Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

9 premis terpilih program Touch Point

touch point

KOTA KINABALU — Kempen keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga elektrik perlu di manfaatkan secara berterusan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Ini kerana, banyak kes kemalangan dan kebakaran yang berlaku disebabkan oleh kecuaian, pendawaian elektrik yang tidak selamat serta kurang pengetahuan mengenai keselamatan elektrik.

Menurut Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah, Nazlin Ab Alim Sidiki, program Touch Point diperkenalkan untuk mendidik orang ramai mengenai keperluan mendapatkan khidmat orang kompeten yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di premis masing-masing

“Program ini diadakan dengan kerjasama dan bantuan teknikal daripada kontraktor-kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

“Dalam program kali ini, pihak kontraktor telah membaiki atau menggantikan kelengkapan elektrik seperti soket dan suis yang rosak serta menukar lampu jenis fluorescent lamp kepada lampu cekap tenaga,” katanya.

Nazlin menambah sebanyak sembilan buah premis telah dipilih sebagai peserta program Touch Point iaitu Tabika Perpaduan di Kampung Panagatan Ulu, Kampung Baginda dan Kampung Tohan Baru.

Selain itu, ia turut melibatkan tadika Kemas di empat buah kampung iaitu Kampung Bingkor, Tuntumulod, Kikiran dan Meninipir turut menjadi peserta kepada program ini.

“Selain itu, premis bangunan Pusat Orang-Orang Pekak Keningau dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti Keningau juga telah dipilih oleh Suruhanjaya Tenaga untuk membantu atau mendidik pihak pengurusan premis-premis ini mengenai keselamatan elektrik dan mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap.

“Ia sekaligus memastikan keselamatan para penghuni peserta program yang terdiri daripada kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU) dari kemalangan elektrik jika terdapat sambungan pendawaian yang kurang sempurna serta memberi sedikit keselesaan kepada penghuni kanak-kanak serta rumah OKU,” ujarnya.

Jelas beliau, kepentingan menggunakan tenaga elektrik secara cekap perlu diamalkan terutamanya pada masa kini di mana sumber tenaga semakin berkurangan dan kos utiliti yang semakin meningkat.

Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Tenaga selaku pengawal selia industri tenaga dan keselamatan elektrik di Semenanjung dan Sabah telah menganjurkan pelbagai program dan kempen untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan memastikan pendawaian elektrik yang selamat di premis masing-masing dan mendidik pengguna mengenai kaedah penjimatan tenaga.

Baru-baru ini Suruhanjaya Tenaga Kawasan Pantai Barat Sabah melalui program tanggungjawab sosial telah membuat pemeriksaan pepasangan elektrik dan penggantian kelengkapan elektrik kepada kelengkapan cekap tenaga di beberapa buah premis terpilih di sekitar daerah Keningau.

Katanya, program itu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan semua pihak mengenai kepentingan keselamatan elektrik dan penjimatan tenaga.

Sebanyak lapan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga di daerah Keningau telah secara sukarela menyertai program ini untuk memberikan khidmat nasihat mengenai keadaan pendawaian kepada peserta-peserta program.

Komen


Berita Berkaitan