Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

7 Sumber Ilmu Menurut Pemikir Islam

12:09pm 23/01/2016 Zakir Sayang Sabah 37 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Saya tertarik dengan petikan sebuah novel yang menyebut tentang ilmu.

“Ilmu ialah suatu gerak daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan serta pengiktirafan terhadap kebenaran.”

Ilmu adalah kebenaran adalah falsafah yang cukup tepat. Ajaran Islam telah menggariskan dua bahagian ilmu yang dikenali sebagai Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu Fardhu Kifayah.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan diterjermahkan berbunyi:

“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam lelaki dan wanita.”

Oleh itu sememangnya mandatori bagi kita untuk menimba ilmu seluas-luasnya demi memenuhi tuntutan Allah SWT. Namun dapatkah kita menyelami lautan ilmu tanpa mengetahui sumber-sumbernya?

Saya yakin anda pasti mengenali tokoh falsafah ternama iaitu Imam Al-Ghazali. Menurutnya, sumber ilmu itu boleh diperolehi melalui tujuh cabangan.

Ilmu Wahyu

Wahyu adalah sesuatu hakikat yang mutlak, suci, benar dan terpelihara kerana ia datang daripada Allah dan diturunkan pada para nabi dan rasul. Peranan utama wahyu adalah untuk memelihara kejernihan dan hak-hak yang ada dalam syariat Islam demi menunjukkan jalan yang lurus.

Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud:

“Sesungguhnya sebaik-baik wahyu ialah kitab Allah. Dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad.”

Maka sudah menjadi keutamaan dalam menuntut ilmu wahyu iaitu Al-Quran dan as-Sunnah.

Ilmu Diperolehi Melalui Ilham

Ilham adalah petunjuk daripada Allah yang terbit dalam hati. Kiranya ilham adalah suatu ilmu yang menimbulkan daya cipta untuk mencapai sesuatu matlamat. Setengah orang yang terpilih mendapat ilmu yang dikurniakan oleh Allah dalam bentuk ilham tanpa perlu belajar.

Islam mengiktiraf kedudukan ilham sebagai sumber ilmu berdasarkan firman Allah SWT.

“Dan Kami (wahyukan) ilhamkan kepada ibu Musa,”Susuilah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil).

Dan janganlah kamu khawatir dan jangan (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.”Surah al-Qashash, ayat 7

Maka terbukti bahawa ilham juga boleh didapati oleh manusia biasa seperti kita dengan bimbingan dan dorongan Allah SWT.

Ilmu Dicapai Melalui Akal

Menurut Imam Al-Ghazali, ilmu diperolehi melalui akal dengan syarat akal itu diarah kepada pemikiran atau fitrah akal yang positif. Akal digunakan untuk berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan.

Contoh ilmu yang dihasilkan melalui akal adalah ilmu usul-fikah atau ilmu mengeluarkan hukum-hukum syariat berdasarkan dalil-dalil wahyu yang terperinci.

Ilmu Melalui Pengalaman dan Amalan Serta Contoh Tauladan

Menurut Imam Al-Ghazali lagi, ilmu itu bukan berbentuk pengetahuan sahaja malahan penting untuk dilaksanakan, dipraktikkan atau diamalkan. Bak kata mutiara penuh hikmah Imam Syafi’e :

“Orang yang berilmu itu adalah orang yang mengilmui dengan perbuatannya, bukan mengilmui dengan kata-kata dan ucapannya.”

Ilmu Menerusi Institusi

Sumber ilmu juga kebanyakannya dicernai melalui institusi secara rasmi dan tidak rasmi. Contohnya melalui institusi rasmi adalah dalam sesi persekolahan, kuliah, pembentangan kertas kerja, seminar, forum, dan seumpamanya manakala melalui institusi tidak rasmi adalah pembelajaran di kampung dan masjid.

Ilmu Daripada Belajar dan Membuat Kajian

Kaedah belajar dan membuat kajian adalah jalan yang cemerlang bagi memetik buah-buahan ilmu. Imam Al-Ghazali berpesan:

“ Haiwan yang tidak berakal pun boleh dibentuk dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu, sudah tentu boleh mencapai dan mendapat ilmu dengan mempelajarinya dan belajar.”

Ilmu Bersumberkan Pancaindera

Akhir sekali, sumber ilmu itu kadang-kala boleh dikaut bersumberkan deria dan tanggapan pancaindera manusia. Seperti : Pendengaran telinga, penglihatan dan pemerhatian mata dan juga melalui hati iaitu kesedaran, kesedaran dan keyakinan. Sebagaimana firman Allah:

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar?

Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.”Surah al-Hajj, ayat 46

Kesimpulanya, tiada alasan untuk tidak menuntut ilmu bukan? Perlu diingatkan juga sesungguhnya Allah adalah sumber utama dalam pemberi ilmu kepada kita semua. Maka pintalah kebenaran dan keizinan dari-Nya agar kita menjadi ilmuan yang berjaya di dunia dan akhirat.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Fajrul Islam Baharudin)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan