Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

5 Pelajaran Luar Biasa Dari Kisah Pengorbanan Nabi Allah Ibrahim & Ismail A.S.

12:21pm 15/09/2016 Zakir Sayang Sabah 39 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Anda pernah membaca kisah Nabi Ibrahim a.s. bermimpi supaya beliau menyembelih Nabi Ismail a.s. yang kemudiannya Allah gantikan dengan binatang sembelihan lain? Nah, kalau pernah baca, anda pasti tahu tentang ayat 101-113 surah As-Soffat. Ia adalah sebuah kisah yang sangat menarik.

Ada 5 pelajaran penting anda sepatutnya perolehi daripada bahagian kisah ini. Ia bukan tentang pengorbanan Ismail dan Ibrahim a.s. semata-mata, tetapi lebih lagi daripada itu :

 

1) Ciri Yang Patut Ditanam dan Dimiliki Seorang Anak

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ

“dan Kami beri khabar gembira kepadanya (Ibrahim a.s.) dengan seorang anak yang halim.” [As-Soffat : 101]

Kisah ini bermula dengan Allah s.w.t. menggambarkan ciri yang ada pada anak yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada baginda Ibrahim a.s. iaitulah sifat al-halim. Allah s.w.t. menggunakan perkataan ghulam ketika menggambarkan tentang ciri halim yang ada pada Ismail a.s. Ghulam adalah peringkat umur sekitar sebelum mencapai had umur baligh. Maknanya, belum mencapai umur belia lagi.

Apa pula halim?

Halim kata Dr Fadhil Samiraie’ adalah “dapat mengawal dirinya ketika marah.” Di dalam Mufradat Fi Gharib Alfaz Al-Quran, Al-Asfahani menggambarkannya sebagai ضبط النّفس والطبع عن هيجان الغضب, iaitulah bermaksud ‘mampu mengawal diri dan sikapnya dari gelegak kemarahan’.

Di dalam satu tulisan lain, digambarkan al-halim itu sebagai أصالة الرأي ومكارم الأخلاق والرحمة بالمخلوق, yang bermaksud ‘mempunyai kematangan dalam berpendapat, memiliki akhlak mulia dan bersikap rahmat dengan makhluk.

Tidaklah mudah bagi seorang anak sebelum mencapai umur balighnya untuk memiliki sikap sedemikian. Cubalah kita lihat sendiri kebanyakan sikap anak-anak berumur antara 7-15 misalannya, berapa ramaikah yang dapat membuat keputusan dengan baik dan matang, berfikir dengan tenang, dan dapat bersabar serta mampu mengawal dari dikawal oleh sikap marah? Kebanyakannya kalau berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan antara dia dengan kawannya, maka mulalah marah, bergaduh dan boleh sampai ke tahap bertumbuk.

Tetapi tidak bagi Ismail a.s. Sewaktu umur itu, beliau sudah pun mencapai kematangan berfikir dan pengawalan diri yang tinggi. Itu barangkali adalah hasil didikan ibunya juga. Lihatlah dalam peristiwa Ibrahim a.s. menerima wahyu untuk menyembelihnya.

Kalau kita baca kisah itu sekali lagi, kita akan dapati bahawa Ibrahim a.s. telah berpisah lama dari anaknya. Meninggalkan isteri dan anaknya itu di kawasan padang pasir tiada orang, tiada penempatan dan kering dari sumber makanan. Logik bagi seorang yang tidak pernah bertemu dengan ayahnya sejak dilahirkan dan kalau ia tahu sang ayah telah meninggalkan ibunya di kawasan sedemikian, pastilah tidak mudah untuk dia menerima hakikat itu. Bahkan, apalagi untuk menerima arahan perlaksanaan wahyu dari mimpi Ibrahim a.s. itu ke atas dirinya.

Namun, kerana adanya sikap halim ini dalam dirinya, maka baginda memiliki kematangan berfikir, mengetahui bahawasanya ada sebab di sebalik semua itu yang mengajar baginda untuk mengutamakan arahan Allah s.w.t. sebelum kemahuan dirinya.

Justerulah, baginda ketika menjawab soalan ayahnya, baginda berkata :

قَالَ يَاأَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Baginda berkata : Wahai ayahku lakukanlah sebagaimana yang engkau telah disuruh. Engkau akan mendapati aku InsyaAllah termasuk dari kalangan golongan yang sabar.” [As-Soffat : 102]

 

2) Peranan Sang Ibu Dalam Pendidikan

Disebutkan bahawa si ibunya bernama Hajar. Walaupun ditinggalkan Ismail a.s. dengan Hajar, namun, si ibu telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang wanita yang kuat, punyai kedalaman ilmu dan faham serta memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada Ismail a.s.

Si Hajar bukan saja telah mendidik anaknya dengan tauhid, tetapi juga dengan fiqh dan akhlak. Hal ini tercemin pada jawapan Ismail a.s. kepada ayahnya

Sisi tauhidnya saya detailkan pada point ke-3 dan ke-4. Pada sisi fiqh dan akhlak, mari kita meneliti sekali lagi jawapan Ismail a.s. kepada Ibrahim a.s. :

Baginda berkata : Wahai ayahku lakukanlah sebagaimana yang engkau telah disuruh. Engkau akan mendapati aku InsyaAllah termasuk dari kalangan golongan yang sabar.” [As-Soffat : 102]

Sisi fiqhnya adalah, baginda Ismail a.s. meski pada umurnya seorang ghulam, baginda memahami bahawa mimpi ayahnya adalah sebuah wahyu. Kenapa? Kerana ayahnya adalah seorang Nabi dan Rasul. Mimpi Rasul bukanlah sepertimana mimpi orang-orang biasa seperti kita. Mimpi Rasul adalah wahyu dari Allah s.w.t. Jawapan Ismail a.s. membuktikan bahawa baginda memahami hal itu dengan baik, bahawa hal itu bukanlah datang dari kehendak ayahnya, tetapi dari kehendak Allah s.w.t. untuk menguji mereka berdua.

Sisi akhlaknya adalah, panggilan yang digunakan oleh Ismail a.s. untuk memanggil ayahnya adalah panggilan yang lembut, iaitulah ‘abati.’ Itu memberikan petanda bahawa baginda tidaklah memberi respon sedemikian kerana merasa terpaksa, tetapi atas keredhaan hatinya sendiri dalam keadaan tetap terus memberikan penghormatan yang tinggi kepada ayahnya.

Sayyid Qutb menukilkan dengan menarik ketika menyebutkan panggilan Ismail a.s. kepada ayahnya ini:

فشبح الذبح لا يزعجه ولا يفزعه ولا يفقده رشده. بل لا يفقده أدبه ومودته

Maksudnya : “Bayangan penyembelihan tidaklah mengganggu dirinya, tidak membuatnya merasa takut, tidak juga membuatkan dia hilang kematangannya, bahkan tidak juga membuatkan dia hilang adab dan kecintaannya (kepada ayahnya).” [Fi Zhilalil Quran]

3) Mendahulukan InsyaAllah

Setelah baginda memberikan respon kepada soalan ayahnya itu, baginda berkata InsyaAllah, baginda termasuk orang yang sabar. Kenapa baginda mendahulukan InsyaAllah sebelum menyebutkan baginda akan termasuk golongan yang sabar? Sayyid Qutb menukilkan kalam indah tentang hal ini :

ثم هو الأدب مع الله، ومعرفة حدود قدرته وطاقته في الاحتمال والاستعانة بربه على ضعفه ونسبة الفضل إليه في إعانته على التضحية، ومساعدته على الطاعة:

«ستجدني إن شاء الله من الصابرين»

“Kemudian adabnya dengan Allah, beliau mengetahui sempadan kudrat dan kemampuannya dalam menangung hal itu lalu meminta pertolongan Tuhannya atas kelemahannya, dan menisbahkan segala kelebihan itu kepada-Nya dalam membantunya untuk berkorban, dan membantunya untuk taat (melalui lafaznya) : ‘Engkau akan dapati aku InsyaAllah, termasuk orang yang sabar.” [Fi Zhilalil Quran]

Kita dapati bahawa Ismail a.s. tidak menyandarkan kemampuannya untuk menuruti arahan Allah s.w.t. itu kepada kekuatan atau kehebatan dirinya, tetapi tetap berharap kekuatan dan izin dari Allah s.w.t.

Begitulah yang kita perlu pelajari, bahawa ketika kita mampu untuk taat kepada Allah s.w.t., melakukan amal-amal kebaikan, itu bukanlah kerana kehebatan kita, bukanlah kerana kelebihan yang ada pada diri kita. Tetapi kita perlu merasai dan memulangkan semula pergantungan itu kepada Allah Azza wajalla.

 

4) Kenapa If’al Ma Tu’mar (Lakukanlah Apa Yang Engkau Disuruh), Kenapa Bukan Izbahni (Sembelihlah aku)?

Sangat menarik ketika kita meneliti lagi jawapan Ismail a.s. Kenapa baginda berkata kepada ayahnya ‘If’al ma tu’mar’ yang bermaksud ‘lakukanlah apa yang engkau telah disuruh’, kenapa baginda tidak langsung mengatakan ‘izbahni’ iaitulah sembelihlah aku?

Hal ini dicermati dengan baik oleh Ibn Asyur dalam At-Tahrir Wat Tanwir :

وَعَدَلَ عَنْ أَنْ يُقَالَ: اذْبَحْنِي، إِلَى افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ لِلْجَمْعِ بَيْنَ الْإِذْنِ وَتَعْلِيلِهِ، أَيْ أَذِنْتُ لَكَ أَنْ تَذْبَحَنِي لِأَنَّ اللَّهَ أَمَرَكَ بِذَلِكَ، فَفِيهِ تَصْدِيقُ أَبِيهِ وَامْتِثَالُ أَمْرِ اللَّهِ فِيهِ

Maksudnya : “dan diubah daripada dikatakan : Sembelihlah aku, kepada ‘lakukanlah apa yang engkau disuruh’ untuk mengumpulkan antara izin (Nabi Ismail untuk menuruti wahyu kepada Nabi Ibrahim itu) dan juga sebab utamanya, yakni (seakan beliau mengatakan) aku izinkan kepada engkau untuk menyembelihku kerana Allah yang menyuruh engkau melakukan hal ini.

Maka di dalam jawapan ini terkandung sikap membenarkan ayahnya (pada apa yang diwahyukan terhadapnya) dan dalam masa yang sama mentaati Allah pada urusan itu.” [At-Tahrir Wat Tanwir]

Secara mudahnya, baginda tidak menjawab dengan jawapan ‘sembelihlah aku’ tetapi sebaliknya, ‘lakukanlah apa yang engkau disuruh’ kerana yang utama bagi diri Ismail a.s. adalah mentaati perintah Allah s.w.t. Justeru apabila Allah s.w.t. memerintahkan ayahnya terhadap hal itu, lalu baginda redha terhadap hal itu kerana ia adalah arahan Allah. Dan barulah datang yang kedua iaitulah ketaatan dan keyakinannya kepada ayahnya.

Baginda bukan redha kerana taatkan ayahnya semata-mata, tetapi terlebih dahulu kerana itu adalah apa yang Allah suruh ayahnya lakukan. Lantaran itu, baginda tidak menyandarkan kepada perbuatan sembelih, tetapi menyandarkan kepada ‘apa yang disuruh’.

Maka, kalau kita membincangkan tentang ‘apa yang disuruh’, kita pastilah akan membincangkan tentang siapa yang menyuruh. Lalu, di situlah maksud Ismail a.s. terhadap jawapannya itu, iaitulah menyandarkan dan memulangkan segalanya kepada Allah s.w.t.

Itulah kebijakan Ismail a.s.

 

5) Meyakini Ganjaran Allah

Pengorbanan di jalan Allah tidak datang secara percuma. Siapa yang mentaati Allah s.w.t. dan menyanggupi pengorbanan di jalan-Nya, pastilah Allah tidak akan meninggalkannya dalam kesia-siaan.

Justeru, baginda Ibrahim a.s. pasca kisahnya bersama Ismail a.s. ini, Allah s.w.t. ganjarkannya dengan 5 ganjaran !

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan