Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Adab Sesama Ulama

11:40am 04/11/2016 Zakir Sayang Sabah 15 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Saya begitu tertarik dengan dialog ilmu yang baru-baru ini diadakan di Perlis. Menampilkan dua individu yang memiliki pendirian dan manhaj aliran pemikiran yang berbeza. ‘Ala kullihal, ini adalah sebuah keunikan yang sepatutnya kita sama-sama raikan, dan yang paling penting adalah berlapang dada dalam semua keadaan.

Di sini saya ingin berkongsi sebuah kisah yang saya rasakan sangat menarik untuk kita sama-sama selami dan mengambil pengajaran melaluinya.

Salah seorang murid Syeikh Sayyid Alawi bin Abbas Al-Maliki, iaitu Syeikh Abdul Fattah Rawah telah menukilkan satu kisah yang terjadi antara Sayyid Alawi dengan salah seorang ulama’ besar Makkah iaitu Syeikh Ibnu Sa’di di dalam kitabnya Al-Masa’id Al-Rawiyahila Al-AsanidWa Al Kutub Wa Al-Mutun Al-Mardhiyyah.

Syeikh Ibnu Sa’di merupakan seorang ulama’ yang beraliran Salafi. Namun beliau akan tunduk pada kebenaran, tidak kira walau dari siapa kebenaran itu diperolehi.

Pernah satu ketika, hujan lebat turun membasahi sekitar Masjidil Haram, maka pancuran emas di atas Kaabah mengalirkan air hujan yang begitu deras daripada bahagian atas Kaabah, orang-orang Hijaz yang melihat kejadian itu segera berlari menuju saluran itu untuk mendapatkan keberkatan air tersebut. Lalu air itu mereka tuangkan pada baju dan tubuh mereka dengan harapan memperoleh keberkatan daripada air itu.

Melihatkan kejadian tersebut beberapa orang pengawal kerajaan telah menghampiri orang-orang Hijaz itu dan berteriak sambil mengeluarkan kata-kata kasar, ” Wahai orang-orang musyrik, jangan lakukan perbuatan itu. Itu perbuatan syirik!”

Orang-orang Hijaz pun bersurai dan segera menemui Sayyid Alawi yang sedang mengajar murid-muridnya di halaqah tempat beliau mengajar. Mereka bertanya kepada beliau hukum mengambil berkat daripada air hujan yang mengalir dari saluran air di Kaabah. Jelas, Sayyid Alawi mengharuskan bahkan menggalakkan mereka melakukannya.

Buat kali kedua, orang-orang Hijaz tadi beramai-ramai menuju ke saluran air di Kaabah dengan tujuan mengambil berkat, mereka tidak lagi mengendahkan teguran pengawal kerajaan itu sambil berkata, ” Kami tidak peduli teguran kamu, kerana kami telah diberikan fatwa oleh Sayyid Alawi tentang keharusan perbuatan kami ini.”

Pengawal kerajaan tadi segera menemui Syeikh Ibnu Sa’di dan menjelaskan perkara ini kepada beliau. Syeikh Ibnu Sa’di segera mengatur langkah menuju halaqah Sayyid Alawi.

Kemudian, dengan perlahan Syeikh Ibnu Sa’di duduk di sebelah Sayyid Alawi dan dengan penuh sopan, Syeikh Ibnu Sa’di bertanya kepada Sayyid Alawi tentang fatwanya yang mengharuskan mengambil air dari saluran kaabah dan mendapatkan keberkata nmelaluinya.

Mendengar pertanyaan itu, Sayyid Alawi menjawab, “Benar. Bahkan air tersebut memiliki dua keberkatan.”

Syeikh Ibnu Sa’di terkejut mendengar jawapan itu lantas bertanya,”Bagaimana hal itu boleh terjadi?”

Sayyid Alawi menjawab, ” Kerana Allah swt berfirman dalam kitabnya tentang hujan :

” Maksudnya: Dan Kami turunkan dari langit air yang mengandung keberkatan. ” (50:9)

Dan Allah swt juga berfirman mengenai Kaabah:

” Maksudnya: Sesungguhnya rumah yang pertama kali diletakkan bagi umat manusia adalah rumah yang ada di Bakkah(Makkah), yang diberkati (oleh Allah).” (3:96)

“Dengan demikian air hujan yang turun dari saluran air di atas Kaabah itu memiliki dua keberkatan, iaitu berkat yang turun dari langit dan berkat yang terdapat pada Baitullah ini.”

Mendengar jawapan tersebut Syeikh Ibnu Sa’di merasa begitu kagum dengan Sayyid Alawi. Kemudian dengan penuh kesedaran, terlafaz daripada mulut Syeikh Ibnu Sa’di, akan kebenaran ucapan Sayyid Alawi: “SubhanaAllah, bagaimana Kami boleh terlalai daripada kedua-dua ayat ini.”

Syeikh Ibnu Sa’di mengucapkan terima kasih dan meminta izin untuk meninggalkan halaqah, namun sebelum beliau sempat meninggalkan halaqah itu, Sayyid Alawi menitipkan saranan bahawa para pengawal kerajaan tidak akan berhenti mengkafirkan dan mensyirikkan orang dalam masalah ini sebelum mereka melihat orang seperti kamu melarang mereka. Jadi pergilah menuju saluran air di Kaabah itu, lalu ambil air di situ di hadapan para pengawal kerajaan.

Dan akhirnya, Syeikh Ibnu Sa’di melakukan sebagaimana yang telah disarankan oleh Sayyid Alawi. Melihat tindakan Syeikh Ibnu Sa’di ini, para pengawal kerajaan itu pun pergi meninggalkan Masjidil Haram dengan perasaan malu.

Kisah yang cukup ringkas, namun sarat dengan pengajaran yang harus kita teladani ketika berhadapan dengan manhaj aliran pemikiran yang berbeza. Berhenti daripada mengkafirkan, perbanyakkan mencari titik persamaan. WallahuA’lam.

 

*Kisah ini saya nukilkan daripada buku bertajuk : Wahabi dan Kisah-Kisah Keinsafan yang diterbitkan oleh MAIS (Majlis Agama Islam Selangor)

(Sumber: QuranicGen.com, oleh Hanis Halim)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan