Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

5 Skuadron terima empat Helikopter EC725

labuan

LABUAN: Inventori aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) No 5 Skuadron yang berpangkalan di Labuan diperhebatkan lagi dengan ketibaan empat helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan enam pesawat S61A-4 Nuri yang telah digunakan sejak tahun 1968.

Majlis penyerahan pesawat buatan Francis itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali Daut (TUDM) di Pangkalan Udara Wilayah Persekutuan Labuan, pagi kelmarin.

Empat helikopter terbaru dan tercanggih di dunia itu mampu menampung dan memperkuatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta utiliti dan tugas-tugas dokongan logistik khususnya di perairan Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan juga di Laut China Selatan.

Terdahulu, Tan Sri Dato’ Sri Rodzali berkata, helikopter tersebut adalah sebahagian daripada 12 helikopter EC725 yang telah diterima oleh TUDM bagi menggantikan 38 pesawat Nuri.

Katanya, dengan adanya pesawat baharu EC725 bukan saja akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik tetapi juga menjadi nilai tambah kepada pangkalan Udara No 5 Skuadron.

“Saya mahu No 5 Skuadron dapat mentadbir urus dan mengoperasikan pesawat ini dengan lebih cekap dan efisyen bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin khususnya di perairan Labuan dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM1.6 bilion untuk meningkatkan kemudahan TUDM termasuk pembelian 38 buah helikopter EC725 yang dibuat secara berperingkat-peringkat.

Katanya, sehingga kini TUDM telah memperolehi 12 helikopter, lapan daripadanya ditempatkan di Kuantan dan 4 buah di Labuan.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyaksikan penyerahan enam unit helikopter Nuri dari No 5 Skuadron kepada No 7 Skuadron yang berpangkalan di Kuching Sarawak.

Majlis penyerahan inventori pesawat Nuri itu dilaksanakan antara Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Mohd Rashidi Mohamad bagi pihak No 5 Skuadron Labuan, manakala Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Mohamad Daud Sulaiman mewakili No 7 Skuadron Kuching Sarawak.

Turut diadakan pada majlis itu ialah upacara penyerahan serah terima tugas daripada Pegawai Memerintah No 5 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Rashidi Mohamad kepada Pegawai Memerintah yang baharu, Mejar Engku Faizal Engku Mustapha.

Hadir sama menyaksikan majlis tiga dalam satu itu ialah, Panglima Bantuan Udara, Leftenen Jeneral Dato’ Che Akmar Mohd Nor, Panglima No Dua Divisyen Udara, Mejar Jenenal Dato’ Ansar Ali Majeth, Panglima No 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Dato’ Azizool Arif Abdul Ghani dan Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais, Mejar Jeneral Dato’ Sri Affendi Buang.

Komen


Berita Berkaitan