Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

80 Peratus Kerja Pembaikan Bot Rondaan Esszone Dijangka Siap Bulan Ini

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

SANDAKAN : Sebanyak 80 peratus kerja pembaikan, pemasangan enjin baharu dan peralatan pengesan, membabitkan 94 bot rondaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), dijangka siap penghujung bulan ini manakala selebihnya siap pada pertengahan September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Ruji Ubi berkata projek pembaikan bot yang menelan belanja sekitar RM10 juta itu diharap dapat memantapkan lagi operasi keselamatan di perairan Esszone.

Beliau berkata pembiayaan itu merupakan sebahagian daripada RM23.7 juta peruntukan khas yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk pembelian aset Esscom.

Bot-bot ini dimiliki Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tugas Bersama, Pasukan Gerakan Am dan polis marin.

“Insya-Allah, sekiranya semua berjalan lancar, kesemua 94 bot itu siap menjelang pertengahan September tahun ini,” katanya selepas melawat tempat pembaikan bot di Sandakan Jaya Teknik, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Komponen Laut Esscom Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi dan Pengarah Pusat Operasi Esscom Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail.

Sementara itu, Ruji menyimpulkan 3M sebagai punca utama berlakunya kejadian jenayah rentas sempadan di Esszone.

Beliau berkata 3M itu merujuk kepada faktor Manusia (berkaitan integriti), Maritim (kawasan laut yang luas) dan Malam (waktu kejadian sering berlaku).

“Jika Esscom ingin lebih berkesan dan efektif untuk menjaga Esszone, ketiga-tiga perkara ini perlu diperhalusi dan diperdalami permasalahannya.

“Misalnya daripada aspek integriti, Esscom mengadakan kerjasama dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Institut Integriti Malaysia untuk mencegah perbuatan salah laku di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata usaha juga sedang dibuat untuk menambah aset, termasuk bot yang dilengkapi radar untuk mengekang kejadian jenayah rentas sempadan, khususnya aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan yang berlaku pada waktu malam.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan