Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

945 Kanak-kanak Jalanan Diselamatkan Di Sabah Tahun Lepas – Jainab

6:54pm 21/04/2016 Pak Roshan 540 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Laporan Sidang DUN,Mutakhir,Tempatan

18107_436166139881798_4732385011646594042_n

KOTA KINABALU : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya menyelamatkan seramai 945 kanak-kanak jalanan dalam operasi bersepadu di seluruh Sabah pada tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 111 orang kanak-kanak adalah warganegara (Malaysia) dan selebihnya seramai 834 orang adalah warga asing.

“Bagi membantu golongan berkenaan, kita akan menempatkan kanak-kanak warganegara di rumah kanak-kanak Kota Kinabalu sehingga mereka dituntut semula oleh anggota keluarga masing-masing.

“Namun sekiranya tidak dituntut, kanak-kanak berkenaan akan ditempatkan di rumah kanak-kanak selama tiga tahun atau sehingga mereka mencapai umur 18 tahun.

“Bagi kanak-kanak bukan warganegara, mereka akan dihantar ke rumah perlindungan ihsan dan mengikuti program harian yang diaturkan dan akan dikembalikan ke pangkuan keluarga (jika ada keluarga menuntut), namun jika tiada yang menuntut mereka akan diuruskan oleh ‘Task Force’ untuk dihantar ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Muis Picho (BN-Sebatik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Siringan Gubat berkata sehingga kini, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) telah melatih seramai 21,384 orang dalam pelbagai bidang kemahiran teknikal dan perdagangan sejak Julai 1988.

“Seramai 6,384 orang adalah graduan dari Institut Latihan Teknik dan Perdagangan JPSM Papar dan 15,000 orang pula terdiri daripada belia orang kurang upaya dan ibu tunggal yang mengikuti program perkongsian dengan pusat latihan bertauliah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong).

Katanya, berdasarkan kajian pengesanan graduan yang dikendalikan oleh kementeriannya bersama JPSM pada tahun 2006 hingga 2010, mendapati sebanyak 65.2 peratus hingga 76.8 peratus lepasan latihan kemahiran JPSM berjaya mendapat pekerjaan.

“Ini menunjukkan bahawa graduan latihan kemahiran JPSM telah diterima sebaiknya dalam pelbagai sektor pekerjaan di negeri ini,” tambah beliau.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan