Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

9 Larangan Yang Perlu Dielakkan Semasa Aidilfitri

Gambar Hiasan

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam; untuk diraikan dengan kegembiraan dan rasa syukur. Namun, dalam waktu kita berhari raya masih terdapat golongan yang sangat mengambil mudah dengan hari mulia ini. Hari tersebut kadang-kadang dianggap sebagai hari yang ‘bebas’ dalam melakukan apa sahaja, selain hari yang terlepas dari ikatan agama.

Sesungguhnya, walaupun Aidilfitri adalah hari kemenangan, itu tidak bermakna kita boleh melakukan pelbagai perkara. Berikut merupakan beberapa larangan ringkas yang sewajarnya dielakkan semasa menyambut hari raya Aidilfitri:

#1 – Kebebasan Pada Hari Raya

Kebanyakkan orang menganggap hari raya sebagai lesen untuk mereka bebas bercampur gaul, iaitu semasa mengunjungi dan dikunjungi oleh sahabat handai yang berbeza jantina. Selain itu, pada hari raya juga banyak didapati rumah-rumah dihaisi dengan alunan muzik dan rancangan filem yang melalaikan.

#2 – Pergaulan Dan Sentuhan

Dalam sambutan hari raya, terdapat golongan yang bukan mahram juga berjabat tangan. Hal ini berlaku terutamanya ketika berziarah ke rumah jiran dan rakan-rakan.

Kadang-kadang hal ini tidak disedari kerana anggapan bahawa saudara mara halal untuk bersalam. Namun begitu, saudara mara juga tetap ada batasan tertentu dan setiap umat Islam mestilah merujuk semula siapakah golongan yang boleh bersalam dan sebaliknya.

#3 – Tidak Menutup Aurat

Aurat adalah hal yang sangat perlu dititikberatkan, terutamanya ketika berkumpul beramai-ramai pada musim perayaan. Contohnya ketika berkumpul di kampung, terdapat ipar duai yang tidak menjaga aurat antara satu sama lain.

Selain itu, hal ini juga boleh terjadi ketika tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah sama ada sengaja ataupun sebaliknya. Semua itu sangat perlu dijaga dan ditelitikan.

#4 – Berhias Dengan Berlebihan

Adalah dilarang apabila kaum wanita memakai wangian dan solekan secara berlebih-lebihan, namun semua ini sangat banyak berlaku ketika tibanya musim perayaan. Banyak yang menjadikan hari raya sebagai alasan untuk lebih bergaya dan berhias lebih dari kebiasaan.

Oleh itu, sebelum keluar dari rumah dan beraya, pastikan kaum wanita tidak berhias dengan solekan yang berlebih-lebihan.

#5 – Berpakaian Tidak Sopan

Pakaian adalah suatu yang sangat dipentingkan ketika hari raya, namun elakkanlah mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat, terutamanya golongan wanita; seperti saiz baju yang sempit, nipis, jarang, terlalu menarik, singkat dan sebagainya.

Berpakaian sopanlah untuk bertandang ke khalayak ramai. Jangan jadikan hari raya sebagai hari yang bergaya tetapi tidak menepati syariat yang ditetapkan.

#6 – Menziarahi Kubur

Pada pandangan sesetengah ulama, berkumpul beramai-ramai di kubur dan membaca surah Yasin adalah dilarang. Selain itu, larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib as-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang (Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin).

Selain itu, perbuatan yang menjadikan awal pagi dua hari raya sebagai hari menziarahi kubur juga adalah perbuatan yang tidak tepat dengan maksud dan syiar hari raya; yang sepatutnya dizahirkan dengan keseronokan dan kegembiraan.

Perbuatan menziarahi kubur yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW adalah untuk mengingati mati dan memberi keinsafan, bukan hanya mengingati ibu bapa atau keluarga yang telah meninggal dunia pada waktu dan musim tertentu sahaja.

#7 – Meninggalkan Solat Wajib

Kadang-kadang dalam kesibukan beraya, menyambut tetamu, dan bertandang ke rumah orang lain untuk beraya, menjadikan kita tertinggal solat lima waktu. Oleh itu, sentiasa ingatkan diri dan ahli keluarga agar sentiasa menjaga dan memastikan waktu solat bagi mengelakkan diri dari terlalai.

Jangan jadikan alasan berhari raya untuk kita meninggalkan solat. Bukankah hari raya adalah hari untuk kita bersyukur, jadi tidak tepat untuk tidak bersolat, bukan?

#8 – Dosa Bertempoh

Paling dikesalkan adalah terdapat dalam golongan umat Islam yang kembali melakukan kesalahan yang hanya ditinggalkan di bulan Ramadan, malah diniatkan untuk disambung selepas Ramadan berakhir. Contohnya, ada yang menangguhkan pergaduhan di bulan Ramadan, dan menyambung pergaduhan kembali selepas itu.

Selain itu, Syawal juga dijadikan bulan untuk ‘mendekati perbuatan haram’, waktu inilah anak-anak muda keluar beraya dengan pasangan masing-masing yang masih belum halal. Hal itu sebenarnya mesti dielakkan.

#9 – Pembaziran

Pada musim perayaan juga, berlakunya banyaknya pembaziran iaitu dari segi kewangan, masa dan sebagainya. Kebanyakan pembaziran berlaku lantaran persiapan perayaan seperti makanan, pakaian, dan peralatan seperti perabot baru dan sebagainya.

Walaupun Aidilfitri adalah hari untuk diraikan oleh umat Islam dengan gembira dan seronok, namun semua itu bukanlah kewajipan. Pakailah pakaian cantik yang dimiliki, namun tidak semestinya mahal dan baharu. Makanlah makanan dengan kemampuan kita, bukan untuk berlebih dan bermewah. Amalan membazir hanya mengurangan pahala sedia ada kita tanpa apa-apa kebaikan pun.

Semoga Aidilfitri yang kita sambut pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat Allah SWT. Sambutlah hari kemenangan kita ini dengan penuh rasa syukur dan bersederhana. Bantulah golongan yang memerlukan untuk sama-sama beraya dan bergembira, agar rasa seronok benar-benar bermakna buat kita. Amin.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Rabiatul Adaweeyah)

Komen


Berita Berkaitan