Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,741

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

7 Petua Mudah Melembutkan Hati Anak-Anak

7:00pm 23/05/2016 Zakir Sayang Sabah 104 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

“Kenapa anak orang lain baik aje, anak saya tak?
Kenapa anak dia berani aje masuk tadika. Kenapa anak saya menangis?”

Kadangkala soalan kenapa, kenapa, kenapa ini selalu muncul di fikiran kita. Mungkin juga bila kita sering mengharap anak kita sempurna di mata orang lain. Seperti anak yang pandai (dapat hadiah akhir tahun) atau tidak menangis sewaktu kali pertama masuk tadika.

Tetapi pernah dengar kan, anak yang lasak atau sedikit nakal sewaktu kecil ini sebenarnya anak yang bijak dan sangat kreatif. Terpulang kepada kita untuk mencorakkan anak-anak ini, mencungkil potensi yang ada ke arah kebaikan. Mencari sempurna anak-anak di mata kita sendiri dan bukan orang lain lagi.

Mendidik anak-anak memang bukan mudah. Semakin mereka membesar, semakin sukar juga tanggungjawab kita. Menyuruh bersolat, belajar, mengaji dan sebagainya kadangkala menduga kesabaran juga.

Apa kata ikuti 7 petua ini yang terdiri daripada doa dan tips mudah untuk melembutkan hati anak-anak kita.

#1. Doa Melembutkan Besi Nabi Daud

Nabi Daud terkenal dengan beberapa kelebihan antaranya boleh melembutkan besi dan membentuknya kepada apa jua bentuk yang dikehendaki. Amalkan doa ini selalu mudah-mudahan hati kita dan anak-anak dapat dilembutkan ke arah kebaikan.

“Ya Allah, lembutkanlah hati anakku [nama anak] seperti mana Engkau melembutkan besi di tangan Nabi Daud”.

#2. Ayat Yang Membuatkan Saidina Umar Memeluk Islam

Umar Al-Khattab sangat terkenal dengan sifat bengis dan memerangi Islam. Namun sebaik sahaja beliau terbaca ayat-ayat ini, beliau menangis dan terus memeluk Islam. Beliau mengakui bahawa ayat-ayat ini begitu indah dan bukanlah ciptaan manusia.

Saidina Umar kemudiannya telah menjadi panglima perang Islam yang digeruni serta pemimpin negara yang berjalan di waktu malam untuk melihat derita rakyatnya. Apakah ayat yang telah melembutkan hati seorang yang digelar “singa” di zamannya ini? Taa Haa

Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Muhammad) agar engkau menanggung kesusahan
Melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).

Diturunkan dari (Allah) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi (Iaitu) Yang Maha Pengasih yang bersemayam di atas ‘Arsy.
Surah Thaha, Ayat 1–5

#3. Sayang Seperti Rasulullah SAW

Rasulullah SAW sangat mengasihi kanak-kanak. Ada kisah mengatakan bahawa Rasulullah SAW tidak bangun-bangun dari sujud kerana dipeluk oleh Husin, cucu Baginda. Begitu penyayang Baginda terhadap kanak-kanak sehingga adakalanya kanak-kanak turut diajak bermain lumba lari bersama.

Bahawa Aqra’ bin Habis pernah melihat Rasulullah SAW sedang mencium Hasan. Dia berkata “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak namun aku tidak pernah mencium satu pun dari mereka”. Kemudian Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya barang sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi”.
Hadis Riwayat Muslim No. 4282

Sewaktu bersama anak-anak, tutup telefon bimbit kita. Dengarkan cerita, bergurau bersama dan peluk cium mereka sementara hayat kita masih ada. Tinggalkan kenangan manis untuk mereka.

#4. Membaca Ya Latif

Kesemua nama-nama Allah (Asmaul Husna) mempunyai kelebihan yang tersendiri. Menyebut Ya Latif (Yang Maha Lembut) sewaktu membuat kerja-kerja rumah seperti memasak atau mencuci pakaian anak-anak dapat memberi aura yang baik kepada mereka. Diikuti dengan surah berikut:

Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambaNya. Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Yang Maha Kuat, Maha Perkasa.
Surah Asy Syura, Ayat 19

#5. 1 Hadis, 1 Hari

Menurut Ustaz Ebit Liew, membaca hadis bersama-sama anak setiap hari dapat melembutkan hati mereka dengan mudah. Untuk permulaan dapatkan sebuah buku himpunan hadis atau kisah-kisah nabi yang diilustrasikan khas untuk kanak-kanak.

Jadikan satu kebiasaan untuk membaca satu hadis atau cerita nabi ini setiap hari selepas solat dan mengaji bersama-sama. Buat satu sudut di rumah sebagai surau mini kita.

#6. Maafkan Saya Mak!

Walaupun kita telah dewasa tetapi ada dua orang manusia yang tetap menganggap kita sebagai anak kecil mereka – ibu ayah kita. Kanak-kanak menyerap seperti span bagaimana kita melayani ibu bapa kita sendiri hari ini.

Tanyakan khabar, melawat dan temani mereka di kampung. Sebenarnya bukan wang ringgit yang mereka harapkan dari kita.

Rendahkan ego dan minta maaf jika ada mengguris hati mereka. Manalah tahu jika doa kita tidak dijawab kerana kita ada melukakan hati orang yang paling mengasihi kita ini. Bagaimana kita melayani ibu bapa kita hari ini mungkin akan menjadi cara anak kita melayan kita suatu hari nanti.

#7. Terus Bersabar

Jika diuji dengan karenah anak-anak, ingatlah bahawa kita dipilih untuk melalui ujian ini. Lihat ke dalam diri apakah yang perlu kita perbaiki dan sentiasa bersangka baik kepada Allah swt.

Anak-anak adalah ladang pahala kepada ibu bapanya. Amalkan doa ini semoga hati kita tetap dengan kesabaran sewaktu dipilih melalui ujian.

“Wahai orang-orang yang beriman. Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu. Dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah. Supaya kamu mencapai kemenangan”.
Surah Ali-‘Imran, Ayat 200

Ingatan-ingatan kecil berupa doa sangat besar maknanya bagi anak-anak jika diamalkan setiap hari. Petua dan doa-doa sebegini boleh diamalkan pada setiap masa, lebih baik jika dapat dicetak dan diletakkan di tempat yang kerap kita lihat seperti meja kerja atau di ruang solat.

Sentiasa doakan anak-anak kita pada setiap masa terutamanya sewaktu terjaga di hujung malam, sewaktu sujud yang terakhir, sewaktu berjalan jauh dan ketika hujan mula turun.

Pada ketika anak jauh dari pandangan mata, hanya Pemilik jiwa anak-anak ini sahaja mampu menjaga mereka.

Moga-moga hati kita juga dilembutkan oleh Allah swt ke arah kebaikan sewaktu mengamalkan petua dan doa melembutkan hati anak-anak ini. Semoga definisi sempurna anak-anak di mata kita adalah apabila mereka tetap hatinya ke jalan Ilahi.

Kadang-kadang usaha kita untuk membetulkan orang lain mungkin bermula dengan kita membetulkan diri kita sendiri terlebih dahulu.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nordiana Ali)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan