Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ADUN BN, STAR boikot sidang khas DUN Sabah esok

 

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersetuju memboikot sidang khas DUN Sabah, esok.

Sidang khas DUN itu didakwa menyalahi undang-undang, selain usaha untuk menghina dan menggagalkan proses mahkamah oleh Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk menentukan kesahihan angkat sumpah dua ketua menteri sebelum ini.

Demikian kenyataan bersama dua ‘Timbalan Ketua Menteri’ dalam Kabinet Musa yang dilantik sebelum ini, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, hari ini.

Mereka mendakwa sidang khas DUN itu adalah cubaan mewujudkan perundangan palsu untuk mengangkat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri.

“Pemberitahuan untuk memanggil sidang khas itu adalah bertentangan dengan Perintah No 6 Perintah Tetap Dewan Perundangan, yang memerlukan 21 hari notis sebelum hari persidangan, melainkan jika dalam keadaan kecemasan Yang di-Pertua Negeri boleh mengetepikan keperluan untuk notis sedemikian.

“Dalam notis ini, hanya enam hari sahaja dan tidak ada kejadian darurat,” katanya.

Hajiji dan Jeffrey berkata, berdasarkan Artikel 21 (4) Perlembagaan negeri Sabah, sidang DUN hanya perlu dipanggil tidak lebih 120 hari dari tarikh pembubaran Dewan.

“DUN Sabah dibubarkan pada 7 April lalu dan 120 hari diperlukan untuk persidangan seterusnya iaitu pada 6 Ogos ini.

“Jika Yang di-Pertua Negeri mengambil dan bertindak atas nasihat Shafie, Yang di-Pertua Negeri telah mengikut nasihat Ketua Menteri yang menyalahi undang-undang kerana Musa masih Ketua Menteri yang sah.

“Sehubungan itu, wakil rakyat BN dan STAR bersetuju untuk menegakkan undang-undang serta Perlembagaan Sabah dan kami akan tidak menghadiri atau mengambil bahagian dalam persidangan tidak sah,” kata mereka.

Sebelum ini, Musa memfailkan saman terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.

Musa mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar pada lewat malam 10 Mei lalu berdasarkan majoriti mudah 31 kerusi menerusi kerjasama BN-STAR.

Dua hari kemudian, Mohd Shafie pula mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar selepas mendapat majoriti berikutan enam ADUN BN menyatakan sokongan dan bekerjasama dengan pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN) – Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

KOTA KINABALU 06 JUN 2018. Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika sidang media selepas Majlis Memperingati Tragedi ‘Double Six’ di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, di Kota Kinabalu. STR/MOHD ADAM ARININ. – myMetro Online

Komen


Berita Berkaitan