Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

6 Tips Menunaikan Haji Di Usia Muda

11:33am 14/09/2016 Zakir Sayang Sabah 57 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Berikut adalah 6 tips ringkas yang membolehkan anda menunaikan haji di usia muda.

  • Daftar haji

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuka akaun Tabung Haji dan mendaftar haji dengan mendepositkan ke dalam akaun tersebut sekurang-kurangnya RM1300. Pendaftaran Haji sangat penting supaya nama anda sudah berada dalam senarai menunggu jemaah haji Malaysia.

Setelah itu, hanya anda cuma menunggu panggilan sahaja. Pada masa sekarang kita harus sedar jarak mendaftar dan tahun haji sangat jauh. Kebanyakannya waktu menunggu mencecah sehingga puluhan tahun. Jadi saya nasihatkan supaya anda mendaftar awal di Tabung Haji. Selamat mendaftar!

  • Bijak mengurus kewangan

Anda hendaklah bijak menguruskan kewangan untuk masa depan anda, terutamanya untuk Haji anda. Untuk remaja dan belia, anda hendaklah bijak menguruskan duit dan mengamalkan tabiat menabung. Apa sahaja sumber wang yang anda dapat, usahakan untuk menyimpannya untuk tujuan haji.

Dan bagi yang telah berumahtangga dan bekerja, anda juga perlu bijak untuk mengatur kewangan keluarga anda, supaya duit lebihan dari gaji bulanan, dapat di ‘reserve’ kan, dan disimpan di dalam akaun Tabung Haji.

  • Kesedaran individu dan keluarga

Kesedaran individu dan keluarga adalah sangat penting. Kita sedar akan wajibnya memenuhi rukun Islam iaitu haji (bagi yang berkemampuan) sebelum kita pergi menghadap Allah. Bermula dari kesedaran, akan lahirlah usaha. Keluarga memainkan peranan penting untuk mengingatkan dan mendorong ahli keluarga yang lain untuk menunaikan haji.

Sebagai contoh apa yang berlaku kepada saya, saya menunaikan haji di usia muda, kerana kesedaran kedua ibu bapa saya untuk mendaftarkan awal anak-anaknya untuk pergi menunaikan Fardhu Haji. Kesedaran sangat penting, kerana ia merupakan pintu kepada segala usaha!

  • Banyakkan membaca dan menuntut ilmu tentang haji

Haji ialah ibadah yang praktikal. Tetapi sebelum praktikal, adanya teori yang menjadi tulang belakang praktikal satu-satu ibadah. Tanpa ilmu, jemaah haji tidak mampu untuk mencapai mabrur. Segalanya bermula dari ilmu. Anda hendaklah memperbanyakkan bacaan buku-buku ilmiah mengenai haji, mengetahui fiqh tentang ibadah haji, membaca kisah-kisah atau pengalaman haji dari mereka-mereka yang pernah menunaikan haji.

Ini banyak membantu. Saya banyak membaca buku-buku berkaitan haji sebelum pergi menunaikan haji menyebabkan saya tidak kekok untuk terus melakukan praktikal ibadah di sana.

  • Niat, tekad dan banyakkan berdoa

Niat dan tekad yang tinggi untuk menyempurnakan rukun kelima dengan sempurna di awal usia dan di saat fizikal masih kuat. Kemudian, banyakkan berdoa supaya Allah menjemput kita untuk menjadi tetamu-Nya di usia muda. Haji di usia muda banyak kelebihannya. Berdoalah supaya Allah menghantar surat kiriman dari-Nya, ketika kita masih kuat fizikal, mental dan rohani.

  • Bersiap Sedia, Mental, Fizikal Dan Emosi

Bagi jemaah haji yang akan berangkat menunaikan haji, anda hendaklah bersiap sedia dengan persediaan mental, fizikal dan emosi. Haji tidak pernah sesekali sama dengan kembara kita ke Eropah atau ke tempat melancong yang lain. Ibadah haji adalah ibadah yang luar biasa yang menuntut kekuatan emosi, fizikal dan mental. Bersiap siagalah!

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad (Pelajar Master Bahasa Arab UIAM)
Berpengalaman menunaikan haji di usia 22 tahun(padatahun 2013)

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan