Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

500 Sekolah Amanah dibuka seluruh Negara

mary yap

KUCHING – Kementerian Pendidikan merancang untuk menambah 500 Sekolah Amanah di seluruh negara dalam tempoh 15 tahun di bawah pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Chain (gambar) berkata, langkah itu diambil selepas 10 buah Sekolah Amanah iaitu lima di Johor dan Sarawak berjaya mengalami perubahan lebih holistik.
Katanya, penambahan tersebut juga membolehkan penaja swasta bekerjasama untuk menguruskan sesebuah Sekolah Amanah.
“Berdasarkan pemerhatian, banyak perubahan positif dalam membentuk keperibadian murid dicapai di beberapa Sekolah Amanah di Johor dan Sarawak dalam tempoh dua tahun ini.
“Saya juga boleh mengatakan Sekolah Amanah merupakan model terbaik dalam memastikan kejayaan PPPM 2013-2025,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Kebangsaan Combined, Jalan Eastern Park di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Nombor 6, Padawan di sini.
Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Serina Sauni; Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Prof. Dr. Sim Kui Hian; Guru Besar SJKC Chung Hua 6, Kho Bee Leng dan Guru Besar SK Combined, Saftuyah Adeng.
Sementara itu, Mary Yap turut mengulas mengenai peranan Lembaga Pengurus Sekolah-sekolah Cina di negeri ini dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar.
Katanya, kejayaan Lembaga Pengurus Sekolah Chung Hua 1 hingga 6 merupakan bukti kaedah yang diguna pakai itu berjaya dalam melahirkan lebih ramai murid cemerlang.
“Lembaga Pengurus Sekolah-sekolah Cina merupakan kebanggaan setiap ibu bapa kaum Cina di Sarawak kerana mereka yang dianggotai wakil persatuan dan golongan profesional ini banyak berjuang serta membantu sekolah.
“Berhubung cadangan lembaga yang ingin kerajaan menambah bilangan SJKC di cawangan, mereka boleh menghantar permohonan untuk perhatian Kementerian Pendidikan sekiranya mempunyai keperluan yang tinggi,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan