Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

5 Tips Hindari Diri Anda Daripada Berprasangka Buruk

Gambar Hiasan

 

Nabi SAW memperkenalkan salah seorang calon syurga daripada kalangan para sahabat yang bernama Sa’ad bin Abi Waqqas R.A. beliau kemudiannya memasuki masjid Nabi dalam keadaan basah kerana wudhuk yang diambilnya.

Hal itu mendatangkan rasa ghibtah (cemburu yang positif) daripada kalangan sahabat lain terutamanya Abdullah bin Amru bin Al-As R.A sehingga dia mengekori Sa’ad hingga ke rumahnya. Dia lantas bertanyakan rahsia pencalonan Sa’ad ke syurga. Jawab Sa’ad;

“Aku tidaklah sehebat manusia lain dalam urusan ibadah mahupun ketaatan. Namun, aku sama sekali tidak mempunyai prasangka buruk kepada sesiapa pun termasuk tidak berkata buruk tentang sesiapa pun.” Lalu balas Abdullah: “Sungguh! Inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh mana-mana manusia.”Riwayat Ahmad

Buruk sangka atau dalam bahasa arabnya su’udzon merupakan salah satu daripada sifat mazmumah (sifat tercela).

Pada awalnya, prasangka buruk ini hanyalah sangkaan fikiran dan termaktub di dalam hati sahaja. Namun, dari situlah lahirnya sifat mazmumah yang lain seperti mengumpat, memfitnah dan menyebarkan aib orang lain.

Kadangkala, sebagai seorang manusia biasa yang punya mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, akal untuk mentafsir dan hati untuk memahami sangat mudah untuk berprasangka buruk terhadap orang lain.

Ini kerana, dari pemerhatiannya perkara yang dia lihat, dia dengar dan dia faham itulah hakikat kebenaran. Walhal, perkara tersebut berbeza disebaliknya. Betapa mudahnya manusia menghukum. Tanpa sebarang bukti dan pengetahuan akan hak atau batil.

Ya. Prasangka buruk itu mungkin hanya di dalam hati. Tiada siapa pun mendengar. Lantas andaian yang tidak sahih tersebut mula disebarkan dialam maya dan terus disebarkan tanpa batas.

Benarlah, daripada prasangka membawa jalan menuju dosa dan fitnah! Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, karena sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain”Surah Al-Hujurat : 12

Selain berprasangka buruk kepada orang lain, manusia juga kerap berburuk sangka terhadap Allah SWT. Mungkin sekadar dengan lintasan atau ucapan seperti,

“Kalaulah Allah.buat begini.”

“Kenapalah Allah buat begitu?”

“Hari ini juga lah nak sakit.”

“Ish… Tak cukup rezeki hari ini.”

Ketahuilah, prasangka buruk dengan Allah adalah perkara tercela dan merupakan satu dosa. Sikap seperti ini merupakan kebiasaan orang kafir dan munafik yang tidak meyakini Allah sebagai Tuhan. Rasulullah SAW pernah mengingatkan, yang bermaksud;

“Janganlah salah seorang daripada kamu mati melainkan dia harus berhusnuzon (bersangka baik) pada Allah.” Riwayat Muslim no.2877

Ternyata prasangka buruk ini telah menjadi satu tabiat manusia lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi moden seperti sekarang, seolah-olah menjadi baja yang menyuburkan akhlak buruk manusia.

Masyarakat lebih mudah terdedah kepada tipu daya fitnah di alam maya. Malah, kali ini bukan lidah yang berbicara tetapi jari-jemari yang lebih beracun dan berbisa sehingga perkara yang sepatutnya menjadi aib tanpa segan silu diceritakan kepada satu dunia.

Ya. Sememangnya manusia tidak pernah lekang dari dosa dan dosa berprasangka buruk ini juga merupakan salah satu dosa yang perlu kita bertaubat pada-Nya.

Justeru, setelah bertaubat maka carilah jalan untuk mengelakkan diri daripada mengulanginya semula. Berikut merupakan tips bagi mengelak diri daripada berprasangka buruk.

#1 – Sentiasa Bersangka Baik

Setiap manusia tidak terlepas dari berbuat kesilapan. Kadangkala, kesalahan yang dibuat adalah tanpa sedar.

Mungkin, sesuatu perkara berlaku terlalu pantas sehinggakan manusia hilang rasional lantas berfikiran negatif.

Sebaiknya, apabila mendengar atau melihat sesuatu, janganlah cepat menghukum. Pastikan perkara itu sahih dahulu. Dengan kata lainnya, bersangka baik sahaja.

Mungkin ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan pada pandangan dan pendengaran kita. Sikap suka bersangka baik sebenarnya adalah satu sikap yang sangat dituntut dalam Islam kerana ia dapat memelihara akidah dan akhlak seorang manusia.

Bersangka baik juga mampu menjadikan hati sentiasa tenang dan segan untuk berbicara tentang keburukan orang lain.

#2 – Mensyukuri Segala Nikmat Daripada Allah

Sebagai seorang hamba, kita wajib bersyukur kepada Allah dalam segala nikmat pemberian-Nya. Sekalipun hanya dikurniakan rezeki sekadar satu ringgit tetap juga kita diajar untuk mengucap kalimah ‘Alhamdulillah’.

Bersyukur bukan saja di saat senang, malah di kala susah juga kita harus bersyukur. Kerana setiap ujian daripada Allah merupakan tanda Allah sayang dan kasih terhadap kita.

Jika dalam kehidupan, kita sentiasa bersyukur, Insya Allah kita tidak akan meminta yang lebih daripada yang Allah beri serta menjadi seorang yang berfikiran positif dan memandang segala perkara dengan penuh hikmah.

Sifat bersyukur juga adalah sikap orang berjaya. Dia tidak akan iri hati atau dengki dengan orang lain kerana baginya, Allah itu Maha Adil.

#3 – Sentiasa Merendah Diri

Merendah diri bukan bermaksud kita melepaskan diri dari segala masalah sehinggakan ada yang mengutuk agama Islam kita diamkan sahaja malah menjawab dengan selamba ‘saya tiada kuasa’.

Itu bukan merendah diri. Itu hilang keyakinan diri! Merendah diri sekiranya kita ditegur mahupun ditanya tentang sesuatu atas dasar kita lebih tahu.

Merendah diri menjadikan kita sentiasa bersederhana dan jika mendengar sesuatu berita atau umpatan, kita tidak cepat melatah dan bersangka buruk kerana kita lebih tahu tahap kebenarannya.

Malah, dengan sikap ini kita akan lebih mengambil berat tentang sesuatu sehinggakan kita ingin mengubah keburukan kepada kebaikan.

Sikap merendah diri juga mampu untuk mengelakkan kita berburuk sangka dengan orang lain kerana kita memahami yang manusia itu tidak ada yang sempurna. Pasti

#4 – Melihat Aib Diri Sendiri

Terkadang, orang yang sering berprasangka buruk terhadap orang lain dia sebenarnya kurang memerhatikan aib dirinya sendiri. Begitulah kebiasaannya.

Cubalah memahami situasi orang lain dan bandingkan situasi kita dengan situasinya. Sebelum berprasangka buruk kepada orang lain, cermin dahulu diri sendiri.

Tidak semua orang sedar akan hakikat aib sendiri melainkan dia sentiasa sibuk menyebarkan aib orang lain.

Justeru, perbaikilah hati dan diri. Ingatlah pesan Nabi SAW yang bermaksud;

“Tidaklah seseorang menutupi aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat kelak.”Riwayat Muslim dan Ibn Majah

#5 – Perbanyakkan Mendalami Ilmu Agama

Tatkala sibuk dengan urusan kerja dan keluarga, berilah sedikit ruang kepada diri untuk mendalami ilmu agama.

Betapa pentingnya ilmu agama kepada manusia apabila berada di zaman ini. Zaman yang penuh dengan cabaran, hiburan dan angan-angan semata. Merasa selesa dengan kehidupan tanpa beragama adalah satu bala yang cukup besar untuk umat manusia.

Malah, kehidupan tanpa ilmu agama akan membawa manusia kepada kejahilan dan beberapa sifat mazmumah(tercela) antarannya, meninggalkan solat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, mengumpat dan memfitnah.

Orang yang berusaha mendalami ilmu agama akan sentiasa berwaspada dengan hal-hal berkaitan manusia. Ini kerana, berbuat dosa dengan manusia, Allah tidak akan mengampuni kita melainkan orang tersebut telah memaafkan kita.

Jadi, orang yang tahu tentang agama, tidak akan mudah berburuk sangka, mengata orang lain apatah lagi hingga tahap memfitnah kerana dia tahu perkara tersebut merupakan satu dosa dan mendapat kemurkaan Allah.

Kesimpulannya, jangan sesekali meremehkan soal berprasangka buruk ini kerana daripada sangka akhirnya menjadi dosa.

Daripada sangka akhinya boleh membawa fitnah. Ingat! Dosa memfitnah itu lebih besar daripada dosa membunuh.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Nor Khairiah)

Komen


Berita Berkaitan