Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

9 Kebaikan Berzikir Yang Perlu Anda Tahu

4:16pm 19/10/2016 Zakir Sayang Sabah 82 views Tempatan

rsz_123940_tasbih

Zikir bukan sahaja dilakukan selepas solat tapi boleh pada pada bila-bila masa. Sibuk dengan aktiviti harian bukan bermakna tiada ruang untuk berzikir. Ia paling mudah dilakukan, namun kebaikannya terlalu besar untuk disia-siakan.

#1 – Menghalau Syaitan

Syaitan benci kepada manusia yang patuh kepada perintah Allah. Kerana itulah ia sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Pelbagai hasutan dibisikkan supaya manusia mendapat kemurkaan Allah.

Tatkala seorang manusia berzikir, zikir yang dibacanya dengan serta-merta menjadi pendinding diri. Syaitan menjadi lemah kerana manusia yang dihasutnya kini sedang dalam kekuatan. Lalu, syaitan bertindak menjauhkan diri.

#2 – Allah Ingat Kepadanya

Sebagai Pencipta dan Pemilik seluruh alam semesta, tentunya Allah suka kepada hambaNya yang mengingatiNya.

Allah berfirman yang bermaksud ;

“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.”

(Al-Baqarah: 152)

Jika kita ingat kepada Allah semasa senang, Allah pasti akan mengingati kita semasa sukar.

Cahaya menerangi seluruh diri dan hidup sesiapa yang mengingati Allah. Apa yang dipohon kepada Allah, insyaAllah akan dimakbulkan olehNya. Siapa yang berusaha untuk dekat kepadaNya pasti mendapat apa yang dingininya.

“Aku Bersama HambaKu Yang MengingatiKu.”

(Sahih al-Bukhari)

#3 – Menanam Rasa Syukur

Zikir menjadi asas rasa syukur kita kepada Allah S.W.T. Semakin banyak kita berzikir bermaksud semakin banyak kesyukuran kita kepada Allah.

Lidah yang basah kerana zikir terlepas dari mengatakan hal-hal yang tidak baik dan merosakkan. Apa jua kerosakan yang berpunca dari lidah seperti menipu, mengumpat dan memfitnah telah terhalang oleh kebiasaan berzikir.

#4 – Menambah Cinta Kepada Allah

Bila kita cintakan seseorang, nama dan dirinya selalu disebut dan diingati. Perasaan orang bercinta begitu indah sehingga sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Begitulah juga bila kita bercinta dengan Allah. Semakin banyak kita berzikir, semakin dekat Allah mengisi hati kita. Zikir menjadi kunci kita kepada pintu cintaNya.

Perasaan sedar akan kebesaran Allah inilah yang menjadikan kita umat Islam yang hebat bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Kita yakin Allah adalah satu-satunya di hati kita, yang melindungi, yang membimbing, dan yang membahagiakan. KepadaNya jualah tempat kita meletakkan sepenuh harapan.

#5 – Membersihkan Hati

Zikir adalah ubat bagi semua penyakit hati. Hati yang kotor kembali suci dengan zikir. Hati yang mati, hidup semula kerana mengingati Allah.

Seperti kata Ibn Taymiyyah ;

Perlunya zikir kepada hati sama seperti air diperlukan oleh seekor ikan. Maka, zikir ini juga sering dikatakan sebagai makanan kepada hati dan jiwa.

Hamba yang lalai dalam mengingati Allah, akan meletakkan hatinya dalam kejauhan dan kekosongan. Ini kerana Allah bukan lagi menjadi keutamaan. Dirinya sentiasa mencari sesuatu bagi mengisi hati yang sering kosong.

Hati yang dikawal oleh zikir pula sudah dipenuhi dengan kasih dan sayang Allah. Ia menjadikan pemiliknya mendapat nikmat yang tidak mampu dibeli walau dengan seluruh kekayaan di dunia ini.

#6 – Membuang Kebimbangan

Dalam kesukaran, tambahkan zikir.

Sebutlah “Subhanallah”, “Alhamdulillah”, dan “Allahu Akhbar.”

Pujian, kesyukuran dan mengingati kebesaran Allah ini akan melegakan hati dan minda yang dilanda kebimbangan. Hanya Allah Yang Maha Kuasa Berkuasa di atas segalanya. Apa yang berlaku hanya akan berlaku atas keizinan Allah SWT sahaja. Maka pergantungan kita hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

Lalu, zikir menukar perasaan bimbang itu kepada ketenangan dan kegembiraan. Semua ketakutan hilang serta-merta kerana keyakinan kepada Allah. Hati dan minda yang tenang secara langsung menjadikan kita hamba yang kuat. Orang yang mempunyai hati yang tenang pasti akan terpancar di wajahnya cahaya kebahagiaan.

#7 – Mendapat Kebaikan Di Dunia

Orang yang sedang berzikir dkelilingi para malaikat. Hidupnya sentiasa dalam keberkatan dari Allah. Zikir menimbulkan keseronokan untuk melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Segala yang dilakukan di dunia mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Zikir mengurangkan beban seseorang. Sebagai contoh, Fatimah R.A. mengadu kepada Rasulullah kerana keletihan melakukan tugasan hariannya.

Rasulullah menasihatkan Fatimah R.A agar berzikir ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, dan ‘Allahu Akhbar’.

#8 – Mendapat Ganjaran Dari Allah

Walaupun zikir amat mudah dilakukan, namun ganjarannya begitu besar. Allah memberi keampunan dan pahala buat hamba yang berzikir kepadaNya. Dirinya seperti berada di dalam taman syurga di mana kebaikan mengelilingi dirinya. Zikir menjadi sumber pahala buat diri mereka yang mengamalkannya.

Sekumpulan orang miskin bertemu Rasulullah mengadu tentang pahala yang lebih besar bagi mereka yang kaya dan berharta kerana kemampuan mereka. Mereka mengadu, “Orang-orang kaya bersolat dan berpuasa seperti kami tapi mereka melebihi kami dalam mengerjakan haji dan umrah, dan berjihad dengan harta mereka.” Rasulullah kemudian menasihatkan mereka untuk mengucapkan ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘Allahu Akhbar’ setiap kali selepas solat.

(Sahih Bukhari)

Ini menunjukkan yang kepentingan berzikir telah menyamai pelbagai bentuk ibadat seperti umrah, haji, jihad dan sebagainya.

#9 – Mendapat Kebaikan Akhirat

Dalam kesunyian malam, bibir mengucapkan zikir diiringi air mata. Kebaikan akhirat pastinya impian bagi semua umat Islam. Zikir menjadi cahaya bukan sahaja semasa hidup, malah cahayanya turut menerangi kuburnya kelak.

Di akhirat kelak, zikir juga memberi manfaat kepada yang sentiasa melakukannya. Zikir boleh menyelamatkan diri daripada api neraka yang amat menyeksakan.

Orang yang bertakwa menyibukkan dirinya dengan zikir. Dalam duduk, berdiri, berjalan dan baringnya sentiasa ada Allah. Dunia menjadi saksi amalannya. Dan pastinya tempat mereka yang bertakwa adalah syurga Allah.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan