Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

8 laman sesawang dikesan jual mercun

jualmercun

KUALA LUMPUR: Penjualan mercun sempena Hari Raya Aidil Fitri kini menggunakan teknologi maklumat dan gajet pintar sebagai medium menjalankan perniagaan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat sekurang-kurangnya lapan laman sesawang penjualan mercun yang diharamkan beroperasi menerusi laman web, laman sosial dan aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp dan instagram secara 24 jam.

Laman sesawang berkenaan memuat naik gambar pelbagai jenis mercun antaranya seperti mercun mancis, bola, naga, padi, das, ‘thunder clap’ dan roket yang dijual antara RM3 sehingga RM260 sekotak bergantung pada saiz.

Lapan laman terbabit menggunakan nama seperti ‘Pembekal Mercun dan Bunga Api Online’, ‘Kedai Mercun’, ‘KEDAI Mercun’, ‘Mercun Firecracker’, ‘Kedai Bunga Api Murah’, ‘Mercun FZ’, ‘khalidandra’ dan ‘Amar Shazwan Arif @amrshzwnz’.

Modus operandi mereka adalah buat pilihan jenis mercun yang dipaparkan dalam laman web atau laman sosial kemudiannya hubungi mereka menerusi laman web atau laman sosial berkenaan pada bila-bila masa untuk membuat tempahan.

Wartawan Bernama yang menghubungi beberapa laman sesawang penjualan mercun secara atas talian itu diminta membuat pembayaran menerusi akaun bank dan pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menerima tempahan secara serahan tangan di mana-mana tempat yang dijanjikan atau secara pos sahaja.

Antara mercun berbahaya yang terdapat dipasaran gelap itu ialah mercun bola, mercun naga dan mercun roket yang mengeluarkan dentuman kuat dan boleh mencederakan orang.

Sementara itu jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius jika terdapat pihak yang menjual barangan terlarang atas talian.

Katanya, bagaimanapun SKMM akan bertindak jika terdapat aduan dari pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau kegiatan itu.

Katanya, PDRM akan bekerjasama dengan SKMM untuk menyiasat aktiviti penjualan mercun di media sosial bagi mengesan penjual mercun secara atas talian dan bahan terlarang itu.

“Segala penjualan mercun di media sosial adalah haram, polis hanya membenarkan bunga api pop-pop sahaja untuk bermain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Khalid berkata SKMM juga akan menyiasat mengenai dari mana sumber penjualan mercun tersebut diperoleh.

“Saya menasihatkan kepada ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka tidak membeli bahan terlarang itu kerana ia hanya mendatangkan kecederaan,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di rumahnya di Beserah, Kuantan kerana mempromosi serta menjual mercun melalui laman sosial Facebook.

Komen


Berita Berkaitan