Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,683

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

8 Tips Mengawal Kemarahan

11:37am 07/09/2016 Zakir Sayang Sabah 243 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Marah adalah sesuatu perkara natural yang pernah dialami oleh setiap manusia. Semua manusia diciptakan dengan sifat marah. Walaupun ia adalah perkara biasa, namun kita diajar untuk mengawalnya kerana kadang kala ia boleh membawa kepada kesan yang buruk kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Dari Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW : “Berilah aku wasiat”. Beliau menjawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi SAW bersabda: “Engkau jangan marah!” (HR Al-Bukhari). Begitu sekali Rasulullah menekankan aspek menjaga marah ini.

Oleh kerana yang demikian, di sini kami ingin kongsikan 8 tips mengawal kemarahan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW berpandukan hadis dan sunnah baginda!

TIPS 1: MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA ALLAH SWT

Diriwayatkan dari Sulaiman bin Shurad RA, beliau berkata:

“Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada dua orang laki-laki saling mencaci di hadapan Rasulullah SAW. Seorang dari keduanya mencaci kawannya sambil marah, wajahnya memerah, dan urat lehernya menegang, maka Rasulullah SAW: “Sungguh, aku mengetahui satu kalimat, jika dia mengucapkannya niscaya hilanglah darinya apa yang ada padanya (marah). Seandainya dia mengucapkan,

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

(Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk)”. Para sahabat berkata, “Tidakkah engkau mendengar apa yang dikatakan Rasulullah?” Laki-laki itu menjawab, “Aku bukan orang gila”. (HR Bukhari dan Muslim)

TIPS 2: KAWAL PERASAAN, TENANG DAN DIAMKAN DIRI

Rasulullah SAW mengajarkan apabila seseorang marah hendaklah ia diam. Baginda bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ.

“Apabila seorang dari kalian marah, hendaklah ia diam”. (HR Ahmad)

Kerana apabila kita marah, fikiran jadi kurang rasional, emosi menguasai diri, semua perkataan nak keluar, kan?

TIPS 3: UBAH POSISI DIRI ANDA DAN AMBIL WUDUK

Rasulullah SAW mengajar agar orang yang marah untuk duduk atau berbaring. Baginda SAW bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ ، وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ.

Apabila seorang dari kalian marah dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk; apabila marah telah pergi darinya, (maka itu baik baginya) dan jika belum, hendaklah ia berbaring. (HR Ahmad, Abu Dawud)

TIPS 4: INGAT JANJI ALLAH TERHADAP ORANG YANG MENAHAN MARAHNYA

Rasulullah SAW menjelaskan tentang keutamaan orang yang dapat menahan marahnya, Baginda SAW bersabda:

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ دَعَاهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُؤُوْسِ الْخَلاَئِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ اللهُ مِنَ الْحُوْرِ الْعِيْنِ مَا شَاءَ.

“Barangsiapa menahan marah padahal ia mampu melakukannya, pada Hari Kiamat Allah kelak akan memanggilnya di hadapan seluruh makhluk, kemudian Allah menyuruhnya untuk memilih bidadari yang ia sukai.” (HR Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi)

Juga firman Allah Taala

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“…Dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan. (3:134)

.Rasulullah SAW pernah bersabda kepada seorang sahabatnya,

لاَ تَغْضَبْ وَلَكَ الْجَنَّةُ.

“Jangan kamu marah, maka kamu akan masuk Syurga.” (HR Tabrani)

TIPS 5: INGAT KESAN YANG AKAN TIMBUL APABILA KITA MARAH

Marah itu umpama racun yang mampu memusnahkan banyak hubungan.

TIPS 6: INGAT TELADAN RASULULLAH KETIKA MARAH

Rasulullah tidak balas dendam untuk dirinya sendiri. Namun jika ada hal-hal yang diharamkan Allah dilanggar, maka tidak ada sesuatu pun yang sanggup menahan kemarahan baginda. Marah baginda hanyalah kerana Allah.

Pernah suatu ketika nabi sedang berjalan pulang ke rumah selepas berbual-bual dengan sahabatnya di masjid. Tiba-tiba, seorang Badwi menarik baju Nabi dan berkata dengan kasar, “Hai Muhammad! Berikan hakku! Penuhi muatan dua untaku. Sebab engkau tidak akan memenuhinya dengan kekayaanmu atau ayahmu!” Dengan tidak menunjukkan rasa tersinggung, baginda berkata kepada sahabatnya, “Berikan apa yang dia minta.” (99 Q Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna)

TIPS 7: INGATLAH ALLAH LEBIH BERKUASA DARIPADA KITA

Dari Abu Mas’ud al-Badri, dia berkata, “(Suatu hari) aku memukul budakku (yang masih kecil) dengan cemeti, maka aku mendengar suara (teguran) dari belakangku, “Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!” Akan tetapi, aku tidak mengenali suara tersebut karena kemarahan (yang sangat). Ketika pemilik suara itu mendekat dariku, maka ternyata dia adalah Rasulullah SAW, dan baginda yang berkata, “Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!” Maka aku pun melempar cemeti dari tanganku, kemudian baginda bersabda, “Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Sesungguhnya Allah lebih mampu untuk (menyiksa) kamu daripada kamu terhadap budak ini,” maka aku pun berkata, “Aku tidak akan memukul budak selamanya setelah (hari) ini.” (HR Muslim)

TIPS 8: BERDOA

Diantara do’a yang Baginda Rasulullah SAW baca ialah:

أَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الْحَقِّ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَى.

“Aku memohon kepada-Mu perkataan yang benar pada saat marah dan redha”. (HR Bukhari)

 

Nabilah binti Zainol Azmi
Faculty of Medicine Kasr El Ainy
Cairo University
(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan