Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,778

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

ADUN Tungku Cadang Nurul Izzah Diharamkan Masuk Sabah

4:04pm 24/11/2015 Pak Roshan 343 views Berita Pilihan,Mutakhir,Politik

FW9A1229

KOTA KINABALU : Seorang penyokong kerajaan pada Selasa mencadangkan agar Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilarang daripada memasuki Sabah berikutan tindakannya menemui anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Datuk Mohd Suhaili Said (BN-Tungku) berkata perbuatan Nurul Izzah itu amat tidak wajar kerana rakyat negara ini, khususnya di Sabah, begitu menderita dan marah dengan perbuatan kumpulan bersenjata Sulu menceroboh Tanduo, Lahad Datu, pada tahun 2013.

“Apa masalahnya apabila Nurul Izzah menemui Jacel H.Kiram? Jacel minta bukan apa (tetapi) menuntut Sabah untuk masuk sebagai (Kesultanan) Sulu punya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Selasa.

Beliau berkata soal Kesultanan Sulu atau Filipina menuntut Sabah itu hal mereka, namun beliau menegaskan rakyat Sabah telahpun membuat keputusan dan memilih untuk bersama Malaysia.

Jacel memuat naik empat keping gambar pada 9 Nov lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.

Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini, mengaku bertemu Jacel semasa berada di Filipina bersama dengan anggota Parlimen Batu, Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara itu.

Menceritakan penderitaan dan kesukaran hidup yang dialami penduduk Lahad Datu, khususnya dalam DUN Tungku ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu itu, Suhaili berkata keadaan penduduk ketika itu amat sukar kerana terpaksa lari sehelai sepinggang meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri selepas pertempuran tercetus.

Ada penduduk yang melarikan diri ke kawasan Felda dan tinggal di dewan dan sebelum bantuan kerajaan tiba, beliau sendiri terpaksa berhutang kira-kira RM7,000 untuk membeli barangan keperluan seperti makanan dan minuman untuk membantu mangsa konflik yang ditimbulkan kumpulan pengganas Sulu.

Malah, kata Suhaili, ekoran peristiwa itu, empat bayi yang baru dilahirkan turut meninggal dunia.

Justeru, Suhaili mengajak semua rakyat tidak mengira latar belakang fahaman politik, kaum dan agama agar terus bersatu mempertahankan kedaulatan Sabah agar keamanan di negeri Sabah terus kekal dan terpelihara.

Katanya aktiviti dan tuntutan kumpulan seperti Sabah Sarawak Keluar Malaysia yang menghasut untuk membawa Sabah keluar daripada Malaysia tidak harus dilayan kerana tuntutan seperti itu akhirnya akan membawa kepada keadaan tidak aman dalam negara.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan