Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

6 batalion tentera bertugas di ESSZONE pada Aidilfitri

PANGLIMA Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim (dua dari kanan) bersalaman dengan anggota tentera pada Majlis Berbuka Puasa Panglima Tentera Darat yang disertai kira-kira 600 pegawai dan anggota tentera di Masjid Nurul Sa’adah di Kem Kubota, Tawau, malam tadi. – Foto Nasrawati Syarifuddin

 

TAWAU: Enam batalion Tentera Darat ditugaskan di beberapa kawasan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi memastikan tahap keselamatan berada dalam keadaan terbaik sepanjang Aidilfitri kali ini.

Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, berkata walaupun Sabah ketika ini aman tanpa sebarang ancaman, namun semua anggota harus mengambil langkah berjaga-jaga kerana ancaman boleh berlaku pada bila-bila masa.

Beliau berkata, perasaan anggota tentera yang juga ingin beraya bersama keluarga perlu dikorbankan demi menjaga keselamatan negara agar masyarakat dapat menyambut perayaan itu dalam suasana aman tanpa ancaman pihak luar.

“Enam batalion tentera akan bertugas ketika hari raya nanti. Walaupun tentera juga memiliki perasaan ingin pulang ke kampung halaman masing-masing (menyambut Aidilfitri), saya mahu mereka (anggota tentera) menumpukan kepada tugas dan operasi kerana keselamatan kawasan lebih penting.

“Saya percaya moral anggota yang saya temui mampu dan bersedia untuk melakukan tugasan terbaik kerana saya juga sudah mengingatkan mereka bahawa kita jangan leka dengan keadaan sekeliling yang dilihat agak tenteram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Berbuka Puasa Panglima Tentera Darat yang disertai kira-kira 600 pegawai dan anggota tentera di Masjid Nurul Sa’adah di Kem Kubota di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat dan Panglima 13 Briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Brigadier Jeneral Hamdan Ismail.

Terdahulu pada majlis itu, Zulkiple mengagihkan sumbangan daripada Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Masjid Sa’adah, Surau Tungku di Kem Cenderawasih 13 Briged ESSCOM dan Surau Kem JPG Lahad Datu serta sumbangan raya kepada warga operasi dan tentera di daerah ini. –¬†Oleh Nasrawati Syarifuddin/BH Onine

Komen


Berita Berkaitan