RM85,295) untuk setiap seorang penumpang pesawat QZ8501 yang terkorban minggu lalu.

Menurut laporan akhbar perniagaan ternama, The Wall Street Journal dan harian tempatan,Riau Pos, tawaran pampasan tersebut dinyatakan sendiri oleh pihak AirAsia kepada semua waris mangsa menerusi surat rasmi bertarikh 2 Januari lalu.

Salah seorang ahli keluarga penumpang, David Theja-kusuma yang kehilangan semua tujuh anggota keluarganya dalam nahas tersebut mengesahkan, syarikat itu sudah menawarkan pampasan yang akan diserahkan dalam masa terdekat.

“AirAsia Indonesia dijangka memberi sejumlah pampasan awal berjumlah 303 juta rupiah sebelum disusuli pampasan keseluruhan yang belum ditetapkan lagi sebagai jaminan insurans kemalangan nyawa setiap penumpang,” katanya kepada akhbar itu.

Minggu lalu, syarikat insurans terkemuka antarabangsa dari Munich, Jerman, Allianz SE mengesahkan akan menanggung tuntutan perlindungan kemalangan QZ8501 kerana AirAsia Indonesia adalah pelanggan kepada firma insurans tersebut.

Allianz SE yang ditubuhkan sejak 1891 di Berlin dengan pendapatan tahunan kira-kira AS$115 bilion (RM409 bilion) ialah penanggung utama insurans pesawat dan penumpang kepada kumpulan AirAsia Berhad selain Malaysia Airlines (MAS).

Ekoran tragedi yang menimpa pesawat QZ8501 selain kes MH370 dan MH17 milik MAS, Allianz SE dijangka perlu membayar insurans hampir RM4 bilion untuk kesemua 699 penumpang bagi gabungan ketiga-tiga insiden berkenaan.

Difahamkan, mengikut perjanjian untuk setiap seorang penumpang sahaja, sekiranya berlaku kemalangan udara, waris keluarga mereka berhak mendapat bayaran pampasan insurans nyawa sehingga AS$150,000 (RM533,000). – Agensi

Komen


Berita Berkaitan