Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

5 Tips Ibadah 10 Malam Terakhir Dalam Kesibukan Menjelang Raya

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Terasa bagaikan semalam 1 Ramadhan menjelma tiba, sudah masuk dalam fasa 10 malam terakhir rupanya. Saat ini ada sebilangan daripada kita sudah mula bergerak ke kampung halaman, pelbagai persediaan menjelang Aidil Fitri perlu dilakukan. Namun kesibukan itu sebenarnya bukanlah alasan supaya ibadah-ibadah yang sebelum ini giat dilaksanakan terus dibekukan demi memberi laluan kepada Aidil Fitri yang bakal menjelma. Bukankah Ramadhan masih ada?

Berikut adalah antara 5 tips yang boleh diamalkan bagi menyemarakkan ibadah menjelang 10 malam terakhir dalam kesibukan raya :

1. Tadarus al-Quran sesama sanak saudara

Berkumpul bukan selalu, bila lagi mahu bertemu? Semasa pertemuan sanak-saudara inilah peluang harus diambil untuk sama-sama mengumpul pahala berganda sambil mengeratkan silaturrahim sesama sanak-saudara. Jika selama ini bertadarus cuma bersendirian, berdua atau bertiga, kali ini beramai-ramai pasti boleh sama-sama berkongsi manfaat dan pahala. Ajak mereka bersama-sama bertadarus bersama kita.

“Alamak, seganlah. Tak pernah-pernah buat pun.”
Tak mengapa, setiap perkara, mesti akan ada kali pertama. Mana tahu jika dimulakan pada tahun ini, tahun-tahun selepasnya dapat diteruskan pula. Jika majlis tahlil dan bacaan Yasin pun boleh dilakukan, bertadarus pun insya Allah boleh kalau diusahakan. Tak perlu lama, antara Maghrib dan Isya’ pun sudah memadai kerana mungkin selepas tarawikh ada kerja lain yang perlu diselesaikan. Kalau para dewasa tidak mahu turut serta, kita ajak yang anak-anak sahaja pun bagus juga.

2. Solat malam 2 rakaat sambil bergilir-gilir melakukan kerja

Jika kita mampu berjaga di tengah-tengah malam untuk menyiapkan kuih raya, ketupat, langsir raya, baju raya dan bermacam lagi persiapan raya, solat dua rakaat minima pun pasti boleh sahaja hendak dilaksanakan asalkan hati ada kemahuan. Apa kata jika kita bergilir-gilir berjaga melakukan kerja? Bila seorang jaga kuih sebagai contohnya, seorang lagi pula berhenti sebentar untuk menunaikan tahajud. Kerjasama bukan saja diperlukan dalam urusan dunia, malah dalam ibadah juga sama bahkan bertambah-tambah berkatnya

“Mak Uda nak solat malam tak? Sepuluh malam terakhir ni best kalau nak solat sunat. Takpe, kuih tart dalam oven tu biar saya yang tolong jagakan.”

“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada lailatul qadr kerana keimanan dan mengharap pahala, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah berlalu.”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim 

3. Solat Fardu dan Tarawikh berjemaah di rumah

“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu” 
Hadis Riwayat Abu Daud

Tiba sahaja 10 malam terakhir Ramadhan, saf tarawikh di masjid pun hanya tinggal sebaris dua baris tiga baris seperti mana solat jemaah pada hari-hari biasa. Perkara ini cukup sinonim terjadi dalam masyarakat kita. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan persiapan raya, atau pun sudah malas bertarawikh kerana beranggapan tak mengapa, Ramadhan pun sudah hendak habis.

Bagi yang sudah pulang ke kampung halaman atau sedang sibuk membuat persiapan di rumah, tidak salah kiranya kita solat tarawikh berjemaah bersama-sama ahli keluarga dan sanak saudara. Sudahlah pahala solat berjemaah itu berganda berbanding solat bersendirian, malah dilipatgandakan lagi pahala kerana ditunaikan pada bulan Ramadhan, bahkan bertambah-tambah pula ganjaran kerana mengajak saudara-saudara kita ke arah kebaikan. Tidaklah perlu dirikan 20 rakaat atau habiskan ayat al-Quran satu muka surat. 8 rakaat dengan surah-surah ringkas pun sudah memadai, asalkan kesungguhan untuk memanfaatkan sehabis mungkin 10 malam terakhir itu tetap ada seikhlasnya.

4. Memperbanyakkan zikir dan berbicara akan kebaikan

Apabila berkumpul beramai-ramai, pasti tidak akan terlepas borak bicara berkongsi cerita perkembangan terkini dan semasa. Semasa sibuk berborak inilah kadangkala kita terlepas pandang akan apa yang kita bicarakan. Adakala “termengumpat” orang itu dan orang ini, bercakap tentang si fulan itu si fulan ini, timbul gosip-gosip panas dan hangat dan bermacam-macam lagi. Paling tidak pun jika diajak berbual, maka berbual lah dengan perkara-perkara yang baik. Andai sudah termasuk bicara-bicara yang tidak enak, mungkin kita boleh ambil peranan dengan menukar topik perbualan atau kita sendiri yang membuka topik berunsur tazkirah dan peringatan. Jika tidak mampu, dalam situasi begini ada baiknya kita diam dan memperbanyakkan zikir di dalam hati. 10 malam terakhir adalah waktu untuk melipatgandakan amalan kebaikan, bukan mengurangkan.

5. Memperbanyakkan berdoa ketika sahur, berbuka, selepas solat

Berdoa adalah ibadah yang bebas. Semudah-mudah ibadah. Tetapi ramai di antara kita yang malas atau segan untuk berdoa. Pada waktu beginilah Allah membuka pintu rahmat seluas-luasnya, menjemput doa-doa kita untuk didengari dan diperkenanNya. Luangkanlah sedikit masa untuk berdoa di celah-celah kesibukan itu. Tidak dapat bangun menunaikan qiammulail tidak bermakna terlepas peluang untuk doa-doa kita dimakbulkan. Kita masih punya ruang di waktu-waktu sahur, sebelum makan untuk berbuka, selepas solat fardhu bersama-sama. Itu baru minima usaha. Doa itu luasnya menjangkaui alam semesta, ia tidak terbatas. Pintalah dengan penuh rasa cinta, takut, dan harap. Sungguh, Dia mendengar dan Dia memperkenan. Amatlah rugilah orang yang mensia-siakan Ramadhan dengan merasa malas untuk berdoa.

Oleh itu, Usaha!

Ramadhan adalah sebuah musafir, musafir hamba dalam hakikat hubungannya dengan Tuhan. Sejauh mana keakraban dirinya dengan Allah SWT dinilai dan diuji dengan bagaimana dia membawa dirinya di sepanjang Ramadhan. Ada manusia yang pada awalnya bersemangat namun terkandas di akhir jalan. Ada manusia yang pecutannya sedikit lambat namun di akhirnya dia menjadi graduan Ramadhan yang berjaya. Dan kita, masih belum terlambat untuk berusaha walaupun mungkin pada awal Ramadhan kita agak lalai dan lagha.

Ramadhan masih berbaki, teruskan usaha. Jika tidak mampu lakukan semua, jangan tinggal semua. agar kita dapat bersama-sama merasai indahnya Ramadhan, bukan sekadar menanti Aidil Fitri yang bakal menyusul selepas ini. Ajak saudara mara, sahabat handai kita, ambil peluang ini untuk kita bina sebuah keluarga yang bukan sahaja bertemu dan berkumpul di dunia, malah wajah-wajah yang sama juga yang akan bertemu dan berkumpul di syurga sana dengan izin dan rahmat dari Allah Taala. Jadikan hari raya ini hari kita benar-benar kembali kepada fitrah hamba. Bawa hati yang suci bertemu Syawal.

Ramadhan masih berbaki, ayuh rebut peluang ini semaksima mungkin!

“Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak”

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Aisyah Huraiyah)

Komen


Berita Berkaitan