Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

915 Diperiksa Dalam Ops Gasak Di Pinggiran Bandar Sandakan

gasak
Gambar Hiasan

SANDAKAN : Seramai 915 orang diperiksa dalam Ops Gasak yang diterajukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sekitar pinggiran bandar ini selama tiga hari bermula 6 Ogos lepas sehingga hari ini.

Pengarah Pasukan Siasatan Khas/Teknikal ESSCom SAC Rosli Mohd Isa berkata daripada jumlah itu, 323 orang telah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara Sandakan untuk tapisan dan pemeriksaan.

Katanya selepas tapisan dibuat, 124 orang yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk urusan penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Rosli berkata kesemua mereka ditahan di tiga kawasan perkampungan setinggan iaitu penempatan haram berhampiran rumah pangsa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di Jalan Batu Sapi, Kampung Mangkalinau dan Kampung Melayu Batu 8.

“Mereka ditahan kerana tidak memilik dokumen pengenalan diri yang sah. Ops Gasak merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ESSCom untuk membersihkan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), termasuk Sandakan, daripada PATI,” katanya selepas meninjau Ops Gasak di Kampung Melayu Batu 8, dekat sini Sabtu.

Beliau berkata operasi memburu PATI itu berakhir hari ini tanpa sebarang gangguan.

“Operasi memburu PATI berskala besar ini telah masuk hari ketiga iaitu hari terakhir Ops Gasak, dan Alhamdulillah tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Operasi hari ketiga tertumpu di Kampung Melayu Batu 8. Selepas ini, operasi bersepadu berskala kecil akan diteruskan,” katanya.

Rosli berkata Ops Gasak itu dilaksanakan serentak dengan operasi membanteras sambungan elektrik haram yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Tenaga dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Operasi bersama ini menyaksikan sejumlah besar kabel dan wayar dirampas di tiga perkampungan setinggan tersebut, dan ini merupakan satu kejayaan yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berharap operasi seumpama itu dapat diperluaskan ke daerah lain di ESSZone, sekali gus mengurangkan kerugian yang diamali oleh SESB akibat penyambungan bekalan elektrik secara haram.

Selain ESSCom, Suruhanjaya Tenaga dan SESB, operasi membanteras sambungan elektrik haram itu disertai bahagian penguatkuasaan MPS, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bekalan Air dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sebelum ini, seorang pegawai bomba, Apolos Jeromos, 25, terkorban akibat renjatan elektrik disebabkan penyambungan haram ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran api belukar di Taman Kenari, Batu 7, Sandakan.

Pendawaian haram itu dipercayai untuk kegunaan sekelompok rumah setinggan terpencil sekitar belukar itu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan