Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ADUN pembangkang Sabah bukan wakil rakyat BN

DATUK Masidi Manjun menjawab pertanyaan media selepas mengangkat sumpah di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – Foto Khairull Azry Bidin

 

KOTA KINABALU: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Sabah tidak lagi dipanggil sebagai wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) kerana semua parti komponennya kecuali UMNO sudah keluar daripada gabungan itu.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata semua ADUN pembangkang kini hanya mewakili parti masing-masing kecuali dua ADUN daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

UPKO dan PBRS menyokong kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) – Pakatan Harapan (PH), namun masing-masing seorang wakil rakyatnya iaitu Datuk Bobbey Suan (Nabawan) dan Datuk Ellron Alfred Angin (Sook) tidak menyertai tindakan parti masing-masing.

“Dalam konteks ini, mereka lebih tepat dikenali sebagai ADUN yang menang atas tiket BN dan kekal bersama kumpulan ADUN daripada UMNO serta PBS,” katanya ketika ditemui pada majlis angkat sumpah 19 daripada 21 ADUN pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Seramai 19 ADUN pembangkang terbabit tidak hadir pada majlis angkat sumpah bersama ADUN kerajaan pada Persidangan Khas DUN Sabah, semalam kerana memboikotnya.

Ia membabitkan sembilan wakil rakyat daripada UMNO, enam daripada PBS, dua daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan masing-masing satu daripada PBRS dan UPKO.

PBS mengumumkan keluar BN beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan lalu namun kekal bekerjasama dengan wakil rakyat UMNO dan STAR, manakala PBRS serta UPKO turut keluar dan menyatakan sokongan kepada kerajaan WARISAN-PH.

Sementara itu, Datuk Masidi Manjun (UMNO-Karanaan) berkata, wakil rakyat yang mengangkat sumpah hari ini menyerahkan kepada mahkamah dan peguam mereka untuk menentukan tindakan seterusnya berhubung pertikaian jawatan ketua menteri dan persidangan DUN yang belum selesai.

Beliau berkata, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang memfailkan kes berhubung kedudukan jawatannya di mahkamah sudah menyatakan untuk membiarkan proses undang-undang menyelesaikan isu berkenaan.

“Kedua-dua pihak (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal and Musa) sebelum ini sudah menjelaskan untuk menyerahkan kepada proses undang-undang bagi menyelesaikan isu ini. Langkah terbaik ialah dengan mematuhi keputusan mahkamah,” katanya.

Mengenai majlis angkat sumpah itu, Masidi berkata, tidak timbul isu mengenai majlis dibuat berasingan kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut kelapangan Speaker.

Selain tidak mengiktiraf Persidangan Khas DUN Sabah semalam, mereka juga belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri persidangan DUN yang dijadualkan pada 2 hingga 4 Julai depan yang akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin. – BH Online

 

Komen


Berita Berkaitan