Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,697

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

5 Tip Mengambil Hati Bakal Mertua

8:43pm 10/02/2016 Zakir Sayang Sabah 111 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Dhia termenung panjang, memerhati dedaunan hijau di pokok mangga yang emak tanam tiga tahun lalu, terbuai-buai ditiup angin pagi. Sesekali, dia berkeluh bagai sedang menzahirkan sesuatu yang mengkucar-kacirkan fikiran.

Kata-kata Kak Liza malam tadi asyik terdengar-dengar di telinga. Sudah beberapa kali dia menggeleng, dengan harapan suara itu ‘hilang’, tetapi ia kembali juga. Membuatkan Dhia langsung tidak senang duduk.

“Nanti bawa diri baik-baik. Kita bukan bawa nama kita seorang, tetapi kita bawa nama mak ayah kita sekali. Sebagai anak perempuan, itu tanggungjawab kita. Menjaga maruah diri dan keluarga.”

Suara hatinya berdetak, “Ah, bagaimana kalau aku tumpahkan air panas di hadapan tetamu? Bagaimana kalau aku tersadung karpet?”

Dhia bungkam.

Kalau diikutkan hati, memang dia tak mahu berjumpa keluarga Sulaiman. Cukuplah mereka berkenalan dengan emak dan ayah sahaja. Dhia, cukuplah intai-intai dari jauh sahaja. Tetapi, emak kata ibu Sulaiman mahu jumpa. Wanita itu mahu melihat dia dari dekat.

Atas sebab itu, mereka aturkan pertemuan. Keluarga Sulaiman akan datang pada hujung minggu nanti. Atas alasan itu, Dhia bersendiri di bilik, mencari tenang yang belum mahu muncul walaupun sudah berpuluh kali dia beristighfar dan berselawat.

Menjelang awal petang, pintu biliknya diketuk. Segera Dhia berkalih dari tingkap dan duduk di tepi katil. Apabila pintu dibuka, wajah lembut emak tersembul. Emak tersenyum manis, memujuk hati Dhia yang sedang rawan.

“Kenapa dengan anak emak ni?”

Perlahan dan lambat-lambat, Dhia menggeleng seraya tersenyum kecil, membalas senyuman emak yang tidak pernah berenggang dari bibir.

Emak menggeser tubuh sehingga duduknya bertemu bahu dengan Dhia dan bertanya, “Susah hati pasal program Ahad nanti?”

Sunyi. Jawapan Dhia hanya wajah yang ditundukkan. Kedua tangannya diramas-ramas. Bibir bawah digigit.

Seorang ibu, kehebatannya selalu terserlah dalam situasi yang begini. Pada ketika anak mogok tidak mahu memberi jawapan jelas, apabila anak memilih mahu berkias, atau semasa anak mendiamkan diri tanpa kata, seorang ibu akan tahu gejolak jiwanya.

Emak memanjangkan jangkauan tangan kanan lalu memeluk bahu Dhia. Jemari kiri pula diletakkan di dagu anak perempuannya, memaksa Dhia mengangkat pandang.

Pinta emak dengan lembut, “Pandang emak.”

Apabila mata mereka bertentang, cepat-cepat Dhia melarikan anak mata. Segan mahu menatap pandangan emak, dia lebih rela memandang dinding serba putih yang tidak bermata.

Tanpa menunggu Dhia memandangnya semula, emak berkata,

“Bertenang, fikirkan perkara positif sahaja. Doakan yang baik-baik.”

Mendengarkan pesanan emak itu, Dhia menoleh walaupun teragak-agak. Wajah emak yang bersedia mahu terus berkongsi itu dipandang beberapa ketika. Apabila mata mereka berada pada satu garis lurus, emak mengangguk kecil.

Lalu, meluncur pertanyaan dari mulut Dhia, “Apa lagi yang patut saya buat? Semuanya serba tak kena sekarang.”

Emak meletakkan telapak kanan di atas paha Dhia, sekaligus menghentikan pergerakan tangan Dhia yang asyik menggenggam dan meramas belakang tangannya sejak tadi. Sepertinya, memang dia menanti sentuhan emak itu apabila tangannya segera mendarat di atas tangan emak.

Sambung emak lagi,

“Selepas fikir hal-hal positif, kamu pakai pakaian yang sopan, longgar dan tidak jarang. Ambil pakaian terbaik dari almari.”

Dahi Dhia berkerut, “Tetapi, baju mana yang paling sesuai untuk dipakai di hadapan mereka nanti?”

Emak tersenyum lagi. Balasnya tenang, “Ingat apa ayah kata minggu lepas?”

Dhia mengangguk lalu tersengih, “Ayah kata saya cantik kalau pakai baju biru cair dengan kain hitam.”

Sebelah kening emak dinaikkan dan mereka sama-sama tersenyum.

Tambah emak kemudiannya,

“Selepas itu, baru buat perkara ketiga iaitu jadi diri sendiri. Tak perlu ubah apa-apa. Hanya kawal supaya kekal sopan dan tertib. Paling penting, kamu buat perkara keempat iaitu tak memandai-mandai depan orang tua dan utarakan pendapat dengan bijak.”

Dhia menunjukkan bermacam-macam respon. Sekejap dia diam dan sebentar kemudian dia mengangguk. Selepas itu, dahinya berkerut dan ada ketika dia mengherotkan bibir ke kiri.

Tidak mahu berlama-lama buntu, Dhia bertanya mencari tahu, “Macam mana nak bercakap dengan bijak?”

“Macam sekarang, kamu diam apabila perlu. Anak emak yang baik ini tidak membentak-bentak walaupun jelas-jelas kamu tidak setuju mahu berjumpa keluarga Sulaiman. Lagi, kamu bercakap dengan nada yang rendah dan tidak menyakitkan telinga. Emak suka. Insya-Allah, emak dan ayah Sulaiman juga akan suka.”

Dhia tersengih, lalu memeluk emaknya dengan erat.

Ucapnya perlahan tetapi sampai ke telinga emak, “Insya-Allah, sebab itu yang emak doakan. Insya-Allah, sebab itu yang ayah minta daripada Tuhan.”

Ketika emak melepaskan rangkulan, Dhia bertanya sebaris dengan wajah yang jelas dengan rasa ingin tahu, “Nanti, kena bawa buah tangan?”

Emak tergelak kecil lalu menepuk bahu Dhia.

“Itu tip kelima, kalau kita orang yang bertandang. Tapi kamu orang yang menyambut, jadi sediakanlah juadah yang patut.”

Dhia menepuk dahi. Cepat-cepat dia menyorokkan pipi yang merah dengan menekup bahagian bawah muka dengan kedua tapak tangan. Di sisinya, emak memandang dan tersenyum senang.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Siti Rahmah Mokhtar)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan