Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ahli Koperasi diseru agar lebih berani menceburkan diri dalam industri hiliran

9:39pm 13/08/2016 Leolerry Lajius 43 views Perniagaan,Tempatan
Yahya menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena majlis berkenaan.

Yahya menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Ahli Koperasi diseru agar lebih berani menceburkan diri dalam industri hiliran untuk menghasilkan produk yang mempuyai nilai komersil supaya memberi lebih pulangan kepada anggotanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman berkata, usaha-usaha yang digerakkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk memberikan kefahaman dan meningkatkan penglibatan rakyat dalam koperasi perlu diperhebatkan lagi.

“Koperasi bukanlah institusi yang menyediakan pembiayaan kredit semata-mata. Sebaliknya gerakan koperasi merupakan satu bentuk perniagaan yang memberi faedah dan nilai tambah kepada anggota-anggotanya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian Hari Koperasi Negara dan Francais Komuniti Peringkat Negeri Sabah yang teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Hj Yahya Hussin, di kompleks beli belah 1Borneo, hari ini.

Beliau turut menyatakan, melalui program seumpama ini koperasi dan usahawan boleh menjadikannya sebagai salah satu platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga menyokong penuh program seumpama ini untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah terlibat dalam perniagaan yang berkonsepkan francais,”katanya.

Hari Koperasi Negara dan Francais Komuniti Peringkat Negeri Sabah 2016 merupakan salah satu program yang diadakan sempena Hari Koperasi Negara yang disambut setiap tahun sejak tahun 2002 dan pada tahun ini buat julung kalinya ia disambut di peringkat negeri.

Program yang diadakan selama tiga hari itu sejak 12 Ogos yang lalu turut diisi dengan pelbagai program sampingan termasuk penyampaian anugerah kepada koperasi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2015.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan