Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

5,276 Permohonan Untuk MyDeposit – Abdul Rahman

4:24pm 23/06/2016 Pak Roshan 62 views Mutakhir,Nasional

rahman-21-600x367 (1)

PUTRAJAYA – Sebanyak 5,276 permohonan diterima bagi Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama atau MyDeposit sejak 7 April sehingga 14 Jun lepas, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata permohonan tersebut melibatkan 3,090 bagi rumah baharu dan 2,186 permohonan bagi rumah sekunder atau ‘subsale’.

“Tiga negeri yang mencatatkan permohonan tertinggi bagi skim MyDeposit ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran MyDeposit kepada 40 penerima sulung skim itu di kementeriannya di sini hari ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.09 juta.

Abdul Rahman berkata sehingga 5 Jun, sebanyak 1,311 permohonan Skim MyDeposit telah diproses dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 425 pemohon didapati layak.

Skim MyDeposit, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 23 Okt 2015, diwujudkan melalui penyerahan dana sebanyak RM200 juta oleh kerajaan sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama bagi tujuan pembayaran deposit.

Insentif yang diberikan terhad kepada bayaran deposit 10 peratus daripada harga jualan rumah atau maksimum RM30,000 mengikut mana yang terendah bagi pembelian rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Abdul Rahman berkata antara 6,600 dan 10,000 pembeli rumah pertama akan menerima faedah melalui skim MyDeposit berdasarkan anggaran sumbangan pembiayaan deposit oleh kerajaan antara RM20,000 sehingga RM30,000 untuk setiap pemohon.

“Diharapkan keseluruhan dana berjumlah RM200 juta untuk Skim MyDeposit ini akan berjaya disalurkan kepada pemohon yang layak menjelang akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata kerajaan menyasarkan pembinaan satu juta unit rumah mampu milik sehingga penghujung 2017.

Daripada jumlah itu, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan membina 500,000 unit manakala baki 500,000 unit rumah lagi akan dibina oleh agensi-agensi lain seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerajaan negeri serta pemaju perumahan swasta. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan