Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

604 peserta sertai Larian Amal Thalassaemia

4:26pm 26/09/2016 Elezebeth Esther Onjining 101 views Kota Kinabalu,Sukan,Tempatan
Buhtamam merakamkan gambar kenangan bersama para peserta Larian Amal Thalassaemia

Buhtamam merakamkan gambar kenangan bersama para peserta Larian Amal Thalassaemia

KOTA KINABALU- Seramai 604 peserta menyertai Larian Amal Thalassaemia yang julung kali dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), baru- baru ini.

Yang Dipertua DPMM Sabah Datuk Buhtamam Ag Mahmun berkata pihaknya telah menerima permohonan melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 500 peserta sahaja.

“Malam sebelum larian diadakan, kita juga telah menerima permohonan sebanyak 800 peserta tetapi kita hanya boleh memberikan seramai 600 orang sahaja untuk menyertai larian kali ini.

“Setelah melihat kejayaan penganjuran ini, kita akan menjadikan larian amal ini sebagai acara tahunan, dan pada tahun depan kita akan gabungkan dengan persatuan penyakit kanser bersama Thalassaemia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Larian Amal Thalassaemia yang diadakan di sini.

Beliau berkata, Sabah mempunyai jumlah pesakit Thalassaemia yang teramai di Malaysia dan ia sekaligus menyebabkan DPMM terpanggil untuk melaksanakan acara larian amal itu yang bertujuan untuk mengumpul dana.

Beliau juga berharap dengan penganjuran seumpamanya, penyakit genetik seperti Thalassaemia mampu dikurangkan pada masa hadapan.

Sementara itu, Buhtamam turut menjelaskan bahawa penyertaan golongan muda DPMM dalam perniagaan semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, keadaan itu menampakkan satu perkembangan positif dalam pembangunan ekonomi memandangkan golongan belia berminat dalam dunia perniagaan yang menjanjikan pendapatan yang lebih baik.

“Sebenarnya kini, dunia lebih menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan dan DPMM sebagai badan bukan kerajaan perlu kerap mengadakan lebih banyak konvensyen atau persidangan untuk kita mempunyai satu strategi pelan yang lebih komprehensif.

“Pelan harus dibuat secara terperinci untuk melahirkan usahawan yang berkualiti, kursus-kursus yang diadakan untuk jangka pendek adalah tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, keusahawanan adalah satu profesion dan ianya tidak boleh dipelajari dengan kursus jangka pendek.

Katanya, DPMM juga bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menganjurkan seminar tadbir urus.

“Selain itu, kerjasama ini juga sebagai salah satu inisiatif untuk memberikan ilmu kepada usahawan yang berkecimpung dalam perniagaan agar dapat mentadbir dan mengawal aliran kewangan yang mana merupakan elemen penting dalam perniagaan,”katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Yang Dipertua DPMM Sabah, Datuk Awang Sham Amit; Naib Yang Dipertua DPMM Sabah, Mohamed Zulfikar Ahmad; Setiausaha Kehormat DPMM Sabah, Mohd Ghazali Mohd Nadzir; Bendahari Kehormat DPMM Sabah, Datuk Abdul Kadir Sikandar; Timbalan pengarah kesihatan Sabah, Dr.Wiliam Guntilis dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraf Fong Abdullah. SayangSabah

Buhtamam melepaskan peserta Larian Amal Thalassaemia

Buhtamam melepaskan peserta Larian Amal Thalassaemia

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan