Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Adab-Adab Menyambut Aidilfitri Serta Larangannya

tawfiq
Gambar Hiasan

 

Adab-Adab Aidilfitri terbahagi kepada dua, iaitu pada malam raya dan di pagi hari raya:

Malam hari raya

i- Menyambut hari raya dengan takbir dan tahmid

Perkara ini disebutkan di akhir ayat setelah penerangan tentang berpuasa seperti dalam ayat yang selalu dibaca:

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (takbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah:185]

ii- memperbanyakkan doa

Dalam sebuah hadis yang berstatus lemah disebutkan bahawa terdapat 5 malam yang mana tidak akan tertolak doa seseorang itu dan diantaranya adalah pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha. Walaupun begitu, Imam Syafie ada menyebutkan bahawa berdoa pada malam-malam tersebut tidak menjadi kesalahan bahkan amat disukai tetapi tidak boleh menetapkan ia sebagai kefarduan.

iii- bergembira tetapi batasan terjaga

Kesedihan pemergian ramadhan bukan bermakna menjadi penghalang untuk kita bergembira pada malam hari raya kerna ia pergi meninggalkan kita hanya bersama kelebihan yang ada padanya. Adapun Allah tuan kepada ramadhan dan juga kita TETAP ADA dan tetap mendengar rintihan hamba dan tidak pernah berhenti mengurniakan rahmat-Nya.

Justeru, sepatutnya kita perlu terus meminta untuk diistiqamahkan segala kebaikan yang telah dilakukan dalam bulan ramadhan ke dalam bulan yang lainnya. Dr Yusuf Qardawi pernah berkata dalam khutbahnya:

Barangsiapa yang menyembah ramadhan maka ia telah pergi, barangsiapa yang menyembah Allah maka Dia tetap ada mendengar doa-doa kita.

Adapun bergembira perlu kena batasannya. Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita terutamanya perlu dijaga. Jangan mulakan hari kita, setelah melangkah keluar dari bulan mulia dengan maksiat. Bergembira dengan bermain mercun sebaiknya cuba elakkan. Selain membawa kepada pembaziran ia juga boleh memudaratkan. Jika sampai kepada tahap ini maka ia adalah ditegahkan untuk dilakukan.

 

Pagi Hari Raya

i-  mandi sunat aidilfitri

Perbuatan ini disebutkan oleh Imam Malik daripada athar Saidina Umar yang berbuat demikian sebelum beliau keluar untuk menunaikan sola sunat. Tambahan, mandi sunat ini digalakkan untuk semua kelompok manusia lelaki sama ada dewasa atau kanak-kanak juga wanita hatta dalam keadaan berhadas tetapi niat mandi sunat aidilfitri bukan mandi wajib. Dari sudut waktu, kita lebih digalakkan untuk mandi setelah solat subuh.

ii- Memperindahkan hiasan diri

Umumnya bagi semua lapisan manusia pemakaian yang indah amat digalakkan pada hari tersebut. Tidak semestinya baru tetapi ia pakaian terbaik yang kita ada. Jika mampu menyediakan yang baru lebih baik dengan syarat tidak membazir. Bagi lelaki sunat untuk memakai wangi-wangian tidak bagi wanita sekadar keperluan sahaja di samping tidak memakai pakaian yang menarik perhatian jauh sekali yang tidak menutup aurat juga tidak berlebihan dalam bersolek.

Adapun perhiasan yang melampau bahkan salah di sisi agama tidak sama sekali dibenarkan hingga mungkin kepada tahap ingin mengubah ciptaan Allah. Sungguh pada setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya dan Dia Maha Sempurna begitu juga ciptaan-Nya.

*Larangan memakai libas syuhrah (pakaian untuk mencari populariti)

Diriwayatkan oleh Ibn Umar secara mauquf: “Barangsiapa mengenakan pakaian syuhrah (untuk mencari populariti) di dunia, nescaya Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat” [Al-Baihaqi]

Termasuk libas syuhrah itu adalah pakaian yang boleh menimbulkan sifat riya’ sama ada mahal harganya ataupun terlalu terang warnanya (yang tidak sesuai pada adat setempat), juga pakaian yang murah dengan tetapidengan niat menampakkan kezuhudannya.

*Larangan memakai wangi-wangian bagi wanita

Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asyaari bahawa nabi s.a.w bersabda: dan wanita itu apabila memakai bau-bauan yang harum, maka melintasi ia di majlis atau dihadapan orang yang haram ke atasnya memandangnya hingga membuatkan dia sedar dan memandang wanita itu dengan niat jahat, maka fasiq perempuan itu dan berdosa ia. [Tirmizi, Hasan Sahih]

*Doa Nabi s.a.w apabila memakai pakaian baru

Daripada Abi Said, Rasulullah s,a.w apabila mengenakan pakaian yang baru maka berdoa: ” Ya Tuhanku, bagimu kepujian Engkau, yang memberi pakaian ini kepadaku, aku memohon kebaikan dari pakaian ini (tidak untuk tujuan maksiat atau riya’) dan kebaikan pembuatan pakaian ini, dan aku berlindung denganMu daripada kejahatan pakaian ini dan keburukan pembuatan pakaian ini. [Tirmizi, Hasan Sahih Gharib]

Hari raya adalah hari anugerah Allah s.w.t kepada manusia, hari di mana penuh ia barakah dan kebaikan. Justeru, amat rugi jika ia dicemari dengan kemaksiatan.

iii- Makan sebelum bersolat sunat hari raya

Biasanya sewaktu ramadhan kita akan berhenti makan tatkala azan subuh kedengaran. Justeru, bagi membezakan hari ramadhan dan hari raya aidilfitiri disunatkan kepada kita untuk makan sedikit seperti pernah dilakukan oleh baginda s.a.w dalam hadis daripada Anas r.a:

“Nabi s.a.w. tidak keluar untuk menunaikan solat sunat pada pagi hari Aidulfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu.”[Bukhari:899]
Dalam riwayat yanglain menyebutkan bahawa baginda memakan tamar itu dalam jumlah yang ganjil.

 Adapun berpuasa pada hari ini (1 Syawal) adalah haram hukumnya. Namun, kita masih disunatkan bahkan amat dituntut untuk melakukan puasa sebanyak 6 hari dalam bulan syawal yang mana ganjarannya cukup besar. Daripada Abu Ayub Al-Ansari:

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian disusuli dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Muslim:1976)

Orang yang bertaqwa pasti merindui ramadhan. Bahkan para sahabat baginda s.a.w menangisi pemergiannya hatta ada yang mengharap sepanjang tahun itu adalah ramadhan. Demikian Allah kurniakan ganjaran yang sama dengan berpuasa sepanjang tahun. Maka rugilah mereka yang tidak berusaha merebut peluang keemasan ini. Cuma perlu diingatkan, janganlah kita terlalu banyak  makan hingga kita lupakan akan kesihatan kita. Berwaspada.

iv- Keluar beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat

Demi menzahirkan rasa kegembiraan manusia terhadap hari raya maka disuruh para wanita yang dalam keadaan haid sekalipun untuk turut serta tapi bukan bersolat sekadar mendengar khutbah dan meraikan kemeriahan. Ummu A’tiyah ada berkata:

Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada aidilfitri dan aidiladha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (HR Bukhari).

Tambahan lagi kita lebih digalakkan untuk berjalan kaki sekiranya berkemampuan juga tidak mendatangkan mudharat yang lain kerana dengan itu kita lebih dapat banyak peluang dengan ramai orang seperti saranan baginda pada pagi hari raya.

v- Solat sunat aidilfitri

Waktu solat ‘eid ini dilakukan pada waktu pagi namun tidak digalakkan untuk dilakukan terlalu awal kerana memberi peluang kepada umat islam untuk menyempurnakan tuntutan zakat juga memberi ruang untuk bertakbir dan bertahmid kerana aidilfitri masa untuk ibadat keduanya sebentar cuma. Tamabahan lagi solat sunat sebelum melaksanakan solat ‘eid tidak disyariatkan seperti hadis nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a:

Sesungguhnya nabi s.a.w keluar untuk bersolat hari raya ‘eid sebanyak dua rakaat tetapi tidak menunaikan solat sunat sebelum atau selepasnya dan bersama-sama baginda adalah Bilal.[Bukhari:934]

Tambahan lagi, solat sunat eid ini tidak perlu kepada azan dan juga khutbahnya adalah selepas solat bukan seperti solat Jumaat iqamah seperti sabda baginda s.a.w:

Sesungguhnya tidak ada azan untuk solat aidilfitri dan aidiladha, dan sesungguhnya khutbah itu selepas usai solat(sunat hari raya) [Bukhari:905]

vi- Disunatkan pergi dan pulang dari solat melalui jalan yang berbeza.

Setelah usai bersolat, hendak pulang daripada solat ‘Eid kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berbeza seperti perbuatan nabi yang dirawayat oleh Jabir r.a:

“Nabi s.a.w  jika bersolat `Eid, Baginda mengambil jalan yang berbeza antara pergi dan pulang” (HR Bukhari)

Kemungkinan hikmah perbuatan baginda adalah supaya kita dapat berjumpa dengan manusia bagi mengeratkan hubungan sesama kita. Adapun perkataan yang digalakkan untuk disebutkan ketika bertemu adalah yang baik dan menggambarkan suasana yang gembira. Bagi para sahabat mereka sering mengucapkan:

“TaqabbalaLlah minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)”  


vii- Saling menziarahi dan menziarahi kubur

Dituntut juga kita saling menziarahi sesama saudara dan sahabat handai untuk mengeratkan sillaturahim. Cuma perihal bersalaman antara bukan mahram perlu dititik beratkan supaya tidak hilang keberkatan aidilfitri yang merupakan hadiah agung daripada Allah.

Ketika berziarah pula adab-adab dan nilai murni perlu dijaga. Tidak terlalu lama. Menjaga batasan pandangan. Adapun jika dihidangkan makanan walhal kita sedang berpuasa, maka sunat untuk kita berbuka bagi meraikan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makanan seperti perbuatan nabi s.a.w yang disebutkan dalam hadis.

Dalam bab menziarahi kubur tidak disyariatkan untuk berziarah ketika pagi hari raya. Tetapi mengambil alasan bahawa pada ketika inilah kebanyakan dalam kalangan manusia pulang ke kampong halaman. Maka ini adalah kesempatan mereka untuk berziarah. Tiada masalah. Cuma yang salah dari sudut pemikiran adalah waktu pagi ini sahaja yang mesti berziarah bagi mereka yang berdekatan.

 

Konklusi: Istiqamah

Ramadhan merupakan bulan perniagaan kita dengan Allah s.w.t yang mana segala modal dikeluarkan oleh Allah bermula daripada kudrat kita berpuasa dan melakukan ibadah yang lainnya hinggalah kepada fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam bulan ramadhan.

Tetapi baiknya Allah segala keuntungan kita perolehi. Bahkan tidak membawa untung apapun pada Allah jika kita ambil atau tinggal. Kita hanya ibarat peniaga yang hanya berusaha menggunakan modal untuk keuntungan kita semata-mata dan pasti jika kita merebutnya maka tiada sebarang kerugian yang ditanggung.

Adapun setelah berlalu ramadhan ini, maka promosi-promosi yang disediakan pada mulia tersebut tidak lagi dapat kita kecapi. Pun begitu rahmat Allah senantiasa terbuka untuk kita meminta doa. Paling penting adalah kita berdoa moga Allah kuatkan kita untuk istiqamah dengan kebaikan yang dilaksanakan pada bulan ramadhan dapat kita praktikkan pada bulan yang lain.

Melihat tarbiyah ramadhan berkesan bukan pada ketika kita berada di dalamnya, tetapi bagaimana kesannya pada kehidupan sebelas bulan mendatang dari sudut ibadah dan juga akhlak kita.

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Muhammad Uzair bin Izham)

Komen


Berita Berkaitan