
KOTA KINABALU- Lebih kurang seramai 800 peserta daripada dalam dan luar negara menyertai Persidangan Luka Borneo Utara (North Borneo Wound Conference) 2016 kali kelima yang berlansung selama tiga hari bermula hari ini (19 Ogos) sehingga Ahad (21 Ogos).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata penjagaan luka menggunakan pendekatan berbeza amat penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Dalam persidangan ini, terdapat pelbagai jenis luka akan dibincangkan seperti Ulser Kaki diabetik, kecederaan tekanan,ulser vena dan arteri, stoma dan sebagainya.
“Hari ini kita mempunyai speaker bertaraf dunia hadir sama bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka sekaligus membantu meningkatkan kredibiliti dan tahap penyebaran maklumat mengenai penjagaan luka dalam persidangan kali ini,”katanya.
Musa berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian persidangan tersebut, disini, pagi tadi. Teks ucapannya dibaca oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang.
Tambahnya, luka akan menjadi beban kepada semua negara disebabkan kos rawatan yang tinggi dan secara tidak lansung akan memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia.
“Menurut Kumpulan Kerja Antarabangsa mengenai Kaki Diabetik, setiap 20 saat terdapat satu kaki akan dipotong dan ini merupakan perkara yang amat serius,”katanya.
“Terdapat beberapa pendekatan dan kaedah untuk merawat pelbagai jenis luka yang kronik dan saya berharap agar para delegasi dapat bertukar-tukar idea, pengalaman dan pengetahuan klinikal dengan pakar dalam industri itu,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Christina Rundi dan Pengerusi Persidangan Luka Borneo Utara 2016 merangkap Presiden PErsatuan Penjagaan Luka Profesional Malaysia (MSWPC), Dr Harikrishna K.R. Nair. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah