Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ADUN Sindumin Cadang Bayaran Menggunakan Tandas Di Pusat Beli-belah Dihapuskan

tandas

KOTA KINABALU : Amalan mengenakan bayaran terhadap pengunjung yang menggunakan tandas di kompleks beli-belah di Sabah perlu dihapuskan, kata seorang penyokong kerajaan Selasa.

Ketika membahaskan Bajet Negeri Sabah 2016 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini, Datuk Ahmad Bujang (BN-Sindumin) berkata bayaran itu tidak harus dikenakan kerana kos penggunaan kemudahan itu oleh pengunjung telah ditanggung oleh penyewa kompleks.

“Penyewa sudah membayar yuran perkhidmatan setiap bulan kepada pengurusan kompleks. Mengapa pelanggan yang kita panggil untuk datang membeli barang (di kompleks beli-belah) harus dikenakan bayaran,” katanya.

Ahmad juga berharap pihak berkuasa mengambil serius berkenaan penjagaan kebersihan tandas awam di Sabah bukan sahaja untuk keselesaan pengguna tempatan tetapi bagi menjaga imej Sabah di kalangan pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini.

Sambil memuji beberapa kejayaan dalam usaha kerajaan menaik taraf kemudahan tandas awam di Sabah, beliau bagaimanapun berkata tahap kebersihan kemudahan itu di Sabah masih jauh berbanding beberapa negara maju.

Katanya tandas di kompleks beli-belah tidak terkecuali kerana masih banyak tandas di kompleks beli-belah tidak memenuhi kualiti kebersihan tandas yang diinginkan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad meminta pihak berkuasa agar meneliti masalah bangunan yang pembinaannya terbengkalai berpuluh-puluh tahun di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu kerana ia mencacatkan pemandangan dan imej bandar raya di kalangan pelancong.

Katanya sekiranya ada peruntukan undang-undang berkaitan yang boleh mengatasi masalah berkenaan maka ia harus dikuatkuasakan bagi memastikan masalah bangunan terbengkalai di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu tidak berterusan.

Ahmad juga mencadangkan supaya kemudahan telekomunikasi seperti Wifi dan Internet di pusat tumpuan pelancong seperti hotel dipertingkatkan aksesnya kerana masih ada hotel di Sabah masih tidak mempunyai akses Wifi dan Internet di bilik mereka meskipun bertaraf empat bintang.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan