Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

5 Sikap Pemburu Malam Al-Qadr

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Apabila Ramadhan sampai ke 10 hari yang terakhir, orang-orang yang beriman akan mula meningkatkan sensitiviti dan kepekaan mereka. Jika ini sebuah maraton, maka 10 malam terakhir adalah fasa di mana para pelari memecut sebagai pecutan terakhir.

Kerana pada 10 malam terakhir, ada satu perkara yang besar.

Itulah dia Malam Al-Qadr, atau Lailatul Qadr. Yang disebut oleh Allah SWT sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pastinya satu peluang yang tidak mahu dilepaskan oleh sesiapa.

Namun, bila waktu sebenarnya berlaku Malam Al-Qadr ini, dirahsiakan oleh Allah SWT. Perahsiaan ini banyak hikmahnya. Antara yang lain, supaya kita tidak merasa malas dan hanya ingin beribadah pada malam tersebut sahaja. Itu akan memusnahkan tujuan utama Ramadhan sebagai bulan memproses diri menjadi hamba yang bertaqwa.

Oleh kerana hari sebenar berlakunya Malam Al-Qadr dirahsiakan, orang yang berhajat akannya akan mula menjadi ‘pemburu’. 10 malam terakhir ialah lapangannya.

Maka artikel ini menyingkap 5 Sikap Pemburu Lailatul Qadr.

Sikap 1 – Meningkatkan Usaha Pada 10 Malam Terakhir

10 malam terakhir memang mencabar. Kerana jika di Malaysia, suasana Aidilfitri sudah dirasai. Corong radio dan televisyen sudah mula banyak iklan hari raya, promosi hari raya dan mendendangkan lagu-lagu hari raya. Seperti tidak sabar hendak menyah Ramadhan pergi. Seakan-akan Ramadhan ini hanya transit sebelum kita berhari raya.

Padahal, Aidilfitri itu untuk meraikan orang yang berjaya kembali kepada fitrah, hasil daripada kesungguhan seseorang menghargai Ramadhan.

Maka pada saat ini, Pemburu Malam Al-Qadr akan mula meningkatkan usahanya. Bukannya makin melemah. Dia akan melipat gandakan ibadahnya dan amal kebajikannya. Dia akan menambah lebih lagi dari apa yang dilakukan pada 20 hari sebelumnya.

Untuk memastikan dirinya tidak terlepas dari mendapat manfaat Malam Al-Qadr, apabila ianya tiba.

 

Sikap 2 – Dia Tidak Meneka-neka

Pemburu Malam Al-Qadr tidak akan memilih-milih hari dalam 10 malam terakhir. Dia tidak akan menjadi orang yang kerjanya ‘menembak’ tekan apakah malam itu malam Al-Qadr atau tidak. Jika dirasakan ya, baru dia hendak bergerak beribadah. Tidak dan tidak.

Pemburu Malam Al-Qadr yang sebenar akan ‘pulun’ pada 10 hari tersebut, tanpa mengira malam ganjil atau tidak. Kerana itulah dia kesungguhan, untuk mengecilkan kemungkinan dirinya terlepas dari malam yang sangat mulia tersebut.

Logiknya mudah. Jika setiap malam diusahakan dengan bersungguh-sungguh, mustahil terlepas bukan? Salah satunya sudah pasti ialah Malam Al-Qadr.

Maka bukankah sangat rugi menjadi orang yang meneka-neka. Belum tentu tekaan kita tepat.

Justeru pemburu sebenar tidak akan membiarkan dirinya terteka-teka. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan setiap malam terisi.

 

Sikap 3 – Tidak Riya’ & Terlebih Yakin

Pemburu Malam Al-Qadr yang sebenar juga tidak akan berbangga-bangga menyatakan bahawa ‘semalam ialah Lailatul Qadr’, seakan mengwar-warkan kepada orang ramai bahawa dialah orangnya yang mendapat malam Al-Qadr dengan begitu yakin sekali.

Pertama, kerana tiada siapa yang akan dapat 100% menjamin bahawa semalam ialah benar-benar Malam Al-Qadr.

Kedua, kerana itu akan membawa kepada perasaan riya’. Riya’ ialah penyakit yang akan memusnahkan amal.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takutkan atas diri kamu adalah syirik kecil.”

Sahabat-sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?”

Baginda bersabda: “Ianya adalah riya’. Sesungguhnya Allah akan berfirman pada hari para hamba diberi balasan berdasarkan amal-amal mereka: Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu dahulu berbuat riya’ dengan amalan-amalan kamu di hadapan mereka ketika di dunia. Perhatikanlah, apakah kamu mendapatkan balasan di sisi mereka.” Hadith Riwayat Ahmad.

 

Sikap 4 – Bersangka Baik Kepada Allah & Tidak Berputus Asa

Pemburu Malam Al-Qadr juga akan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Dia akan sentiasa positif Allah SWT menerima amalannya, dan akan merezekikannya dengan Malam Al-Qadr. Justeru dia, dengan rasa positif itu, berusaha bersungguh-sungguh tanpa lelah mengejar Malam Al-Qadr.

Atas sangka baik yang sama juga, dia tidak akan berputus asa jika Allah izin dia tertidur atau terlepas dari beribadah pada salah satu malam atau beberapa malam di 10 malam terakhir. Dia tidak akan merasa bahawa Allah sengaja tidak mahu memberikannya Malam Al-Qadr, merasakan bahawa dirinya telah terlepas Malam Al-Qadr lantas kecewa nak beribadah. Tidak.

Dia bahkan tidak berputus asa, dan akan menghargai apa sahaja waktu yang masih berbaki untuk dia usahakan.

 

Sikap 5 – Dia Tahu Malam Al-Qadr Bukan Segala-galanya

Pemburu Al-Qadr yang sebenar hakikatnya ialah pemburu keredhaan Allah SWT. Dia tidak memburu Malam Al-Qadr kerana dia berTuhankan Lailatul Qadr. Tetapi dia memburunya kerana kelebihan yang Allah SWT sediakan di dalamnya, berdasarkan firman Allah SWT:

  “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” Surah Al-Qadr ayat 1-5.

Maka jika diizinkan Allah SWT mendapat malam Al-Qadr ini sekalipun, dia tidak akan lengah dalam mentaati Allah SWT pada waktu-waktu lain.

Bahkan, pemburu Malam Al-Qadr faham bahawa sebanyak mana pun pahala yang dikumpul, semuanya boleh bertukar menjadi debu sekiranya diri tidak istiqomah dengan kebaikan, dan terjebak dengan sikap-sikap mazmumah seperti memfitnah orang lain, menganiaya orang lain dan sebagainya sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab para sahabat: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam ummatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” Hadith sohih Riwayat Muslim.

 

Penutup: Pemburuan Malam Al-Qadr Membentuk Peribadi Dahaga

Untuk saya secara peribadi, kerahsiaan malam Al-Qadr banyak hikmahnya. Menjadikan kita tidak bermalasan menanti hari tertentu untuk beramal. Menyebabkan kita berusaha hendak memanfaatkan sebaiknya keseluruhan 10 hari terakhir Ramadhan.

Secara tidak langsung, proses ini membentuk diri.

Secara tidak sedar juga, ini menjadi simulasi kepada persediaan kita menghadapi kematian dan hari kiamat. Yang kedua-duanya kita tidak tahu bila akan berlaku di dalam hidup kita.

Justeru sepatutnya kita akan merasa terus dahaga untuk mendapatkan rahmat dan maghfirah Allah SWT. Sebagaimana kita tidak menanti ‘confirm Malam Al-Qadr baru nak beramal’, macam itu jugalah kita sepatutnya tidak menanti ‘confirm minggu depan mati atau hari kiamat baru nak beramal’.

Sepatutnya kita beramal hari-hari, memperkasakan diri saban waktu.

Kerana akhirnya, hakikat keseluruhan hidup ini ialah pengabdian kita kepada Yang Satu, bukan hanya pada waktu-waktu tertentu.

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Komen


Berita Berkaitan