Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,735

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

5 Tatasusila Di Dinding Media Sosial

10:17am 16/11/2016 Zakir Sayang Sabah 2 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Media sosial telah menjadi sebahagian perkara penting di dalam hidup ramai anak muda pada masa ini. Ia telah mengubah cara kita berinteraksi di antara satu dengan yang lain. Keadaan di mana masyarakat kita pada suatu masa dahulu bertemu muka kini telah digantikan dengan pertemuan di sebalik skrin telefon pintar dan komputer.

Sebagaimana kebiasaan sesuatu ciptaan, pasti akan ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan media sosial. Selain impak positif, media sosial juga memberi pelbagai impak negatif.

Sebagai seorang remaja pintar, adalah penting untuk kita tahu bagaimana menggunakan media sosial sebaiknya.

1- Media Sosial Sebagai Alat Bantuan Pembelajaran

Media sosial boleh digunakan untuk tujuan pendidikan. Ia menjadi ruang kepada para pelajar untuk akses ilmu yang lebih luas. Guru-guru dan para pelajar boleh berkomunikasi dengan lebih mudah dengan menggunakan media sosial. Oleh itu, perbincangan berkaitan pembelajaran boleh dilakukan pada bila-bila masa melalui perantaraan ini. Selain itu, ada banyak maklumat yang boleh diperolehi secara atas talian.

Namun begitu, ini tidak bermakna anda boleh menggunakan media sosial dengan kerap. Kekerapan penggunaan media sosial boleh mengganggu tumpuan pembelajaran kerana anda mungkin diganggu oleh hal-hal yang tidak berkaitan pelajaran.

2- Memudahkan Undian Bagi Rakyat Yang Bertanggungjawab

Pada masa ini ada pelbagai undian yang dibuat di atas talian terutamanya dalam bidang politik. Belajarlah untuk menjadi masyarakat patriotik yang bertanggungjawab dengan berkongsi undi anda. Lihat bagaimana anda menjadi sebahagian daripada masyarakat. Jadilah sebahagian di mana ‘suara’ anda bakal menentukan masa depan negara.

3- Bijak Dalam Menilai Khabar Berita Di Media Sosial

Media sosial menjadi laluan paling pantas untuk penyebaran maklumat, anda dapat melihat banyak berita yang keluar sebelum ia muncul di dalam surat khabar atau televisyen. Maka, pilihlah berita dari sumber yang boleh dipercayai.

Elakkan juga menyebar maklumat yang tidak sahih atau diragui kebenarannya. Pendek kata jangan mudah menekan butang ‘share’. Fikir berkali-kali sebelum melakukannya atau nanti ia akan menyebabkan anda menjadi sebahagian daripada mereka yang menabur fitnah , pembuli siber dan menyebarkan aib orang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka janganlah ia menyakiti jirannya, dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya, dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia mengatakan perkara yang baik atau berdiam.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Niat yang baik tidak menghalalkan cara. Usah mereka-reka cerita kononnya dengan tujuan berbuat kebaikan. Perbuatan menipu tetap dipanggil sebagai penipuan dan dilakukan oleh penipu. Jagalah adab walaupun dalam keadaan mereka tidak dapat melihat diri anda secara fizikal. Anda tidak perlu menunggu sehingga dewasa untuk menjadi manusia bertanggungjawab.

4- Media Sosial Medium Untuk Berdakwah

Oleh kerana media sosial adalah medium paling mudah, murah, dan pantas dalam menyebarkan maklumat, maka ia juga satu medium terbaik untuk berdakwah atau menyampaikan ilmu. Pada hari ini, jika bukan kita yang menulis pun, banyak tulisan berkaitan ilmu yang boleh dikongsi di media sosial.

Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda;

Sesungguhnya Allah, malaikat, dan ahli (penduduk) langit dan bumi: hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia.”

Riwayat ap-Tirmizi

Dalam keadaan teruja, mungkin ada ilmu yang disampaikan tidak mendatangkan manfaat. Malah jauh pula daripada ganjarannya. Ini termasuklah berkongsi hadis-hadis palsu atau perkara-perkara yang boleh merosakkan nama agama.

Daripada Jarir bin Abdullah al-Bajali r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Siapa yang mengadakan ikutan yang baik dalam Islam, ia mendapat ganjaran amalan itu dan ganjaran orang yang mengamalkan selepasnya, tanpa kekurangan sedikit pun. Dan siapa yang mengadakan ikutan yang buruk dalam Islam, ia mendapat dosa daripada amalan itu dan dosa orang yang mengamalkan selepasnya, tanpa kekurangan sedikit pun.”

Riwayat Muslim

Sebagaimana kita menjaga lidah kita, begitu jugalah halnya dengan jari yang menaip dan menekan papan kekunci.

5- Berhati-hati Dalam Memilih Kawan Di Medial Sosial

Tidak dinafikan bahawa media sosial amat memberi kesan kepada hal-hal sosial. Keupayaan untuk komunikasi dengan rakan-rakan membantu menguatkan hubungan. Ini juga termasuk dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru, terutama jika selama ini kita seorang yang pendiam.

Malangnya, media sosial telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat kejahatan. Antaranya adalah penipuan, pedofilia, penculikan dan juga rompakan. Mereka mencipta akaun palsu dan mengajak ramai remaja untuk melibatkan diri dalam hal yang jijik. Oleh itu, jangan mudah mempercayai seseorang yang baru dikenali terutama yang anda kenali melalui media sosial.

Jika di luar media sosial kita berhati-hati dalam memilih teman, begitu juga semasa di media sosial. Jika ada perkara yang yang mendorong kepada syahwat dan hal buruk yang lain cuba diajar kepada kita, maka berwaspadalah.

Daripada Abu Hurairah r.a,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat.”

Riwayat al-Tirmizi dan Hakim

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan