Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

7 Cara Mudah Menerapkan Nilai Murni Di Dalam Keluarga

Gambar Hiasan

Memiliki Keluarga bahagia merupakan impian setiap insan. Siapa sahaja menginginkan keluarga yang harmoni dan bahagia.

Memupuk nilai-nilai murni di dalam keluarga adalah salah satu cara untuk menjamin kesejahteraan di dalam keluarga.

Rasulullah S.A.W merupakan orang yang paling baik kepada ahli keluarganya. Sesungguhnya Rasululullah S.A.W pernah bersabda yang mana Aisyah R.A meriwayatkan bahawa yang bermaksud;

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik bagi keluarganya. Dan aku orang yang paling baik bagi keluargaku” Riwayat Tirmidzi

Namun begitu bagaimanakah caranya untuk memupuk nilai murni di dalam institusi keluarga?

#1 – Mengenali Allah

Apabila kita meletakkan Allah sebagai nombor satu sebagai panduan hidup. Maka segala masalah akan dapat diatasi dengan sebaiknya.

Mengajar ahli keluarga mengenal Allah adalah ciri yang paling penting dalam memupuk nilai murni di dalam institusi keluarga.

Apabila mereka mengenal Allah maka dengan sendirinya mereka akan terhindar dari melakukan kemungkaran. Allah berfirman yang bermaksud;

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu” Surah at Tahrim: 66

#2 – Melakukan Ibadah Bersama-Sama

Ibu bapa merupakan orang yang paling memainkan peranan di dalam institusi kekeluargaan.

Oleh itu ibu bapa sendiri adalah sebagai contoh ikutan kepada anak-anak. Ajaklah anak-anak untuk sentiasa melakukan ibadah bersama-sama.

Apabila tibanya waktu solat, panggil anak-anak untuk solat berjemaah bersama ataupun ajaklah anak-anak ke masjid bersama-sama untuk berjemaah di masjid.
Rasulullah S.A.W juga bersabda tentang perintah untuk mengajar dan mengajak anak-anak untuk bersolat;

“Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” Riwayat Ahmad & Abu Daud

#3 – Sentiasa Mengucapkan Sayang

Ucapkanlah rasa kasih sayang dan cinta kepada ahli keluarga sama ada ibu bapa atau anak-anak.

Jadikan ia sebagai rutin harian untuk mengeratkan kasih sayang antara keluarga. Contohnya setiap pagi ketika anak bersalaman untuk pergi ke sekolah, ucapkanlah “ayah sayang along”, “Ibu sayang kakak”.

Sebagai anak juga kita boleh sama-sama mengucapkan sayang kepada ibu bapa “Abang sayang ayah, terima kasih sebab jaga kami” maka dengan sendirinya hubungan dan kasih sayang antara ahli keluarga akan semakin dekat.

#4 – Mencari Waktu Untuk Bersama

Zaman sekarang, ibu bapa kebanyakannya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan keluarga.

Oleh itu, masa ibu bapa bersama-sama anak-anak adalah terhad akibat masa yang ada diluangkan di perjabat dan tempat kerja. Namun itu bukanlah alasan untuk ibu bapa tidak bersama anak-anak.

Contohnya sekiranya ibu bapa bekerja sehingga lewat petang maka jadikanlah waktu malam itu waktu untuk bersama dengan ahli keluarga.

Seperti makan malam bersama-sama di samping itu bertanyalah kepada anak-anak keadaan di sekolah berminatlah untuk mengetahui perkembangan diri mereka.

Ketika hujung minggu atau cuti sekolah, ajaklah ahli keluarga untuk keluar dan meluangkan waktu bersama-sama.

#5 – Memberi Kata-Kata Galakan Yang Membina

Kata-kata galakan yang baik dan lemah lembut mampu memberikan ketenangan. Bagi anak-anak, kata–kata daripada ibu bapa merupakan suatu kebahagiaan.

Sentiasalah memberi kata-kata galakan kepada anak-anak. Jika mereka berjaya, maka tunjukkanlah rasa kegembiraan kita di atas kejayaan mereka.

Buatlah majlis atau berikanlah hadiah kepada mereka dan ucapkanlah “ayah dan ibu berbangga dengan angah”. Biarkan mereka merasakan penat lelah mereka dihargai oleh ibu bapa.

Sebaliknya jika mereka tidak berjaya jangan sesekali menunding jari kepada mereka, jangan sesekali salahkan anak-anak.

Jauhi daripada memaki dan mengherdik mereka. Sebaliknya berikan kata-kata penguat seperti “Allah akan bagi yang lebih baik baik untuk angah”.

#6 – Menghukum Dengan Tidak Menyakitkan

Adakah tidak boleh menghukum anak? Ya, boleh. Islam tidak pernah melarang ibu bapa untuk menghukum anak-anak namun hukuman haruslah bersesuaian dengan umur dan kesalahan mereka.

Jangan memukul anak hingga membuatkan mereka terluka atau meninggalkan bekas walau apa pun kesalahan mereka.

Tetapi cubalah untuk selesaikan dengan cara yang betul. Jangan diikutkan perasaan marah.
Berikan kepada anak-anak nasihat yang baik dengan penuh kelembutan dan jelaskan kepada mereka kenapa mereka perlu dihukum dan jelaskan apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Rasulullah S.A.W bersabda;

“Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada anggota suatu keluarga maka Allah memberikan sikap lemah lembut kepada diri mereka.Riwayat Ahmad

#7 – Menerima Kelemahan Dan Kekurangan

Terimalah kelemahan dan kekurangan anak-anak jangan sesekali membandingkan mereka dengan adik-beradik yang lain ataupun dengan saudara-saudaranya yang lain.

Anak–anak yang dibandingkan selalunya akan terguris perasaannya dan mula menjauh daripada ibu bapa.

Mereka akan merasakan seperti mereka kurang penting dan kurang disayangi di dalam keluarga.

Setiap anak sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka sendiri. Terokailah kelebihan anak-anak dan raikanlah kelebihan mereka.

Mungkin along kurang bijak di dalam pelajaran akademik tetapi mungkin sahaja along jaguh di dalam sukan sekolah.

Kesimpulannya, anak-anak adalah amanah daripada Allah. Bimbinglah keluarga ke arah mentaati Allah mengikut cara yang diajar dan dianjurkan oleh islam.

Keluarga yang harmoni menjamin kesejahteraan masyarakat dan masa depan agama dan negara. Sentiasalah mengamalkan doa yang disebut di dalam Al Quran yang bermaksud;

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa” Surah al Furqan: 77

Semoga keluarga kita semua beroleh keberkahan dan kerahmatan dari sisi-Nya.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Tim Tazkirah)

Komen


Berita Berkaitan