Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Agar Al-Quran Bercahaya Di Hatimu

Gambar Hiasan

 

Antara keunikan Al-Quran itu adalah ia dikenali dengan pelbagai nama. Pelbagai nama itu adalah kerana manfaat yang luas dan kebaikannya yang menyeluruh.

Termasuk salah satu nama Al-Quran itu adalah cahaya atau nur.

Kerana Al-Quran itu adalah kalamullah, maka cahaya Al-Quran itu jika dapat masuk ke hati hamba-hamba-Nya pastilah disebabkan anugerah Allah s.w.t.

Siapa yang mendapatkan cahaya Al-Quran, maka dia mendapatkan petunjuk kepada jalan hidup yang abadi.

Tetapi seringkali terjadi, kita membaca Al-Quran, tetapi hati kita tak terpandu oleh cahaya Al-Quran. Akhirnya yang berlaku Al-Quran bergema di bibir kita, tetapi tidak bercahaya di dalam jiwa.

Bacaan Al-Quran yang tidak mampu bercahaya di dalam jiwa, maka akan menyebabkan kita tidak begitu terasa kesannya sebagai al-hadi (penunjuk jalan hidayah) dalam hidup.

 

Di Mana Silapnya?

Pastilah silapnya bukan pada Al-Quran. Tidak sekali-kali Al-Quran itu silap.

Tetapi kesilapan itu adalah pada cara pengambilan kita terhadap Al-Quran. Cara kita mendekati Al-Quran. Cara kita membaca Al-Quran. Cara kita memahami Al-Quran.

Ada orang mendekati Al-Quran untuk mengambil berkat bacaan semata-mata. Kita tidak katakan ini suatu yang salah, tetapi semata-mata ini saja pastilah tidak mencukupi. Al-Quran bukan hanya turun untuk dibaca semata-mata, untuk pahala semata-mata. Benar, memang Rasul s.a.w. menyebutkan dalam hadith bahawa 1 huruf itu bersamaan 10 ganjaran. Tetapi Rasul s.a.w. juga menyebutkan Al-Quran itu kelak menjadi syafaat untuk ahlinya di akhirat. Lalu bagaimana menjadi ahli Al-Quran itu?

Ada orang mendekati Al-Quran dengan tujuan untuk mencari salah Al-Quran. Al-Quran memang tidak ada kesalahan apapun, sama sekali tidak ada. Tetapi kalau orang itu berfahaman singkat, tidak punya kelengkapan yang cukup dalam memahami Bahasa dan metodologi yang digunapakai Al-Quran, memang pada zahir matanya akan bertemu kesilapan. Namun, adakah benar itu sebuah kesilapan atau ilmunya yang dangkal?

Ada orang mendekati Al-Quran hanya sebagai rutin-rutinan. Pun kita katakan tidak salah. Semoga Allah berikan keistiqamahan yang dengan itu menjadi asbab untuk memperbaiki lagi cara mendekati itu. Rutinan itu termasuk bila datang Ramadhan, orang mengkhatamkan Al-Quran, kita pun ikut mahu mengkhatamkan. Habis Ramadhan, ditinggalkan. Bila datang Khamis malam, kita pun ikut-ikutan membaca Yasin.

Ada yang mencari Al-Quran ini ketika justeru terjadi masalah terkena ilmu hitam atau rasukan dan sebagainya. Benar, sangat perlu kita kembali kepada Al-Quran bila terkena penyakit-penyakit sebegini. Tetapi, mencarinya hanya ketika sudah bermasalah dan meninggalkannya ketika di waktu kelapangan adalah bahagian dari tanda kelalaian dan kecuaian kita terhadap Al-Quran.

Pengambilan Al-Quran secara juzuk (bahagian-bahagian) ini menyebabkan cahaya Al-Quran itu tidak mampu bertindakbalas dalam jiwa kita. Bila kita membaca Al-Quran dengan tujuan untuk mendapatkan manfaat material, maka sukar sekali cahaya itu bersinar di dalam jiwa kita.

 

Meneliti Fungsi Al-Quran Sebagai Cahaya

Allah s.w.t. berfirman dalam banyak tempat dalam Al-Quran. Lihat bagaimana Allah menggambarkan cahaya Al-Quran menghidupkan hati yang mati :

“Dan adakah orang yang mati (hatinya) kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk) dan Kami jadikan bagainya cahaya yang menerangi sehingga ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia…” [Al-An’am :122]

Dalam Tafsir Ibn Kathir, disebut dalam satu riwayat bahawa cahaya di sini adalah Al-Quran.

Di dalam surah lain, Allah s.w.t. menyebut :

“Wahai sekalian umat manusia, Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti dari Tuhanmu dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu cahaya yang menerangi.” [An-Nisa’ : 174]

Cahaya di sini juga merujuk kepada Al-Quran.

Bagaimana Al-Quran dapat menerangi hati sehingga ia mengubah visi misi seorang insan daripada hanya memikirkan sebatas kepentingan dunia, menjadi seluas dunia dan akhirat?

Bagaimana Al-Quran dapat mengubah dan melembutkan Umar yang dahulunya bermusuhan dengan Rasul s.a.w. dan Islam, kemudian menjadi pendokong paling kuat untuk Islam?

Kesannya sungguh besar dengan kemasukan Umar ke dalam Islam.

Bagaimana cahaya Al-Quran mampu memikat Tufail bin Amr Ad-Dawsi untuk menerima Islam walaupun telah disogok dan dimomokkan oleh musyrikin sebelum itu agar jangan mendengar sebarang kalam dari Rasul s.a.w. yang menyebabkan dia menutup kedua telinganya dengan kapas?

Begitu juga dengan keIslaman Tufail, yang menyebabkan lewatnya, Abu Hurairah r.a. mendapatkan cahaya hidayah. Bila cahaya Al-Quran meresap kepada para pencari kebenaran, maka ia tak akan terhalangkan oleh apa jua, meskipun kapas telah menutup telinganya pada ketika itu.

 

Agar Al-Quran Bercahaya Di Hatimu

Ketika Al-Quran bercahaya di hatimu, ia akan menyinari jalan hidupmu, visi dan misimu. Ia akan memandumu kepada nilai paling utama dalam hidupmu. Ia akan memandumu kepada prioriti hidup yang sebenar.

Ketika Al-Quran bercahaya di hatimu, engkau akan terasa bahagia dan indah meskipun dalam ujian dan kesusahan. Al-Quran melapangkan jiwamu, memberikan kekuatan serta menjadikan engkau terasa tidak ditinggalkan keseorangan.

Bagaimana agar Al-Quran bercahaya di hatimu?

Dekatilah Al-Quran sebagaimana yang Allah kehendaki, bukan sebagaimana yang kita kehendaki.

Apa yang Allah mahu kita dapatkan dari Al-Quran? Itulah yang kita perlu dapatkan.

Dr Solah Al-Khalidi menyebutkan dalam kitabnya Mafatih Lit-Taamul Ma’al Quran bahawa objektif hidayah itu adalah perkara paling utama untuk kita dapatkan. Janganlah difahami hidayah itu sebagai kita sudah Islam semata-mata. Mendapat nikmat Islam itu Alhamdulillah, satu hidayah. Tetapi beramal dengan Islam, beramal dengan Al-Quran adalah hidayah. Hidup di atas neraca Al-Quran adalah hidayah. Hidup dengan tujuan Al-Quran adalah hidayah. Berakhlak dengan akhlak Al-Quran adalah hidayah.

Kita sentiasa memerlukan hidayah Allah s.w.t. dalam banyak hal dalam hidup. Justeru, melalui Al-Quranlah kita berusaha menggali hidayah Allah s.w.t. itu.

Kalau kita mendekatinya hanya untuk kepentingan material semata-mata, hati kita tak akan dapat menikmati indahnya cahaya itu.

Syeikh Muhammad Al-Ghazali menyinggung dan menyebutkan hal ini sebagai satu kecacatan buat ummat dalam mendekati dan menghirup manfaat Al-Quran.

Lalu agar Al-Quran bercahaya di hati kita, kita perlu kembali kepada Al-Quran dengan tujuan mencari kebenaran. Kembali pada adab-adabnya. Bersihkan hati dan tujuan kita dalam mendekatinya. Dekatinya dengan jiwa yang ikhlas untuk dekat dengan Allah s.w.t., untuk lebih memahami kalam-Nya, untuk lebih memperbaiki hidup di atas jalan yang dikehendaki-Nya.

 

Penutup : Al-Quran Bukan Penghias Amalan Semata-mata

Bila Al-Quran hanya digunakan untuk menghias amalan semata-mata, maka terjadilah yang sering kita lihat, Al-Quran dibaca, tetapi maksiat diteruskan.

Isi Al-Quran difahami, tetapi praktiknya dilanggari.

Ambillah Al-Quran dengan sebenar-benarnya. Lazimi dan dekatinya. Jangan ketika sudah nazak, baru kita mencarinya. Kita melupakannya ketika kita senang. Bila sudah susah, baru kita mencarinya. Alangkah dukacitanya jika terjadi demikian hubungan kita dengan Al-Quran.

Ia tidak lain hanya melambangkan hubungan kita dengan Allah juga. Sebagaimana hubungan kita dengan Al-Quran, sebegitulah ia memperlihatkan hakikat hubungan kita dengan Allah s.w.t.

Kembali kepada Al-Quran sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Supaya cahaya Al-Quran benar-benar menyuluh jalan hidup kita.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Afdholul Rahman Che Ani)

Komen


Berita Berkaitan