Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

6 Peristiwa Bermakna Di Bulan Rejab

Gambar Hiasan

Selain menandakan kehadiran bulan Ramadan yang hampir tiba, bulan Rejab juga sering mengingatkan umat Islam untuk mengambil pengajaran daripada pelbagai peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab pada masa-sama lalu.

Sebenarnya terdapat beberapa peristiwa penting dalam bulan Rejab yang padanya terdapat banyak hikmah dalam peristiwa tersebut, antaranya ialah;

#1 – Hijrah Pertama Dalam Islam

Hijrah pertama ke Habsyah berlaku pada tahun ke-5 kenabian Rasulullah s.a.w atau pada tahun 615M. Baginda memerintahkan untuk berhijrah kerana tekanan dan ancaman musuh Islam kepada Baginda sendiri dan umat islam ketika itu.

Walaupun Hijrah itu hanya melibatkan seramai 14 orang sahaja, tetapi ia sebagai satu usaha terpenting Baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas kerana ditekan dan kebanyakan mereka diseksa.

Rasulullah s.a.w sebenarnya sangat bimbang jika pengikut Baginda kembali kepada ajaran asal akibat tidak tahan dengan ancaman dan tentangan yang mereka alami. Tambahan lagi jumlah penganut Islam ketika itu masih belum ramai dan belum kuat sepenuhnya.

Selain itu, penghijrahan itu juga sebagai satu usaha dalam menyebarkan Islam di Mekah dan tempat-tempat lain.

#2 – Israk Dan Mikraj

Peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w itu sudah menjadi sangat sinonim dengan jiwa setiap umat Islam. Peristiwa ini juga seolah-olah mempunyai roh yang tersendiri yang menjadi hikmah kepada banyak bidang dalam agama Islam.

Terdapat banyak khilaf dan pendapat tentang tarikh dan waktu terjadinya peristiwa bermakna ini. Namun yang lebih penting adalah falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah s.a.w ini.

Ringkasnya, Israk Mikraj merupakan perjalanan Rasululalh S.A.W yang bermula dari Masjidil Haram menuju Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Israk Mikraj juga itu merupakan cara Allah ‘menghiburkan’ Rasulullah s.a.w yang pada tahun sama kehilangan isteri kesayangannya iaitu Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudara Baginda yang paling rapat, Abu Thalib.

Bahkan pada ketika itu juga Baginda melalui tentangan yang sangat hebat dalam usaha dakwah baginda menyebarkan Islam.

Terdapat banyak hikmah dalam perjalanan Rasulullah dalam seharian semalam yang ajaib itu. Antara yang terpenting dalam peristiwa ini adalah bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam yang diperintah oleh Allah kepada umat Islam melalui Baginda s.a.w.

Rasulullah juga ditunjukkan akan tempat dan pembalasan bagi dosa-dosa semasa hidup di dunia. Sesunguhnya Israk Mikraj mempunyai kisah tersendiri yang sangat panjang, istimewa dan menginsafkan.

#3 – Peperangan Tabuk

Peperangan ini berlaku pada tahun ke-9H dan menandakan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana wilayah Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu.

Peperangan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w dan merupakan peperangan terakhir baginda. Peperangan ini dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah kerana kegerunan pasukan musuh yang menawarkan perdamaian dalam peristiwa itu.

Perang ini sebenarnya menguji kekuatan dan semangat umat Islam dalam mempertahankan keimanan dan maruah agama Islam.

#4 – Pembebasan Dan Kejatuhan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis mula dibuka semasa pemerintahan Khalifah Saidina Umar bin al-Khattab dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun.

Namun, kota itu ditawan kembali oleh musuh Islam dan memerintahnya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 58H.

Panglima Salahudin al-Ayyubi bersama-sama pasukan kaum Muslimin mengepung dan membebaskan kota al-Quds yang telah lama dikuasai oleh pasukan Salib itu.

Dengan kejayaan itu, umat Islam akhirnya kembali hidup di bawah pemerintahan Islam selepas beberapa puluh tahun di bawah belenggu penjajahan Kristian.

#5 – Lahirnya Imam Syafie

Imam Syafie adalah seorang tokoh yang diumpamakan sebagai permata bagi umat Islam. Beliau dilahirkan pada 150H, bersamaan 767M di Gaza, Palestin.

Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan kehebatan memang tidak boleh disangkalkan lagi. Peningalan beliau yang paling berharga adalah kitab hasil karyanya, iaitu al-Umm.

Kebijaksanaan Iman Syafie dalam bidang keilmuan sangat dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata;

“Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia.”

#6 – Penghapusan Sistem Khilafah

Selepas 760 tahun pembebasan wilayah Baitul Maqdis pada 28 Rejab 1342H atau pada 3 Mac 1924, sistem khalifah akhirnya dimusnahkan oleh seorang pemerintah sekular di Turki bernama Mustafa Kamal Pasha Atartuk.

Kesannya, konsep pemerintahan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w telah hilang dan wilayah Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam.

Bahkan pemerintahan secara berkhalifah diganti dengan cara ideologi Kapitalisme-Sekularisme yang menjurus ke arah kebaratan iaitu pemerintahan Republik.

Pelbagai perubahan dilakukan sehingga membawa kepada penghinaan kepada agama Islam, bahkan umat Islam yang berada dalam satu wilayah kekuasaan pemerintahan telah terpecah.

Wilayah Islam juga dipecahkan menjadi negeri-negeri kecil sebagai memenuhi konsep nasionalisme.

Komen


Berita Berkaitan