Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Agenda Pembangunan Sabah, Bela Nasib Rakyat Dipergiat

Datuk Seri Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah akan terus mempergiat agenda pembangunan memajukan negeri ini dan membela nasib rakyatnya bagi memastikan mereka menikmati kesejahteraan dan kemakmuran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Berikutan itu, katanya kerajaan negeri memberi fokus kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) serta sektor-sektor teras dalam Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri.

Menerusi RMK11, katanya kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM11.5 bilion untuk pembangunan negeri, dan pada tahun pertama RMK11, Sabah menerima sejumlah RM4.21 bilion.

“Setakat 28 Sept lepas, sejumlah RM1.95 bilion atau 46 peratus telah dibelanjakan antara lain merangkumi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar; infrastruktur, utiliti dan kemudahan awam; program khas anak negeri Sabah; program pengangkutan awam dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Jadi Rasmi Ke-63 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini, hari ini.

Bagi pembiayaan negeri pula, Musa berkata daripada siling peruntukan sejumlah RM3.57 bilion, peruntukan pembangunan yang diluluskan tahun ini berjumlah RM802 juta dan sebanyak 52 peratus atau RM413 juta telah dibelanjakan setakat 28 Sept lepas.

Mengenai Koridor Pembangunan Sabah (SDC), beliau berkata SDC kini telah memasuki Fasa Ke-3 selari dengan pelaksanaan RMK11.

Setakat 31 Julai tahun ini, katanya, sejumlah RM2.05 bilion peruntukan pembangunan bagi projek-projek SDC di bawah RMK9 hingga RMK11 telah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

“Daripada keseluruhan peruntukan disalurkan, SEDIA telah membelanjakan kira-kira RM1.86 bilion atau 90.7 peratus.

“Sejak pelancaran SDC pada 2008 sehingga Jun 2016, pelaburan terkumpul SDC mencapai RM157.3 billion manakala RM57 bilion telah direalisasikan,” katanya.

Mengenai sektor di bawah Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri iaitu pembuatan, pertanian dan pelancongan, Musa berkata ia terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Dari Januari hingga Mac tahun ini, jumlah pelaburan sektor pembuatan bernilai RM1.7 bilion yang menyediakan 3,907 peluang pekerjaan.

“Kerajaan negeri optimis aliran kemasukan pelaburan asing dan swasta akan terus memperlihat trend positif yang membuktikan keyakinan mereka terhadap kestabilan politik, kekukuhan fundamental ekonomi serta galakan dan insentif kondusif dan mesra pelabur dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Bagi sektor pelancongan untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah keseluruhan ketibaan pelancong ke Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Berdasarkan perkembangan aksesibiliti udara terkini ke Sabah, beliau berkata kerajaan menjangka momentum positif ketibaan pelancong akan berterusan terutama dari China, Korea Selatan dan Taiwan.

“Di samping itu, pembinaan beberapa hotel baharu berupaya meningkatkan keyakinan para pelabur dan memberikan gambaran positif terhadap prospek industri pelancongan negeri,” katanya.

Musa berkata Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dijangka siap pada 2018 juga menjadi pemangkin menjadikan Sabah sebagai destinasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang terkemuka di rantau ini.

Sementara itu, Tun Juhar dalam perutusan khasnya mengajak rakyat Sabah untuk sentiasa memelihara perpaduan pelbagai kaum supaya generasi masa akan datang dapat menikmati keamanan dikecapi ketika ini.

Beliau berkata perpaduan kaum adalah formula penting yang menjadi teras kepada perpaduan nasional supaya rakyat terus hidup harmoni dan sejahtera selain berupaya menjadi benteng pertahanan dalam menghalang penularan unsur negatif termasuk jenayah yang mengganggu aktiviti harian masyarakat.

“Rakyat perlulah bersatu padu, matang berpolitik, bertolak ansur, penyayang dan tidak mudah terjerumus ke dalam fahaman sempit dan berpandangan ekstrem,”katanya.

Tun Juhar, yang turut melahirkan kebimbangan dengan penularan fahaman serta gerakan ekstrem atau aktiviti berkaitan kumpulan pengganas, berkata unsur negatif seumpama itu wajar dipantau dan ditangani dengan tegas kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran agama yang diamalkan.

Dalam perkembangan lain, Tun Juhar mahu semangat kerjasama para penjawat awam di peringkat negeri dan Persekutuan terus dipertingkat selain menjadi satu pasukan dalam memastikan projek pembangunan disiapkan mengikut jadual.

Pada istiadat itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali mengetuai senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat negeri dengan menerima anugerah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’.

Turut menerima anugerah SPDK ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Edward Khoo Keok Hai serta mendiang Sedomon Gunsanad iaitu tokoh politik Sabah yang dianugerahkan darjah kebesaran itu secara anumerta.

Sebanyak 876 orang dianugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat sempena Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri tahun ini.

Terdahulu, Juhar diiringi Musa dan barisan kabinet negeri menghadiri Istiadat Perbarisan yang disertai 86 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta dan institusi pengajian tinggi. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan