Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

7 Checklist Selepas Ramadhan

10:43am 04/08/2016 Zakir Sayang Sabah 25 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Alhamdulillah, kita sudah beranjak memasuki pertengahan Syawal. Bererti sudah 15 hari kita meninggalkan Ramadhan. Rasanya macam baru semalam kita berpisah dengan Ramadhan. Aktiviti baraan atau kunjung-mengunjung masih lagi hangat terasa. Sana sini masih sibuk dengan jamuan raya. Begitulah kita setiap kali berlalunya Ramadhan.

 Namun janganlah dilupa apa yang telah kita pelajari daripada Ramadhan. Kita belajar bersabar dalam berpuasa, kita belajar membaca dan mentadabbur Al-Quran, kita belajar menguatkan semangat dengan bangun bersolat sunat, serta pelbagai lagi amalan soleh yang sangat disukai oleh Allah.

Jom! Kita lihat 7 checklist yang harus menjadi rutin kehidupan harian yang telah kita pelajari daripada Ramadhan.

#1. Berdoa Agar Allah Menerima Amalan Kita

Sebahagian ulama salaf ada menyatakan bahawa:

“Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama 6 bulan agar mereka dapat menjumpai bulan Ramadhan. Kemudian mereka pun berdoa selama 6 bulan agar amalan yang telah mereka kerjakan diterima oleh-Nya.”

Maka, seharusnya kita mengikut jejak para sahabat ini dengan memperbanyakkan berdoa agar Allah menerima segala amalan kebaikan yang telah kita lakukan.

#2. Solat Sunat

Sedarkah kita bahawa pada Ramadhan yang lalu, dalam sehari kita telah melakukan sebanyak 29 rakaat solat sunat iaitu:

i. solat sunat rawatib 12 rakaat
ii. solat sunat dhuha 2 rakaat
iii. solat sunat tarawih 8 rakaat
iv. solat sunat taubat 2 rakaat
v. solat sunat tahajud 2 rakaat
vi. solat sunat witir 3 rakaat.

Setiap solat sunat yang dilakukan ikhlas kerana Allah pasti akan mendapat ganjaran yang telah dijanjikan. Walaupun tiada lagi solat sunat tarawih selepas Ramadhan, kita boleh mengekalkan momentum contohnya dengan melakukan solat sunat Rawatib.

Ummul Mukminin Aisyah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Teruslah menghidupkan malam dengan melakukan solat sunat taubat, tahajud dan witir. Amalan ini tidak seharusnya kita tinggalkan selepas berakhirnya Ramadhan kerana kita sudah bersusah payah membina kekuatan dalaman untuk bangun menunaikan solat malam kerana Allah.

Jika ditinggalkan, pasti sukar untuk memulakannya semula kerana sifat malas itu sentiasa merantai diri kita.

#3. Membaca dan Mentadabbur Al-Quran

Teruskanlah amalan membaca dan mentadabbur Al-Quran pada setiap hari. Jangan hanya berjaya khatam pada bulan Ramadhan sahaja kemudian terus ditinggalkan. Bukankah Al-Quran itu makanan jiwa penyuluh hati? Jiwa kita pasti tenang dengan membaca Al-Quran. Bahkan meninggalkannya dalam masa sehari pun sudah bisa membuatkan kita rasa gelisah.

#4. Puasa Sunat

Sudahkah kita selesai melakukan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal? Jika belum, kita masih mempunyai masa untuk melakukannya.

Abu Ayyub Al-Ansari r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan 6 hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan berpuasa sepanjang masa (tahun).”Hadis Riwayat Muslim

Bagi yang sudah berjaya berpuasa 6 hari di bulan Syawal, teruskanlah amalan puasa sunat yang lain pula seperti puasa sunat Isnin dan Khamis.

#5. Beristighfar dan Bertaubat

Istighfar dan taubat bukanlah satu amalan yang tersekat mengikut waktu. Ia amalan yang mesti dilazimi oleh kita sang pendosa. Rasulullah s.a.w yang maksum pun beristighfar dan bertaubat melebihi 70 kali sehari. Inikan pula kita manusia yang penuh dengan kesalahan dan kekhilafan.

Sentiasalah memohon keampunan kepada Allah, agar hidup kita dipandu cahaya cinta dan kasih-Nya.

#6. Bersedekah

Jangan lupa untuk meneruskan amalan sedekah walaupun hanya dengan lirikan senyuman.

#7. Menjauhkan Diri Daripada Amalan yang Sia-Sia

Jika di bulan Ramadhan kita berjaya mengekang diri daripada melakukan pelbagai perbuatan mungkar, maka teruskanlah membenteng diri daripada melakukan kesalahan di luar bulan Ramadhan. Kadang kita tidak sedar perkara yang remeh boleh menyebabkan kita menanggung dosa seperti mengumpat, mengata, hasad dengki, bersangka buruk dan pelbagai lagi.

Biar Sedikit Tetapi Istiqamah

Benarlah Ramadhan itu adalah bulan yang lebih baik daripada 1000 bulan. Segala amalan kebaikan akan mendapat pahala berlipat ganda. Namun janganlah kita berlumba-lumba melakukan kebaikan pada bulan Ramadhan sahaja. Bila ia berlalu pergi, segala amalan kita pun sudah ke laut perginya.

Daripada Ummul Mukminin Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”Riwayat Bukhari dan Muslim

Allah telah mengajar kita untuk membina kekuatan di bulan Ramadhan, pasak kekuatan itu agar tidak lentur ditelan masa. Jangan pernah puas dengan kebaikan yang dilakukan. Teruslah melakukan kebaikan sehingga kita tiba di pintu syurga. Insya-Allah.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nur Ismalina Haris)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan