Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

7 Kepentingan Falsafah Islam Dalam Kehidupan

10:12pm 03/05/2016 Zakir Sayang Sabah 24 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Diriwayatkan oleh al-Tabrani :

“Kejadian pertama yang dijadikan Allah adalah akal, lalu Ia perintahkannya datang, akal pun datang. Kemudian Ia perintahkan supaya pergi, akal pun pergi.

Kemudian Allah berfirman kepada akal: Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, tidak ada makhluk lain yang lebih mulia di sisi-Ku daripada kejadianmu. Denganmu Aku memberi dan mengambil. Denganmu aku memberi pahala dan menyiksa.”

Manusia dianugerahkan makhkota berupa akal yang dapat membezakan dengan makhluk lain. Dengan akal, manusia dapat berfikir bagi mencapai sesuatu matlamat dan keputusan.

Falsafah Islam pula adalah ilmu berfikir menggunakan akal berlandaskan wahyu dan dalil-dalil yang lojik serta selari dengan displin ilmu yang ditetapkan oleh syarak.

Kiranya falsafah Islam adalah satu pemikiran menghubungkaitkan setiap ilmu dengan wahyu, maka akal dapat digunakan untuk mengkaji, mencari ilmu, dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya.

Seperti kata pemikir Islam:

“Menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ilahi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru akal mesti digabungkan dengan naqal(wahyu), kerana ilmu-ilmu akal seumpama makanan dan ilmu wahyu umpama ubat.”

Terdapat tujuh kepentingan Falsafah Islam dalam kehidupan kita :

1. Lebih Mendalam Dan Senang Memahami Al-Quran

Falsafah Islam memandu akal untuk mentadaburi ayat Al-Quran. Ketika saya mempelajari ilmu tafsir di kelas, baru saya tahu terdapat pendekatan yang dinamakan tafsir falsafah iaitu menghurai ayat dengan akal yang sejahtera dan terpandu.

Contohnya firman Allah,

“Tegakkanlah agama, dan janganlah kalian berpecah belah tentangnya.”Al-Asyura, Ayat 13

Jika difikirkan secara kritis, ayat ini berbentuk perintah wajib daripada Allah untuk kita menegakkan ajaran dan jangan bertelingkah sesama umat Islam.

2. Dapat Memastikan Kelogikan Sesuatu Hadith

Zaman serba canggih ini, banyak hadis yang dipalsukan semata-mata untuk kepentingan peribadi, perniagaan dan sebagainya. Namun falsafah Islam menerapkan agar kita meneliti, memerhati, dan mengkaji sesahihan sesuatu hadis.

Ulama hadis telah menyusun kaedah-kaedah mengetahui sesahihan sebuah hadis berdasarkan ketajaman akal. Akhirnya tersingkaplah mana hadis benar dan hadis palsu.

3. Membantu Diri Mengenal Allah Melalui Penilitian Alam.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.”Ali ‘Imran, Ayat 190

Orang yang mempelajari alam semesta seperti ilmu astronomi, anatomi dan lain-lainya pasti akan bertafakur sebentar tentang betapa hebat dan teraturnya kejadian alam yang dicipta oleh Allah SWT.

Begitu juga dengan kejadian teori letupan bintang mahupun pertumbuhan janin dalam rahim yang diceritakan oleh Al-Quran beribu-ribu tahun yang lalu. Dengan pemikiran beginilah kita dapat mendekatkan diri dengan Pencipta.

4. Mempertahankan Akidah Islam Yang Benar

Akidah adalah kepercayaan yang mendorong kita untuk melakukan sesuatu perkara. Akidah juga adalah kunci untuk kita menuju ke syurga.

Diriwayatkan al-Bukhari dalam al-Riqaq:

“Manusia bagaikan seratus unta, hanya satu yang dapat dijadikan tunggangan.”

Jadi orang yang mengkaji ilmu berlandaskan sumber wahyu pasti kefahamannya tidak akan tersesat oleh akidah-akidah yang bercanggah daripada fahaman akidah Ahlu sunnah wa al-Jamaah.

5. Membentuk Kemajuan Dan Tamadun Sebuah Negara

Bidang ilmu pengetahuan, pengeluaran, keteladanan budi yang luhur, sikap tolong menolong, keadilan, semua nilai murni ini didorong oleh akal yang suci dan bermoral yang akhirnya membawa kepada kemajuan sebuah negara

Menurut Ibnu Khaldun dalam Muqadimmah:

“Dengan adanya negara, maka kebudayaan akan berkembang dengan mantap dan dengan dilandasi kebudayaan maka negara akan mempunyai tujuan spiritual dan sistem nilai yang selaras dengan cita rasa bangsa dan warga dari negara bersangkutan.”

Kebudayaan spiritual yang dimaksudkan adalah warisan dan pemikiran yang ditekankan oleh falsafah Islam.

6. Membezakan Pemikiran Yang Benar Dan Salah

Falsafah Islam menolak manusia menjadi hamba kepada akal dan bebas berfikir tanpa berpandukan Al-Quran dan Hadis.

Contoh pemikiran yang menyeleweng adalah teori evolusi Charles Darwin yang cukup polular yang akhirnya membawa rasa prasangka akan kewujudan Tuhan.

Adakah manusia berasal dari beruk dan tidak wujudnya hari kemusnahan?

7. Melahirkan Para Cendekiawan Islam

Falsafah Islam melahirkan intelektual-intelektual Islam dalam bidang sejarah, sastera, budaya, tradisi , keilmuan Islam dan banyak lagi. Contoh pelopor bidang falsafah Islam adalah Imam Al-Ghazali, Al-Farabi, Ibn Sina, dan ramai lagi tokoh pemikir Islam.

Kesimpulannya

Falsafah Islam mengajar kita untuk mensyukuri anugerah akal dengan menjadi hamba-Nya yang taat dan khalifah yang bijak menggunakan akal bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Fajrul Islam Baharudin)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan