Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ADUN PETAGAS RANCANG BINA KILANG KOMUNITI DAN PERSEORANGAN PUTATAN UNTUK TINGKAT DAYASAING USAHAWAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai (tengah) bersama rombongan Pembangunan Ekonomi Daerah Putatan (Unit Usahawan) selepas sesi taklimat di pejabatnya, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Putatan: Satu pelan tindakan kini giat dilaksanakan termasuk pembinaan kilang komuniti dan perseorangan bagi merancakkan daya saing di kalangan usahawan tempatan di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Uda Sulai berkata, pelan menyeluruh membabitkan beberapa rancangan itu bakal meningkatkan lagi pemain-pemain industri di daerah itu sekaligus melonjakkan Putatan sebagai salah satu lokasi perniagaan terkemuka di Sabah.

Beliau berkata, terdapat pelbagai aspek yang harus diambil kira memandangkan faktor geografi kawasan Putatan dan Petagas secara amnya tidak jauh dari pusat bandar serta lapangan terbang di mana perlunya satu mekanisme secara tuntas dalam menawarkan perkhidmatan menarik seperti pelancongan dan perniagaan produk untuk membawa pelanggan ke daerah ini.

“Perlu kajian mengenai perkara ini kerana kalau diikutkan, industri pertanian di Putatan ini kurang dan saya melihat industri pelancongan yang perlu dilonjakkan.

“Kita harus fikirkan apa yang boleh ditawarkan kepada pengunjung atau pelanggan kerana setakat ini, Putatan hanya ada tamu minggu sahaja yang mampu menarik perhatian mereka.

” Sehubungan itu, dengan perancangan membina kilang komuniti atau perseorangan di daerah ini, dapatlah usahawan tempatan kita meningkatkan daya saing mereka dalam menghasilkan produk lebih berkualiti untuk dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat bersama rombongan Pembangunan Ekonomi Daerah Putatan (Unit Usahawan) di pejabatnya, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) baru-baru ini.

Hadir sama adalah ko-ordinator Pembangunan Ekonomi Daerah Putatan (Unit Usahawan), Dg Nuripah Ag Tinggal.

Mengulas lanjut, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah itu berkata, melihat kepada lawatan kerjanya baru-baru ini di Taman Hidupan Liar (THL) Sabah Lok Kawi, beliau berpendapat usahawan tempatan harus bijak mengambil peluang yang tersedia seperti di lokasi berkenaan dalam menawarkan perkhidmatan atau produk mereka kepada pelancong.

“Baru-baru ini, saya sendiri ada melawat THL Sabah di Lok Kawi di mana banyak perkara yang boleh dibuat di sana dan harus mempunyai produk tempatan.

” Seperti contoh pokok Putat yang diambil bersempena nama daerah Putatan, usahawan kita perlu ambil peluang membuat satu produk berasaskannya seperti baju batik dan sebagainya… barulah kita mempunyai satu pendekatan sinonim dengan daerah kita,” katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan