Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Adun Kuamut sumbang 100 tilam, bantal kepada asrama SK Pekan Tongod

KINABATANGAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah menyumbang 100 tilam berserta bantal dan selimut kepada murid yang terjejas dalam kebakaran asrama desa Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tongod, pada Isnin.

Masiung yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata bantuan itu adalah untuk meringankan beban mangsa terlibat.

Pada masa sama, katanya, dua jawatankuasa dibentuk bagi menyelaras bantuan kepada murid dan rumah terlibat dalam kebakaran berkenaan.

“Jawatankuasa bantuan kepada murid akan diselaraskan Pegawai Pendidikan Daerah Tongod/Telupid, Mahanin Othman,” katanya.

Beliau berkata satu lagi jawatankuasa melibatkan rumah penduduk yang terjejas berhampiran asrama yang terbakar itu akan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Masiung berkata pihaknya juga akan mengemukakan keperluan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk memastikan keselesaan murid terlibat.

“Kita mahu kerajaan memberi peruntukan segera dalam membantu murid terlibat dalam kebakaran ini,” katanya. Dalam pada itu, Masiung mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak kepada sekolah tersebut.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin melahirkan rasa sedih dengan kejadian tersebut.

Beliau berkata kebakaran asrama sekolah itu telah menjejaskan dan membantutkan pembelajaran mangsa. “Saya akan meminta Kementerian Pendidikan bertindak segera dan membina asrama baharu untuk murid- murid luar bandar yang tinggal di asrama itu,” kata Bung Moktar.

Kebakaran pada Isnin memusnahkan satu blok asrama desa itu yang menempatkan 61 murid. – Bernama

Komen


Berita Berkaitan