Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Abu Sayaff Ugut Kami Minta Tebusan, Kata Keluarga Mangsa Culik Dent Haven

9:08pm 18/10/2016 Pak Roshan 796 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan
SEBAHAGIAN waris dan ahli keluarga mangsa culik warga Malaysia pada Julai lali mengadakan sidang media di Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming

SEBAHAGIAN waris dan ahli keluarga mangsa culik warga Malaysia pada Julai lali mengadakan sidang media di Tawau, hari ini. – Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU : Keluarga lima lelaki yang diculik di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada Julai lepas mendakwa kumpulan militan Abu Sayaff di selatan Filipina mengugut mereka dengan meminta wang tebusan.

Gustiah Sultan, 46, isteri Tayudin Anjut, 45, seorang daripada mangsa culik itu, berkata keluarga semua mangsa culik kerap menerima panggilan telefon daripada kumpulan itu meminta bayaran wang tebusan.

“Panggilan terakhir kami terima daripada mereka (Abu Sayaff) pada 4.19 petang Rabu lalu (12 Okt) meminta wang tebusan berjumlah RM2 juta dalam tempoh empat hari untuk kami bayar.

“Mereka mengancam memenggal kepala tebusan jika kami gagal membayar wang tebusan itu… tetapi kami merayu untuk berikan tempoh lebih lama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gustiah yang bercakap mewakili keluarga semua mangsa culik itu, berkata, mereka berasa amat terdesak dan berharap mendapat semua bantuan yang diperlukan supaya semua mangsa dapat pulang dengan selamat.

Dalam kejadian pada 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia yang diculik itu ialah kru sebuah kapal tunda. Empat yang lain ialah Abd Rahim Summas, 62, Fandy Bakran, 26, Mohamad Jumadil Rahim, 23, semua dari daerah ini, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari FELDA Jengka 7, Pahang.

Gustiah berkata keluarga terbabit juga berasa amat bimbang apabila mendengar khabar bahawa Abd Rahim telah dipisahkan daripada empat tebusan yang lain.

“Ketika suami saya menelefon, dia telah memberitahu sepupu saya bahawa Rahim telah diasingkan daripada mereka, dan dia tidak mengetahui ke mana Rahim dibawa pergi,” katanya.

Kapal tunda dinaiki mangsa culik berkenaan, Serudong 3 dirampas oleh kumpulan itu semasa melalui perairan Dent Haven ketika dalam pelayaran ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.

Kapal tunda itu ditemukan terkandas di kawasan beting pasir dalam keadaan enjin hidup manakala barangan di dalamnya berselerak.

Kumpulan Abu Sayaff, giat menjalankan penculikan bagi tebusan, membawa mangsa culik berkenaan ke tempat persembunyian mereka di pulau Mindanao di selatan Filipina.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan