Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ada peluang rampas Parlimen Sandakan

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas semula kerusi Parlimen itu daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan sokongan pengundi Bumiputera dan kaum Tionghua yang semakin meningkat.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang juga Setiausaha BN Sandakan, Datuk Lim Ming Hoo, berkata ia berdasarkan reaksi kedua-dua kumpulan pengundi berkenaan terhadap setiap aktiviti turun padang dilaksanakan jentera pilihan raya BN.

LIM Ming Hoo. – Foto ihsan Parti Liberal Demokratik

Katanya, ia membawa perkembangan baik terhadap usaha BN bagi merebut kerusi berkenaan yang kini disandang wakil rakyat DAP, Stephen Wong Tien Fatt.

“Berdasarkan maklum balas daripada pengundi Tionghua, mereka kecewa terhadap pembangkang kerana tiada sebarang pembangunan, pelaburan dan perubahan fizikal di kawasan Parlimen sejak lima tahun lalu.

“Pengundi Bumiputera juga hampa kerana pembangkang tak tunaikan janji,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ming Hoo berkata, pengundi cuma menikmati kemajuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat dan DUN Elopura yang dibawa oleh kerajaan negeri.

Katanya, parti komponen BN di kawasan itu juga bekerja sebagai satu kumpulan sejak PRU-13 dalam usaha memenangi semula hati pengundi di kawasan terbabit.

“Sejak PRU-13, kita tidak lagi bekerja berdasarkan parti komponen, sebaliknya bergabung dalam satu pasukan untuk mendekati pengundi dan kita percaya kerja keras selama ini akan membuahkan hasil,” katanya.

Ditanya sama ada calon BN sudah dikenal pasti bagi kerusi Parlimen Sandakan, Ming Hoo berkata, LDP sudah menghantar senarai nama dan menyerahkan keputusan menentukan calon kepada kepemimpinan BN.

“Ada beberapa nama disebut-sebut sebelum ini, namun terpulang kepada kepemimpinan untuk tentukan siapa yang layak,” katanya.

Pada PRU-13, calon BN, Datuk Liew Vui Keong yang bertanding di kerusi Parlimen Sandakan tewas kepada Tien Faat yang memperoleh majoriti 1,088 undi. Vui Keong kini berada dalam pembangkang.

Komen


Berita Berkaitan