Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,732

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

7 Taktik Menjadi Orang Baru Setiap Hari

10:47pm 15/03/2016 Zakir Sayang Sabah 93 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Resolusi? Mengapa kita perlukan resolusi setiap kali tahun baru? Sebab kita tahu dan mahu tahun mendatang akan lebih cemerlang berbanding tahun sebelumnya. Kita buat resolusi untuk jadi orang baru yang lebih baik.

Benda baik dan positif ini, mengapa perlu biarkan 365 hari baru nak ubah? Tak payah tunggu 1 Januari 2017, sekarang pun kita boleh buat resolusi. Jadi, apa yang boleh kita buat untuk baiki diri setiap hari?

1. Memaafkan dan Lupakan

Sabda Nabi Muhammad SAW,

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan (pendosa), sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah yang bertaubat.”Hadith Riwayat At-Tirmidzi

Betul, setiap hari kita melakukan kesilapan. Maka, mulai hari ini mari buat sesuatu untuk diri sendiri. Ambil iktibar daripada kesilapan itu dan maafkan diri sendiri. Berdamai dengan masa lalu kita.

Berkali-kali, Allah beritahu dalam Al-Quran bahawa Dia ar-Rahman dan Dia juga ar-Rahim. Dengan cinta-Nya yang sangat besar itu, Allah juga Maha Pengampun. Cintanya selalu lebih besar berbanding murka. Maka, untuk apa kita asyik memilih marahkan diri sendiri?

Biasa dengar ayat,

“Sedang Nabi pun ampunkan umat.”

Ya, baginda memaafkan orang lebih 70 kali sehari. Kita contohi sikap ini dan mulakan dengan orang paling dekat – diri sendiri. Dari situ, kita akan jadi lebih terbuka dan bersedia menjadi orang baru yang lebih positif, setiap hari.

2. Tambah Kualiti Diri

Jika dalam perhubungan, kita sering dinasihatkan pasal ‘Quality Time’. Sekarang periksa juga, adakah kita sediakan ‘Me Time’?

Introspeksi diri. Muhasabah. Dalam tempoh 15 minit setiap hari, sebelum tidur, ambil masa sekejap, semak dan kenal semula diri. Cari kelebihan dan ambil tahu kekurangan diri.

Pesan baginda Rasulullah SAW,

“Kedua kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara:

Tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya,
Tentang masa mudanya, digunakan untuk apa,
Tentang hartanya, dari mana diperoleh dan kemana dihabiskan, dan
Tentang ilmunya, apa yang dilakukan dengan ilmunya itu.”Hadith Riwayat Tirmizi

Kualiti diri juga terkait rapat dengan cara hidup dan bahan bacaan kita. Tengok semula senarai buku di rak buku kita. Adakah ia bahan yang bagus untuk perkembangan emosi positif dan rohani?

3. Hargai Diri Sendiri

Sabda Rasulullah SAW,

“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.”Riwayat Bukhari dan Muslim

Persoalannya, bagaimana kita boleh mengasihi orang lain jika kita tidak tahu cara nak sayang diri sendiri?

Langkah pertama menghargai diri sendiri adalah menjaga tempat letaknya perasaan sayang itu sendiri, yakni hati.

Berhenti membiarkan hati kita terluka tanpa mencari penyembuhnya. Cegah luka-luka sedia ada daripada terus dalam dan lebar, dengan menghargainya terlebih dahulu.

Gunakan kebaikan ini sebagai kata laluan emel dan sebagainya. Saya buat begini untuk password emel saya. Contohnya; rahmahrajin, rahmahcantik atau rahmahsabar.

Refleksnya, kita akan tersenyum apabila menulis kata laluan ini. Secara tidak langsung, minda separa sedar kita juga diingatkan berkali-kali akan kualiti ini.

Kembalikan semula senyuman kita yang hilang. Dengan akal kita yang rasional, beritahu diri, “Terima kasih kerana jadi saya.” Kun Anta.

4. Kurangkan Kritik, Lebihkan Puji

Berhenti mengkritik dan menjatuhkan diri. Ia hanya menurunkan paras yakin dan kesannya buruk. Kita akan jadi orang yang teragak-agak dan hilang semangat.

Jadi lebih pemurah, dengan pujian dan kata-kata yang baik untuk diri sendiri. Tidak salah, puji kebaikan dan kelebihan diri asalkan tidak berlebih-lebihan.

Fokus kepada kelebihan dan jana kekuatan diri melaluinya. Sudah masanya kita sedar, bahawa kita boleh jatuh cinta kepada diri sendiri, berkali-kali setiap hari.

5. Tunjuk Penghargaan

Sabda Nabi,

“Abu Hurairah RA berkata, bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.”Hadith Riwayat. Abu Daud

Tunjuk penghargaan dan berterima kasih. Ia Nampak kecil dan remeh, tetapi baginda Nabi mengajarkan kepada kita bahawa ia sebenarnya sesuatu yang besar. Dengan cara yang sama, kita pusingkan kamera pada retina kita dan belajar bersyukur dengan diri sendiri.

Pernah dengar pasal tabung kebaikan?

Tuliskan kebaikan yang kita buat untuk hari itu dan masukkan ke dalam tabung ini. Sekalipun ia hal sekecil senyum kepada imej diri di cermin, tulis dan masukkan juga. Mengapa perlu buat begini? Supaya apabila ia dibaca semula semasa kita sedang rasa ‘down’, kita jadi ingat dan bersemangat semula.

6. Jujur Dengan Diri Sendiri

Campak hipokrit jauh-jauh. Belajar untuk berhenti berlawan dengan diri sendiri. Sebab ia meletihkan. Sudah seharian kita berlawan dengan macam-macam hal, ditambah pula pertarungan dalaman yang tidak selesai-selesai, nanti kita sendiri yang sakit.

Cinta, kuncinya menerima kelebihan dan kekurangan. Jadi, kita belajar terima kelemahan dan kelebihan diri sendiri.

Sebab kita tidak sempurna.

Tarik nafas dan bertenang. Apabila kita terlalu mencuba untuk jadi sempurna, ia hanya akan terus melukakan hati sendiri.

7. Buang Jangkaan Tidak Realistik

Ada masanya, kita meletak jangkaan besar dan harapan yang terlalu tinggi kepada diri sendiri. Alihkan hal itu. Pecahkan kecil-kecil.

Sasaran tidak realistik yang lebih hanyak mendatangkan rugi (dunia dan akhirat), buang jauh-jauh dari fikiran. Gantikan dengan jangkaan yang lebih praktikal. Bagi sasaran jangka panjang, kita sediakan target kecil-kecil yang boleh dicapai dan diraikan setiap hari.

Jadi, apa sasaran anda untuk hari ini?

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Siti Rahmah Mokhtar)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan