Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

5 Tips Berpuasa di Luar Negara

11:05am 01/07/2016 Zakir Sayang Sabah 43 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Anda mungkin mengembara pada bulan Ramadhan, di mana tempoh berpuasanya ialah lebih atau kurang daripada 14 jam.

Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk bertahan semasa puasa di siang hari? Penulis ingin berkongsi beberapa tips and panduan berpuasa di luar negara.

1. Amalkan Ibadah Sunnah

Kita perlu membuat persiapan menjelang Ramadan. Puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis sangat digalakkan untuk menambah keyakinan dan ketahanan badan untuk berpuasa lebih lama. Kerapkan membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.

Solat sunat dan bacaan zikir melatih diri bersifat sabar dan tawaduk. Semua ini adalah bonus buat bekalan rohani untuk peperiksaan tahunan Allah ini.

2. Lakukan Aktiviti Produktif Pada Siang Hari

Keistimewaan berpuasa di luar negara, khususnya pada musim panas, ialah waktu siang yang amat panjang. Contohnya, saya berpuasa 19 jam di United Kingdom. Maka, waktu lapang ini sesuai dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti yang berguna.

Dengan melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan, bekerja dan menelaah pelajaran/ bahan bacaan, anda dapat menjauhi sifat malas. Kemalasan hanya membawa kepada tabiat tidak berfaedah, seperti tidur, membuang masa dan berbual kosong.

Apabila sesuatu perkara itu disertakan niat, ia menjadi ibadah. Ganjaran beribadah dilipat gandakan di dalam Ramadan. Rebutlah peluang keemasan sementara Ramadan masih ada.

3. Jadikan Masjid Sebagai Rujukan

Waktu solat Subuh dan Maghrib merupakan kunci penentu tempoh berpuasa, yakni dari terbit fajar hingga ke penghujung senja. Perubahan waktu berlaku atas sebab peredaran matahari mengelilingi bumi.

Maka, waktu bersahur dan berbuka selalunya berubah atas faktor ini. Pihak masjid tempatan sudah pasti mengetahui jadual waktu berbuka dan bersahur– gunakan jadual ini supaya anda tidak terlepas saat kritikal tersebut.

Lebih baik, anda boleh cuba untuk bersahur dan berbuka di masjid. Sudah pasti anda dapat melihat sendiri perbezaan suasana berbuka di luar negara berbanding di Malaysia.

4. Jaga Permakanan Harian

Ketika berpuasa, kita hanya ada dua waktu makan: bersahur di awal pagi dan berbuka pada waktu senja. Permakanan seimbang perlu dititik beratkan mulai sekarang, agar kita terhindar daripada mengalami masalah tubuh badan, seperti sakit perut, cirit birit dan muntah.

Sentiasa meminum air pada waktu malam, untuk melancarkan aliran darah. Jangan membazir ketika membeli lauk pauk berbuka (jika terdapat bazar di sana).

5. Sediakan ‘Kit Berpuasa’

Salah satu rukhsah (kelonggaran) diberikan kepada musafir selain qasar jama’ adalah berbuka awal ketika berpuasa. Bergantung ke tempat yang anda lawati, kebarangkalian untuk menemui kedai makan yang halal mungkin tinggi atau rendah.

Contohnya Eropah, di mana Muslim adalah golongan minoriti, kebarangkaliannya ialah rendah. Maka, anda dinasihatkan untuk menyediakan set berbuka untuk saat kecemasan. Kit berbuka terdiri daripada beberapa biji tamar (kurma) dan sebotol air mineral.

Kit ini mudah disediakan dan sangat berguna untuk mereka yang sentiasa bergerak dalam perjalanan. Buah tamar membekalkan sumber protein kepada tubuh badan, manakala air berfungsi untuk memberikan hidrasi yang berterusan kepada pengaliran sel dan darah dalam tubuh badan.

Kesimpulannya

Berpuasa di luar negara itu merupakan satu pengalaman bermakna. Banyak manfaat yang boleh dipelajari. Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan penganutnya.

Moga tips yang dicadangkan di atas dapat membantu anda untuk mengekalkan momentum dalam bulan Ramadan yang mulia pada tahun ini. Walau di mana jua anda berada, ibadah puasa tetap perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Haniff Nasir)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan