Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

80 ANGGOTA DAN VETERAN ATM DARI SABAH ANTARA 160 TERIMA PINGAT PJM, PKN

Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bergambar beramai bersama penerima pingat selesao Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 160 anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), petang tadi.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata daripada jumlah terbabit 80 penerima PJM adalah veteran yang berasal dari Sabah sendiri.

Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) bersalaman dengan salah seorang penerima Pingat Jasa Negara (PJN) pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pingat ini dikurniakan kepada veteran yang berkhidmat dalam ATM mulai 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 yang dipanggil sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat Kedua.

“Perkhidmatan ini juga adalah tempoh anggota ATM terbabit di dalam memerangi pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) secara berterusan mulai 1 januari 1969 sehingga 2 Disember 1989 dan sehingga 17 oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.

“Perkhidmatan ini bersesuaian dengan statusnya sebagai ‘campaign medal’ dan pingat ini dimartabatkan sebagai pingat terkanan dan kekanan susunan berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) bersalaman dengan salah seorang penerima Pingat Jasa Negara (PJN) pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu Zulkifli berkata bagi Pingat PKN pula, ia dizahirkan pada 26 Januari 2015 sebagai kurnia bagi keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kebaktian yang cemerlang dipamerkan oleh pasukan keselamatan dan kakitangan awam semasa kedaulatan negara sedang terancam ketika itu yang dikenali sebagai Operasi Daulat (Op Daulat).

“Pingat ini dikurniakan kepada mereka yang terlibat dengan Op Daulat di Sabah mulai Mac 2013 sehingga Jun 2013.

“Hari ini 80 anggota ATM dianugerahkan pingat berkenaan dengan melibatkan 30 penerima daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), 30 penerima daripada TLDM dan 20 penerima daripada Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM,” katanya selepas hadir pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, di sini.

Dalam majlis tersebut, beliau juga berkesempatan untuk berjumpa dan beramah mesra dengan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang bertugas di negeri Sabah.

Turut hadir dalam acara berkenaan adalah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, Panglima Medan Timur TD Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Mej Jen Datuk Azlan Abd Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad, dan pegawai-pegawai kanan ATM serta warga ATM.

Panglima Angkatan Tentera turut mengambil kesempatan untuk melakukan kunjungan hormat terhadap beberapa pemimpin Negeri Sabah termasuk Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin, dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada sebelah pagi. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan